“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, April 30, 2013

Biarkan ia pergi...(II)

Selepas hampir setahun...

Tempat itu sudah biasa dengan kehadirannya. Senyuman masih menghiasi wajah mulus gadis itu. Dan dia tetap ke benteng tasik itu. Meluahkan segala yang terbungkam di hatinya.

Masih sunyi. Masih sepi. Masih dilagukan dengan desiran angin petang. Dan dia rupanya tidak berseorangan. Ada yang memerhati. Gadis itu tetap dengan rutinnnya. Berbicara dengan langit. Berpuisi pada sang awan. Bermadah dengana sang pawana. Dan mata itu masih kekal memerhati.

"Sepi, bawakan luka itu pergi.
 Angin, sampaikan pada dia aku ikhlas melupakannya.
Langit, biarkan kisah duka itu berlalu."

Dan mata itu masih memerhati. Makin lama mata itu mendekat.

"Assalamualaikum awak".

Sunyi.

Gadis itu seakan-akan mengenali suara itu. Ya! suara yang telah lama dilupakan. "Ah! bukan dia!" getus hati si gadis. Masih memandang langit.

"Awak, pandang la saya".

Sepi.

Ya!Sekali lagi mata itu bersuara. Memang dialah orangnya! "Mengapa dia hadir kembali?" asak hati si gadis.

Tubuh dipaling. Bergetar jantungnya. Memang pemilik mata itu adalah insan yang telah dilupakannya. Nafas ditarik dalam-dalam. "Mengapa?"

"Ya saudara. Saudara mengenali saya?" akhirnya gadis itu membuka suara. Agak tersekat-sekat. Tetapi dipaksa juga kotak suaranya mengeluarkan suara itu. "Jangan biarkan dia menguasai hatimu lagi!" bicara hati gadis.

"Awak, maafkan saya kerana membiarkan awak berlalu sebegitu sahaja. Saya menyesal. Saya tahu saya bersalah. Maafkan saya."

Sepi sekali lagi.

Helaan nafas gadis berbunyi dalam sepi itu.

"Awak, saya telah maafkan semua kesalahan awak. Tiada apa lagi yang tinggal antara kita. Kenangan awak dan saya telah saya tanam jauh di sana". Kata si gadis sambil menuding ke arah tasik.

"Awak, saya mendoakan kebahagiaan awak. Andai awak telah pun bahagia, saya tumpang gembira."

"Terima kash awak. Saya datang untuk memperkenalkan awak dengan zaujah saya. Terima kasih kerana awak menyedarkan saya. Kehilangan awak membuatkan saya rasa bersalah yang teramat. Dan saya tidak sangka Allah masih menyayangi saya kerana memberikan saya seorang peneman hidup yang mengubah sikap saya. Dan saya tahu ini semua doa tulus awak."

Panjang lebar dia menerangkan.

Gadis itu hanya tersenyum.

"Awak, tahniah. Saya harap awak akan kekal bahagia bersama dengannya. Jagalah hatinya sebaik mungkin. Jangan sesekali awak lukakan hatinya sebagaimana awak melukai hati dan perasaan saya dahulu."

Dia tertunduk. Air matanya mengalir. Dan itu kali pertama dia menangis di hadapan gadis itu. Dahulu dia mengalirkan air mata si gadis, kini dia tidak menyangka dia akan mengalirkan air mata itu.

Gadis itu tetap tersenyum. Biarlah dia menjadi pelangi. Walaupun untuk seseorang yang pernah melupakannya. Bagi gadis itu, pelangi yang diberikan tetap ada satu rasa yang masih kekal satu. Rasa bahagia. Dan kebahagiaan itu akan terus dikongsikannya.

Gadis itu berlalu pergi meninggalkan mereka. "Pergilah!. Jangan kembali lagi." Dan hujan renyai-renyai. Memberikan peluang sang pelangi menghadirkan dirinya untuk si gadis.

p/s: Memaafkan akan lebih membuatkan hati kita tenang dalam kepasrahan. Memaafkan memberikan seribu satu rasa kebahagiaan. ^___^

Monday, April 29, 2013

Biarkan ia Pergi...

Senyap. Sunyi. Sepi. Hanya suara kicauan burung dan desiran angin memukul dedaunan. Gadis itu duduk di tepi benteng tasik. Memandang jauh ke kaki langit. Membiarkan matanya berbicara sama langit dan awan. Membiarkan gundah gulana, resah gelisah dalam jiwanya dibawa bayu petang. Membiarkan gemersik angin memujuk hatinya.

Dia pasrah dengan peristiwa semalam. Dia tahu semua itu bukan miliknya lagi. Dia tidak mahu berpaling lagi ke belakang. Biarkan semua itu pergi. Jauh sejauh-jauhnya dari hidup dan masa depannya. Dia tahu, insan itu telah pun berbahagia dengan hidupnya. Dia tahu cinta itu bukan bererti memiliki tetapi cinta itu bererti menemani. Berkongsi setiap satu rasa hati. Dia tahu, dia bukan insan yang layak untuk menemani apatah lagi berkongsi. Dia tahu, insan itu tidak pernah ingin berkongsi dengannya apatah lagi menemaninya. Dia ingat pesan ustazahnya, serahkan cinta pada yang bersedia memilikimu dengan cara yang halal. Bukan menyerahkannya pada yang belum bersedia. Terkesan dengan kata-kata itu akhirnya. Yah! engkau benar ya ustazah!

Saat matanya masih berbicara dengan langit dan awan, hinggap seekor pipit di tangannya. Cantik. Penuh ketelusan. Makhluk Allah itu seakan-akan tahu rawan di hatinya. Memandangnya dengan penuh simpati.

 "Maaf sang pipit, aku tidak mahu dikecewakan lagi. Pergilah engkau". Pipit itu ibarat memahami hatinya. Terbang sayu sambil berpaling ke arah si gadis. Tunduk si gadis sambil menyeka air mata yang berguguran. "Aku tidak mahu dikecewakan. Cukuplah sekadar itu. Biarkan luka ini kering." bicara gadis pada sang awan.

Dan alam seolah-olah bijak mengatur rencana. Hujan renyai-renyai membasahi taman tasik itu. Gadis itu berlari ke pondok rehat. Sambil berbicara pula pada sang hujan. "Wahai hujan, basuhlah darah di lukaku ini. Biarkan aku pedih seketika. Moga luka itu tertutup dengan bantuan-Nya".

Akhirnya, sang langit menghadiahkan sejalur pelangi buat gadis. Tersenyum si gadis. Memang alam memahami dirinya. Mulai hari itu, tiada lagi rawan di hatinya. Semuanya digantikan dengan pelangi indah berjalur tujuh warna dengan satu rasa yang sama. Rasa bahagia. "Ya Allah, aku kini telah bahagia. Aku inginkan dia juga bahagia sepertiku walaupun dia pernah menyakitiku. Kebahagiaan yang Engkau limpahkan dalam hatiku akan kukongsikan dengan mereka yang menyayangiku dan yang aku sayangi".

p/s: Cinta bukan untuk memiliki. Cinta itu menemani. Berkongsi hati. Walaupun kita tidak mungkin dapat memiliki cinta itu, doakan mereka juga memperoleh kebahagiaan itu. ^___^

Pascaskrip: entah apa-apa la yang saya merepek ni..sorry ya guys..^__^V

Ceritera Dua Sisi

Bila si dara jalan-jalan dengan sang teruna..

"Cantiknya baju tu, teringin nak pakai"...

" Yeke? tak sesuai la dengan awak..." - mulut-

"Habis la duit aku nanti kalau dia betul-betul nak"..-hati-


Bila sedang bersembang...

"Nape ko bagitau pasal aku kat dia? mesti dia anggap aku bukan-bukan nanti.."

"La..aku cakap je, dia pun ingat aku gurau-gurau je dengan dia.." - mulut-

"Padan muka ko! Memang ko tu patut dimalukan, ingat ko baik sangat?" - hati-


Bila meluahkan...

"Kenapa awak suka melayan saya bersembang? lepas tu awak ambil berat pasal saya?"

"mesti la saya ambil berat, awak kan kawan saya.." -mulut-

"Sebab saya sayang sangat pada awak, tapi saya tak mampu luahkan, awak sangat baik di mata saya"
- hati -


Bila merajuk...

"Kenapa awak monyok je hari ni? ada apa-apa yang tak kena ke?"...

"Mana ada..saya ok je..saya cuma penat sikit je hari ni "... - mulut-

"Engkau buat aku merajuk, boleh tanya aku pulak?"... -hati-


Bila bergaduh...

"Saya minta maaf sebab buat awak macam ni"...

"Eh, tak pelah, awak tak salah apa-apa pun dengan saya"... - mulut-

"Memang salah kau pun, buat-buat tak tahu pulak, nasib baik pandai minta maaf"... - hati-


tengok la, ini hanya secebis saja. Hati dan mulut memang tak pernah sehaluan. Apa yang kita fikirkan sukar untuk kita luahkan. Bukan apa, banyak penyebabnya. Kita tak nak orang lain sakit hati dengan kita, tak nak cari pasal dengan orang dan tak mahu dituduh bukan-bukan. Bukan mudah nak mengalah dengan perasaan sendiri. Ini bukan hipokrit tau, tetapi lebih kepada helah bela diri untuk memberikan keselesaan pada orang lain yang bersama kita.

p/s: sebab tu saya lebih suka menulis sebab saya tak pandai meluahkan. Menulis menurunkan ilham-ilham untuk saya kekal berbicara pada pena dan tinta. Kalau saya geram pun saya akan luahkan pada buku dan pensel saya dan menangis senyap-senyap..Saya tak ganggu orang kan?.. Berdiam itu lebih baik. ^___^

Friday, April 26, 2013

Saya dan Jumaat..

Melihatkan tajuk entri ni kalian ada terfikir apa-apa tak berkaitan dengannya? Mesti ada yang terfikir saya sengaja buat propaganda dengan tajuk entri ni. Yela, baru la nampak gempak kan. Bukan la, memang ada kaitan yang saya nak cerita pasal saya dan hari Jumaat. Sebenarnya hari Jumaat memang sudah kita ketahui bahawa penghulu segala hari atau Saiyyidul Ayyam. Dan seperti biasa, saya berasa seronok bila bertemu hari Jumaat. Nak tahu mengapa? Sebabnya...saya akan bercuti pada hari sabtu dan ahad..wah! tak sabar nak tunggu hari minggu. Nampak betul macam budak-budak sekolah kan. Ha! tapi saya tak berasa macam ni masa sekolah dulu. Masa zaman sekolah dulu, saya lebih suka pergi sekolah, sabtu ahad bagi saya membosankan. Yela, di sekolah ada kawan-kawan, boleh ajak bersembang, kalau buat kerja sekolah pun boleh bincang-bincang. Tapi berlainan pula dengan waktu bekerja, saya lebih suka bercuti. Manakan tidak, selama lima hari asyik kena bangun awal, siap awal-awal, pergi pejabat, buat kerja yang sama. Bila dapat dua hari bercuti, rasa macam kerbau dapat kubang.(tak senonoh punya pepatah kan)

Hari ini saya rasa tenang sikit sebenarnya, sebab pejabat saya tak senyap sunyi macam empat hari yang lalu. Walaupun saya ni nak dikatakan dalam kategori kaki sembang dan tak boleh duduk diam, tapi saya dapat merasai suatu ketenangan yang tak dapat saya cari selama empat hari itu. Ha! nak tahu apa? Ketua kami tiada di pejabat. jadi, saya berasa lebih santai dalam melakukan tugasan. Tiada mata-mata liar yang asyik menganggu pemikiran saya. Tiada hati terbakar tatkala kaki melangkah keluar dari 'bilik seram' itu.

Hari ini, walaupun jadual kerja saya agak penuh dengan perjumpaan dan sebagainya, tetapi saya masih boleh mengawalnya kerana saya berasa agak bebas daripada sebarang kekangan kerja yang mendatang seperti peluru berpandu yang kita tak tahu bila masa ia nak terhempas. Nampaknya, sejak menulis dalam blog ni, saya asyik keluarkan pepatah dan bidalan yang baharu saja. Al-maklumlah, orang merancang bahasa, kata mereka kena bijak bermain dengan bahasa. Maaflah, walaupun saya orang bahasa( jolokan bagi mereka yang mempelajari linguistik), tetapi jiwa saya terikat dengan sastera. Kalau ikutkan saya sebenarnya dah lari minat, dari seorang yang sukakan sastera melompat ke bidang linguistik. Tetapi tak mengapalah kerana penulis-penulis di Malaysia ini bukannya dari latar belakang sastera pun sebenarnya, cuma kelebihan itu memberikan mereka tempat dalam arus saastera perdana. Ah! melalut pula saya ke sini. Berbalik kepada topik sebelum ini, inilah kisah saya dan hari Jumaat. Saya sayang hari Jumaat. Dan saya akan tetap dan terus bersyukur kerana masih diberikan peluang menikmati hari Jumaat ini dan harapnya untuk Jumaat berikutnya. InsyaALLAH..

p/s: Hari-hari bagi saya tetap bermakna selagi saya masih bernafas di bumi pinjaman Allah ini. Ingat, jangan kufur nikmat ya..^___^

Thursday, April 25, 2013

Terhenti di sini...

Sungguh tak sangka macam-macam boleh terjadi bila tangan menggatal nak tekan bukan-bukan pada template blog. Kesudahannya, blog saya yang dahulunya meriah dengan widget-widget comel, akhirnya hilang begitu saja. Bila saya buka pada template blog (edit HTML) semuanya dah berubah. Saya dah tak boleh edit apa-apa lagi (mungkin ada cara lain cuma saya tak tahu menggunakannya). Sedihnya bukan kepalang. Mulut mula membebel memarahi diri sendiri. Yelah, nak marahkan siapa lagi kan. Dah memang salah tu datang dari saya sendiri. Sendiri buat sendiri tanggung la kan.

Saya baru nak bermanja-manja dengan blog comel saya, tak sangka pula perkara luar jangkaan ni boleh berlaku. Tapi apakan daya, nasi dah jadi bubur. Nak tak nak, saya kena menerima keadaan terbaharu blog saya. Apa boleh buat. Teknologi meninggalkan saya jauh di belakang. Maknanya saya ni dalam kategori tak berapa kenal IT lagi la. Aduhai!, malunya saya dengan anak-anak zaman sekarang. Mereka lebih bijak IT daripada saya walaupun saya lahir dahulu daripada mereka.

Maka, terhenti di sini sahajalah blog comel saya. Bila saya buka blog saya, sedih sangat rasa. Tapi, tak mengapalah. Yang penting adalah pengisiannya (Ayat penyedap hati saja sebenarnya).

p/s: pesan pada diri, lain kali tangan tu pegang tetikus tu je. Jangan suka-suka hati menekan benda lain. Kan dah jadi macam ni. Tanggung la sendiri cik adik manis..T___T

Wednesday, April 24, 2013

Ingatan..satu catatan yang terlewat

Membuka blog sudah menjadi rutin harian saya. Walaupun saya tak punyai ramai pengikut (follower) macam blogger lain, tapi saya tetap bahagia dengan blog saya. Baru-baru ni saya tergerak hati untuk membuka blog seorang junior@sahabat@sifu saya. Kali terakhir dia menulis di dalam blognya ialah dua bulan yang lalu. Siapa dia tidak perlu saya nyatakan. Dia hanya salah seorang junior saya tetapi bakat dan keperibadian dia mengagumkan saya. Allah memberikan dia satu kelebihan yang teringin sangat untuk saya miliki. Nak tahu apa? Dia ni seorang penulis. Karya dia ni selalu saja keluar di majalah-majalah terbitan DBP. Apa yang saya kagum dengan junior saya seorang ni ialah dia pernah memenangi pertandingan menulis cerpen anjuran PTS Publication. Bangganya saya walaupun hanya menjadi senior dia setakat 2 tahun saja.

Dia sifu saya sebenarnya. Kagumnya saya pada dia ni sebab dia ni bukan setakat pandai menulis, dia ni ada kebolehan berpantun. Saya senior tapi saya tak tinggikan ego untuk kongsi ilmu dengan dia. Selain daripada jurulatih pantun saya, junior ni la yang banyak bantu saya. Alhamdulillah, kemahiran berpantun saya dapat dipertingkatkan lagi dengan bantuan junior ni. Baik la, saya kembali kepada tajuk topik saya ni, nanti nampak melalut pula kan. Saya suka buka dan baca blog orang, dari situ saya dapat ilham untuk menulis dan berkongsi idea dengan orang lain terutamanya pada mereka yang sudi mengunjungi blog saya ni (walaupun saya tahu tiada la seramai mana pun yang baca blog ni, al-maklumlah, saya ni cuma diva kampung je..heheheh..). Tangan ni tergerak untuk melarikan tetikus komputer ni pada blog junior saya ni. Saya baca semua entri dia yang sebelum-sebelum ni. Ya Allah, saya betul-betul teruja dengan penulisannya. Walaupun gayanya santai tetapi penuh dengan maklumat berguna dan sindiran yang tajam menusuk kalbu. Ini la junior saya yang saya kenal. Ramai yang tak mengenali dia di kampus tetapi dia terkenal dalam kalangan penulis-penulis hebat negara ni. Saya masih ingat lagi kata-kata junior ni, "biarlah kita tak dilihat oleh mereka, asalkan kita dilihat di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang berusaha untuk memajukan diri sendiri". Terkesan kan??

Saya harap saya dapat jadi macam dia satu masa nanti. Menulis dan menerbitkan buku sendiri. Berkarya untuk kepuasan hati sendiri. Buat junior saya, walaupun saya tahu dia tak akan membaca entri ini, saya tetap ingin katakan padanya bahawa saya amat berterima kasih kepadanya kerana menjadi guru saya dan penulisannya memberikan saya ilham untuk terus menulis di blog ni. Adik, akak harap adik boleh terus menulis dalam blog. Moga cita-citamu untuk menjadi seorang penulis akan tercapai.

Ingatan..satu catatan yang terlewat...

Sudahkah anda Bersedia?

Tarikh keramat bagi penentuan tampuk pemerintahan negara akhirnya diumumkan beberapa minggu yang lalu. Hilang sedikit debaran penduduk Malaysia tentang tarikh pengundian. Saya la salah seorang yang menunggu debaran tu. Pelik kan, dah macam Perdana Menteri pula saya ni berdebar-debar menunggu tarikh mengundi. Manakan tidak, ini adalah kali pertama saya akan mengundi, mesti la saya bakal merasai pengalaman mengundi calon pemerintah.

Sebenarnya dahulu saya bukan la seorang yang fanatik dengan politik. Biar la apa pun orang politik nak buat di atas sana, asalkan saya dapat hidup bahagia. Nampak sangat masa tu masih pemikiran budak-budak. Saya langsung tak kisah orang nak mengundi sesiapa pun sebab saya tak pernah pergi ke tempat mengundi. Seumur hidup tak pernah. Mak ayah lebih mudah meninggalkan saya dan adik-beradik di rumah. Iyalah, nanti kalau hilang mereka juga yang susah nak mencari. Al-maklumlah kanak-kanak ribena masa tu, suka nak berlari-lari. Tapi, apabila menginjak usia remaja dan berjaya menempatkan diri di IPTA, saya mula membuka mata dan minda saya tentang politik. Masa mula-mula diperkenalkan dengan Pilihanraya Kampus, saya telah didedahkan dengan kekotoran dalam ruang lingkup politik. Ini baru di kampus, sudah terbongkar betapa kotornya permainan politik, apatah lagi negara yang besar. Tahun pertama di kampus, kami dimomokkan dengan parti pro-kerajaan (ASPIRASI). Sesiapa yang tidak mengundi calon ASPIRASI, alamatnya menginaplah kami semua di luar kolej kediaman (menyewa di luar). Sudahlah jauh dari keluarga, kenderaan pula tiada, bagaimana untuk duduk di luar kampus? Semua sahabat saya memikirkan hal yang sama. Namun begitu, pada mula-mula perkenalan saya dengan sahabat seperjuangan, saya telah diajak untuk meyertai pakatan pro-mahasiswa. Memang ada pro dan kontranya dengan ASPIRASI. Tetapi, hanya kerana takut dengan ugutan-ugutan senior kolej, saya telah melakukan undi rosak. Masa tu, apa yang ada dalam fikiran saya ialah saya tak tahu nak memilih yang mana. Lebih baik buat undi rosak. Sekurang-kurangnya saya merasakan itu lebih adil. Masih berfikiran budak-budak kan. Iyalah, umur pun baru menjejak 21 tahun. Budak-budak la tu kan.

Apabila menjengah tahun kedua dan ketiga di kampus, saya lebih bersikap matang dan telah mampu menilai siapa yang perlu dinaikkan untuk memegang tampuk pimpinan kampus. Dan akhirnya, pada pilihanraya kampus terakhir buat saya (pada masa tu saya berada di tahun akhir), saya dengan beraninya mengundi calon pro-mahasiswa. Apa yang peliknya, selepas saya memangkah kertas undi, saya didatangi seorang kawan kolej (dia ni pro-kerajaan@spy ASPIRASI la kononnya), bertanya kepada saya siapa calon yang saya pangkah. Saya dengan beraninya memberitahu kepada kawan saya itu yang saya telah memangkah calon yang sepatutnya memerintah. Yang agak kelakar, dia boleh pula mengugut saya dengan momokan yang sama. Alahai, saya ni kan dah tahun akhir, saya dah bayar untuk satu semester dah pun. Kalau berani nak buang saya, buang la. Saya tunggu juga kalau2 ada surat amaran dari pihak kolej, tetapi sampai akhirnya satu surat pun tidak saya terima. Alhamdulilah saya berjaya menamatkan pembelajaran saya di kampus itu dengan menginap di kolej yang sama sehingga tamat belajar (alasan mudahnya, saya seorang yang aktif dalam program kolej, nak buang saya boleh je, tapi mereka la yang rugi..ish!berlagak betul saya ni..hehehe).

Tetapi, konvokesyen saya tidak seperti yang berlaku sebelum-sebelum ini. Hanya kerana tampuk pimpinan perwakilan pelajar bertukar tangan, mereka dianaktirikan oleh pengurusan dan pentadbiran IPT. Kejamnya saya rasa. Bukan mereka sahaja yang terbeban, malahan kami sebagai alumni turut terkena tempiasnya. Pesta konvokesyen tidak semeriah yang disangka. Hanya 10 gerai daripada 40 gerai yang sepatutnya memenuhi ruang dataran tapak pesta konvo. Junior yang memegang amanah dalam perwakilan menyatakan kekesalannya kepada kami sebagai senior. Geram dan sedih bercampur baur dalam hati.

Semasa menulis entri ini, saya terfikir sejenak, mungkinkah negara kita akan mendapat nasib yang sama seperti kampus saya apabila pimpinan baru mengambil alih? Itu masih menjadi tanda tanya. Namun, walau apa pun keputusan pilihanraya selepas ini, saya tetap dengan pilihan saya. Saya tidak mahu ditanya kelak, "mengapa memilih buaya kalau sudah tahu kejahatannya?".

Pada hemat saya, peganglah kata Hang Jebat, "Raja adil raja disembah, raja zalim akan kusanggah". Ada benarnya kata-kata Hang Jebat ini. Biarpun dituduh pengkhianat kerana membelakangi pemerintah, tetapi kesetiaannya pada prinsip diri yang kuat menyebabkan Hang Jebat tumpas di tangan seorang sahabat yang buta memilih kaca dan permata. (Eh?tetiba je masuk bab Hang Jebat ni, ada kaitan ke?.huhuhuhu..). Ingatlah, siapa pun yang bakal anda pilih, buatlah keputusan yang sewajarnya. Jangan hanya kita ditaburkan dengan kata-kata manis dan sogokan yang berlambak-lambak, kita terpedaya dengan pujuk rayu mereka. Kuatkan azam dan keputusan yang diambil, pergi ke meja mengundi, pangkahlah calon pilihan anda. (La, dah jadi tukang kempen la pulak..hehehehe..maaf ye..=P)...Undian kita amat bermakna. Jom mengundi...^_____^V

Wednesday, April 10, 2013

Maafkan saya...

Maafkan saya...semestinya ungkapan ini sering kita tuturkan apabila kita melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar. Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan, sedangkan Nabi Adam a.s juga pernah melakukan kesalahan hingga dihukum dikeluarkan dari syurga. Inikan pula kita sebagai manusia biasa.

Bukan sukar untuk menuturkan kata maaf itu. Ungkapkan sahaja dan kata-kata itu mampu meleburkan api kemarahan seseorang. Namun, bukan itu yang menjadi titik perbincangan saya pada kali ini. Pandangan saya lebih bertumpu kepada si penerima maaf. Individu yang memohon kemaafan memang lebih mulia kerana dia memohon kemaafan dan merendahkan keegoannya untuk meleraikan kekusutan yang berlaku. Si penerima maaf juga mulia kerana sanggup memaafkan kesalahan si pesalah. Kedua-duanya mulia pada pandangan saya.

Saya bukanlah seorang yang baik untuk mengatakan sesiapa yang tidak menerima kemaafan itu kejam. Ada sesetengah perkara itu sukar untuk kita memberikan kemaafan. Tetapi, bagi saya pula, seteruk mana pun seseorang itu, saya tetap akan memaafkannya, cuma lewat atau segera sahaja pintu hati saya memaafkannya. Saya pernah menjadi seorang pendendam tetapi seseorang telah menyedarkan saya bahawa dendam itu hanya akan membunuh diri saya sendiri. Lama-kelamaan saya belajar untuk memadam api kemarahan dengan perkataan maaf. Saya lebih suka memohon maaf walaupun kesalahan itu bukan datangnya dari saya. Pelik? Bagi saya, itu lebih membahagiakan saya kerana saya tidak mahu hidup dalam keadaan tidak tenang dan asyik memikirkan persengkataan yang berlaku. Biarlah orang lain mengatakan saya ini tiada ego yang tinggi kerana mudah menuturkan maaf kepada si pesalah, tetapi bagi saya, itu tiada benarnya. Rasulullah s.a.w lebih suka memohon maaf dan memaafkan orang yang menyakiti baginda kerana perasaan marah itu hanya akan mendatangkan mudharat dalam diri.

Tiada salahnya kita memohon kemaafan dan memaafkan mereka yang menyakiti kita kerana kita bukan sahaja diberikan imbuhan yang besar iaitu memperoleh kebahagiaan, bahkan kita akan dipandang mulia di sisi Allah s.w.t. Subahanallah! Mudahnya Allah memberikan kita ganjaran. Dia begitu pemurah dan penyayang bersamaan dengan sifat-Nya Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Jika Allah dan Rasul-Nya mampu memaafkan hamba dan umatnya, siapakan kita untuk merasakan diri kita jauh lebih baik daripada itu? MasyaALLAH..

Saya akan tetap memohon maaf dan memaafkan mereka yang pernah meyakiti saya. Saya sudah melepaskan diri saya dari rasa bersalah atau tidak tenang, selebihnya biarlah mereka berurusan dengan Allah s.w.t. Mengapa kita lebih suka meninggikan ego hanya kerana tidak mahu nampak lebih rendah di mata orang sedangkan sedarkah kita bahawa kita jauh lebih rendah pada pandangan Tuhan kerana tidak mahu memohon maaf dan memberikan kemaafan. Nauzubillah!..berubahlah mulai saat ini. InsyaALLAH kita tidak akan rugi bahkan lebih bahagia berbanding sesiapa pun.

p/s: awak, terima kasih kerana mengajar saya erti memaafkan. Membantu saya membuang perasaan dendam. Ya ALLAH, peliharalah kami semua daripada perasaan marah, hasad dengki dan khianat. Maafkan saya ye semua...^___^

Tuesday, April 9, 2013

Blog vs Facebook

Sudah hampir sebulan saya merasai hidup tanpa jaringan sosial paling popular masa kini, facebook. Belajar meneruskan hari-hari saya tanpanya. Sudah hampir lima tahun saya bersama-samanya. Semua suka duka saya titipkan di atas status jaringan itu. Namun, pada satu masa itu, saya nekad untuk menutup akaun jaringan sosial itu setelah satu-persatu perkara di luar jangkaan pemikiran saya berlaku. Sudah lama saya bersangka baik dengan jaringan ini tetapi jika sudah namanya jaringan untuk bersosial, pasti akan ada privasi yang kita jaga terbuka juga walaupun sedikit.

Penutupan akaun facebook memberikan saya ruang untuk meneruskan jaringan saya dengan blog. Ya, nampak agak kolot dan lama tetapi saya lebih menyukai blog setelah hampir sebulan juga menggunakannya. Walaupun blog saya tidak popular seperti blogger yang ada di Malaysia ini, tetapi ia sudah cukup memuaskan hati saya. Setiap satu luahan rasa, ilmu dan pengetahuan saya kongsikan di sini. Memang tiada siapa yang membacanya tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi gedung ilmu saya dan mengingatkan saya tentang apa yang pernah terlintas dalam kotak pemikiran saya.

Saya tidak mengatakan memiliki akaun facebook itu salah, kerana saya telah menemui sahabat-sahabat lama saya melaluinya. Berkongsi ilmu juga melaluinya. Tetapi apabila penggunaannya telah disalahertikan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, jaringan sosial itu sudah tidak sesuai digunakan lagi pada saya. Maka, cara paling mudah untuk saya terus berkarya (hanya karya untuk menghiburkan diri) adalah dengan membuka blog. Tidak dinafikan bahawa blog juga ada pro dan kontranya tetapi pada hemat saya, blog lebih mudah diurus, semua luahan hati saya dapat ditulis tanpa tatapan yang luas khalayaknya.

Tanpa facebook saya dikutuk hebat oleh sahabat handai kerana tidak pandai bersosial di alam maya. Biarlah apa pun yang mereka ingin bicarakan, tetapi saya lebih selesa dan bahagia tanpanya. Seseorang pernah memberitahu saya bahawa sahabat tidak hanya boleh didapati di facebook semata-mata, sahabat itu ada di mana-mana. Tanpa facebook saya masih ada kawan. Alhamdulillah, kata-katanya itu ada benarnya. Saya tidak perlu lagi melihat status atau perkara yang menyakitkan hati saya. Kini, blog menjadi teman setia saya. Saya tidak mengharapkan pengunjung blog yang ramai, cukuplah saya menulis untuk menjadi tatapan dan ingatan kepada diri saya sendiri. Itu sudah cukup membahagiakan. Cuma jika ada pengunjung yang sudi membacanya saya tetap mengalu-alukan mereka. Saya berkongsi ilmu dan buah fikiran saya. Seperti firman Allah dalam surah Al-Kahfi:

"Katakanlah, jika sekiranya lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula" (Al-Kahfi:109)

Apa pun yang berlaku dalam facebook tidak lagi saya ketahui melainkan disampaikan oleh sahabat-sahabat saya. Ini hanya pandangan saya. Setiap manusia berbeza persepsinya. Ibarat kata pepatah Melayu lama, "lain padang lain belalangnya, lain manusia lain ragamnya". Apa yang penting saya tidak menggangu ketenteraman hidup sesiapa.

p/s: terima kasih awak kerana memberikan nasihat dan pandangan selama ini. Ya Allah, terima kasih kerana meminjamkan dia kepada saya. Memberikan saya ilham untuk membezakan yang haq dan yang bathil. ^_____^

Monday, April 8, 2013

Sabarlah Hati

"Penatnya hidup macam ini" atau "Saya tak mahu hidup lagi di dunia ini"..Pernahkah ayat sebegini dituturkan oleh kita? Jawapannya pernah. Tiada seorang manusia pun yang tidak pernah terlintas atau tidak mengucapkan ungkapan ini. Ungkapan sebegini diungkapkan apabila kita semua berada dalam keadaan tidak redha. Seringkali persoalan seperti ini timbul dalam kotak pemikiran kita. Allah memberikan sesuatu ujian itu kepada kita bukanlah sebagai suka-suka tetapi ada hikmah yang tidak pula kita ketahui. Allah telah berfirman mafhumnya:

 "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216).

Masih lagikah kita mahu mengungkapkan kata-kata seperti itu? Bukanlah semua perkara yang kita benci itu sesuatu yang jelek dan tidak semua perkara yang kita suka itu manisnya berpanjangan. Lihatlah dari sudut pandangan yang berbeza dan diluar daripada kebiasaan pandangan kita. Dari situlah kita akan melihat ada perkara yang tidak kita terjangkakan hikmahnya.

Allah memberikan setiap manusia itu dugaan atau ujian sebagai satu cara untuk ita lebih mengingati-Nya. Mengapa perlu kita merasakan apa yang diberikan-Nya itu satu bebanan? Allah telah menyatakan dalam kalam-Nya yang bermaksud:

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)

Sesungguhnya tidak dinafikan ada kalanya kita tidak mampu untuk mengelak daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Pelbagai ujian yang hadir dalam hidup kita seringkali menyebabkan kita lemah dan hampir tersasar daripada matlamat sebenar hidup kita di muka bumi ini. Inilah manusia. Betapa lemahnya kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Allah memberikan ujian yang lebih getir kepada para Rasul kita tetapi betapa kuatnya mereka menghadapinya walaupun dipinggirkan keluarga sendiri.

Allah memberikan kita cara untuk menanganinya. Dia memberikan ujian dan Dia juga memberikan penyelesaian. Begitu mudah penyelesaiannya. Kita hanya perlu kembali kepada fitrahnya. Allah terlebih dahulu menjawab segala persoalan yang timbul ini dengan kalam-Nya. Allah memberikan iman dalam diri hamba-Nya dan iman itulah kunci segala penyelesaiannya. Serapuh atau sekuat mana iman itulah yang menentukan penyelesaiannya. Tanganilah ujian itu dengan cara yang dianjurkan. Ujian itu hanya bersifat sementara. Seperti fiman Allah yang bermaksud:

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)

 Ujian yang hadir ada hikmah di sebaliknya. Apabila kita ditimpa musibah, kita hanya melihat satu pandangan yang sama sedangkan ada pandangan lain yang tersinar di sebaliknya. Bersangka baiklah dengan-Nya.

Mulai tika ini, terimalah segala ujian itu dengan hati yang redha kerana Allah itu lebih mengetahui kerana Dialah yang menciptakan rencana untuk hamba-Nya. Kuatkanlah iman dan yang paling penting sabar dan redha dalam menghadapi setiap dugaan-Nya. Berdoalah kepada-Nya dan berharaplah moga akan ada penyelesaian yang terbaik yang diberikan oleh-Nya buat kita.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah : 45)

Ingatlah, dari Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali. Dari Allah ujian itu datang, kepada Allah jugalah kita memohon pertolongan.

p/s: Teringat kata-kata seseorang yang memberikan saya inspirasi.."hidup ini satu putaran, apa yang datang pasti akan kembali pada pangkalnya, back to square. Terima kasih Allah kerana meminjamkan dia kepada saya untuk memberikan kekuatan kepada diri ini setelah berbagai-bagai dugaan yang datang dalam hidup saya. ^____^


Friday, April 5, 2013

Mensyukuri Kekurangan

Bersyukur dengan kekurangan? Pernahkah kita terfikir ungkapan ini? Adakah orang di sekeliling menerima kekurangan diri dengan seadanya? Inilah yang sering dipersoalkan. Berapa ramaikah yang bersyukur dengan apa yang ada dengan diri mereka? Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, 7).

Tidak semua orang mensyukuri kekurangan yang ada. Malah ada yang meratapi dan menyalahkan takdir atas kekurangan tersebut. Namun, sedarkah mereka bahawa kekurangan itu adalah anugerah Allah buat mereka yang pada mereka itulah sebenarnya kelebihan. Manusia ini telah dilahirkan dengan satu perasaan tidak puas dengan sesuatu, lebih-lebih lagi jika mereka merasakan ada kekurangan yang tidak melengkapi kehidupan mereka.

Mengapa sukar untuk kita menadahkan tangan mengucap kesyukuran atas apa yang diberikan oleh-Nya? Jika kekurangan yang ada dalam diri manusia itu mengehadkan dirinya untuk berjaya, itu hanyalah dongengan semta-mata. Buktinya sudah terang-terangan di hadapan mata. Allahyarham Dr. Ismail Md Salleh hanyalah seorang insan buta yang tidak mempunyai indera penglihatan tetapi siapakah beliau sebenarnya? Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau merupakan pakar ekonomi Malaysia. Adakah kekurangan itu membataskan beliau untuk menjadi seorang yang luar biasa daripada norma hidupnya? Itu hanyalah seorang daripada beribu insan di muka bumi ini yang sebenarnya bahagia dengan kekurangan itu dan tidak menjadikan kekurangan yang ada sebagai batu penghalang untuk berjaya.

Maka, mengapa perlu meratapi kekurangan diri? Jika kita seorang yang miskin atau cacat, itu bukanlah satu kekurangan yang kekal. Kemiskinan hanya sementara. Jika kita tidak menjadikan kekurangan itu penghalang, pasti tidak akan kekal kemiskinan itu. Kekurangan itulah yang mendorong kita untuk berusaha jauh ke hadapan. Mengapa tidak disyukuri kekurangan itu?
Firman Allah dalam yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka". (Surah Ar-Rad, 11)

Oleh itu, panjatkanlah kesyukuran yang tidak terhingga kepada-Nya. Jangan memandang kekurangan yang ada sebagai perkara yang sukar tetapi jadikan ia sebagai satu jalan untuk mengecap kejayaan. Allah tidak memberikan kekurangan itu sebagai bebanan tetapi sebagai cara untuk hamba-Nya berusaha memajukan diri dan menjadi hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat.

Renung-renungkan dan selamat membaca..^____^


Wednesday, April 3, 2013

La Tahzan

La Tahzan. Innallaha ma'ana. "Janganlah kamu bersedih kerana sesungguhnya Allah itu sentiasa bersama-samamu". Ungkapan ini merupakan kata-kata motivasi yang sering kita dengar apabila kita dirundung dengan kesedihan. Tiada manusia yang tidak pernah diduga dengan perkara yang sedih. Sedangkan Rasulullah SAW juga pernah merasai rasa sedih tersebut sehingga terdapat satu tahun digelar sebagai 'amun huzni iaitu tahun kedukaan.

Namun begitu, kesedihan bukanlah sesuatu yang perlu dikekalkan dalam sejarah hidup kita. Kesedihan kadang kala boleh menyebabkan kita dekat dengan-Nya dan kesedihan juga mampu membuatkan kita semakin jauh dari-Nya. Semua itu adalah dari izin-Nya. Cuma bagaimana kita menghalang kesedihan itu daripada terus membelenggu diri kita setiap masa.

Acap kali manusia bersedih kerana perkara yang remeh. Bersedih kerana gagal dalam peperiksaan. Bersedih kerana putus cinta dan bersedih kerana tidak memiliki apa yang dihajati. Perkara-perkara seperti ini bukanlah satu perkara yang perlu ditangisi atau diratapi. Bersedih kerana urusan seperti ini hanya akan menyebabkan jiwa kita lemah. Kita selusuri kesedihan yang dialami oleh saudara-mara kita di Dunia Arab yang saban hari menanggung kesedihan akibat kehilangan apa yang mereka miliki selama ini. Namun, mereka tidak pula meratapi kehilangan tersebut bahkan mereka bangkit daripada kesedihan itu dan berjuang atas nama agama yang dipegang teguh. Jika dibandingkan antara kita dan mereka, perlukah kita terus-menerus bersedih dengan apa yang terjadi kepada kita? Jawapannya terletak pada diri masing-masing. Setiap manusia itu telahpun diberikan akal fikiran yang sempurna untuk berfikir. Mengapa terus-terusan meletakkan diri dalam kesedihan sedangkan kita mampu meninggalkannya jauh di belakang?

Oleh itu, tinggalkan semua kesedihan yang membelenggu diri. Bangun dan jadilah seorang yang tabah dalam mengharungi dugaan hidup. Tiada salah untuk kita bersedih kerana kita bukanlah robot yang langsung tiada perasaan. Allah itu maha sempurna kerana menciptakan hamba-Nya yang bernama manusia dengan berbagai-bagai perasaan. Namun, itu bukanlah alasan kukuh untuk meletakkan perasaan sedih itu di tempat teratas sehingga kita tidak mahu lagi memandang perkara yang boleh menyentuh perasaan gembira kita.

Janganlah bersedih. Ayuh bangkit dan maju ke hadapan dengan niat dan azam yang baru.


Tuesday, April 2, 2013

Senyumlah..Kerana Senyumanmu Begitu Berharga

Pernahkah kita mendengar orang kata senyuman yang diberikan akan mencairkan kemarahan? Pernah atau tidak anda mencuba? Ya atau tidak ungkapan ini itu tidak penting. Apa yang penting ialah hikmah di sebaliknya. Mengapa dikatakan senyuman itu satu penawar? Nah, di sini akan dijelaskan.

Sejak kecil kita semua pasti pernah menimbulkan kemarahan ibu dan ayah jika tingkahlaku kita tidak disenangi mereka. Tetapi, kemarahan itu akan hilang saat kita tersenyum kepada ibu dan ayah. Ini hanya satu contoh yang agak mudah untuk ditunjukkan. Pasti semua pernah melalui saat ini juga. Inilah penawar paling mudah.

"Senyuman itu satu sedekah". Ungkapan ini tidak mungkin dapat disangkal oleh sesiapa pun. Rasulullah SAW merupakan manusia yang tidak pernah lekang dengan senyuman baginda.
Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:
"Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?"

Sebagai manusia, Allah telah menjadikan hamba-Nya sebagai sebaik-baik ciptaan. Diberikan-Nya akal untuk berfikir dan rupa yang cantik untuk dipandang dan dihayati. Lirikan senyuman yang tidak perlu dibayar itu menambahkan kecantikan yang dianugerahkan oleh-Nya. Senyuman tidak memerlukan modal yang terlalu tinggi. Jika senyuman itu perlu dibayar, nescaya tidak akan ada satu pun manusia di muka bumi ini yang akan tersenyum atau membalas senyuman. Bukan sahaja senyuman itu percuma bahkan menjadi penawar dan ubat yang tidak perlu dibayar atau bertemu dengan pakar perubatan. Senyuman itu merupakan terapi jiwa. Buktinya ialah apabila kita dalam keadaan tertekan, ingatlah perkara yang menggembirakan, pasti secara serta-merta kita akan tersenyum. Nah!terapi jiwa paling murah. Tidak perlu berjumpa pakar psikologi.

Oleh sebab itulah, Rasulullah menyarankan umatnya memberikan senyuman. Setiap yang disarankan oleh baginda ada hikmahnya. Dan ini jugalah keputusan daripada hasil kajian saintis bukan Islam yang mengkaji tentang kebaikan senyuman kepada diri manusia iaitu senyuman akan membuatkan diri seseorang itu bertenaga dan senang hati. Mereka baru sahaja mendapat keputusannya, tetapi umat Islam yang mengamalkan sunnah Rasulullah terlebih dahulu mengetahui kebaikannya. Allah itu maha Mengetahui.

Oleh itu, senyumlah walaupun kita sentiasa sibuk dengan urusan seharian. Senyumlah walaupun diri sentiasa dihambat dengan kemarahan dan kesedihan. Senyumlah walaupun tatkala diri terasa dipinggirkan kerana Allah lebih mengetahui setiap satu yang tidak mungkin hamba-Nya mengetahuinya. Senyumlah kerana senyumanmu begitu berharga dan memberikan 1001 kemanisan dalam kehidupan.

p/s: tips paling mudah nak cantik. Senyum la selalu. Tapi jangan sampai asyik tersenyum je. Nanti tak pasal-pasal dapat jolokan minah senyum atau mat senyum.hehehehe..^_____^V


Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)