“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, October 29, 2013

Redha dengan Ketentuan

"Saya pasrah dengan semua ketentuan". Benarkah kita mampu redha dengan apa yang berlaku? Redha bermaksud menerima dengan senang apa yang diberikan oleh Allah baik berupa kebaikan mahupun ketentuan (qada') dari Allah atas sesuatu. Namun, bukan semua yang mampu menerima sesuatu perkara yang terjadi itu dengan hati yang redha. Mengajar hati menerima sesuatu yang bukan dalam kerelaan mungkin sukar untuk dilakukan tetapi Allah telah menjanjikan ganjaran kepada hamba-Nya yang sabar dalam menerima ketentuan yang telah diberikan-Nya.

Allah itu maha Pemurah sifatnya. Redha dengan ketentuan menjadikan kita sebagai hamba-Nya kuat dalam menghadapi pelbagai musibah. Mungkin kita tidak mampu untuk redha dan pasrah sebagaimana mulianya sifat Khaulah al-Azwar menerima berita keempat-empat puteranya syahid di jalan Allah. Begitu juga Ruqaiyyah puteri Rasulullah apabila terpaksa berpisah dengan suami tercinta kerana wahyu Allah. Kita hanya menerima secebis daripada dugaan dan ujian yang diturunkan-Nya untuk melihat sejauh mana iman hamba-Nya utuh dan kukuh. Keredhaan itulah pengukur utama iman dalam hati kita. Allah menguji bukan tanda Dia membenci hamba-Nya, tetapi untuk melihat adakah kita sebagai hamba-Nya memahami konsep redha itu sendiri dan bagaimana penerimaan kita terhadap sesuatu musibah yang melanda sama ada dengan hati terbuka atau tidak.

Redha dalam menghadapi ketentuan memberikan kemanisan dalam kehidupan. Kepahitan itu pasti akan terasa pada permulaanya tetapi kemanisan menerima ketentuan dengan hati terbuka dan redha lebih dirasai pada penghujungnya. Itulah lumrah dalam kehidupan. Allah itu maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w :

" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )
 
Kesimpulannya amat mudah, redha dengan ketentuan menguatkan hati sekaligus menjadikan kita punyai benteng keimanan yang kuat. Belajar menerima qada' dan qadar Ilahi kerana Dia lebih mengerti segalanya.
 
p/s: Saya juga sedang belajar menerima dan redha dengan apa yang berlaku dalam hidup saya. Sekali kita melangkah ke hadapan, jangan berpaling ke belakang.
 
 




Friday, October 25, 2013

Maaf..saya hanya seorang manusia...

"Mengapa masih melakukannya kalau sudah berjanji untuk berubah?"..selalu saya dengar pertanyaan ini. Maaf, saya hanya seorang manusia. Miliki sifat pelupa dalam sesetengah situasi.

Manusia atau insan berasal dari perkataan "nasia" iaitu lupa. Dimasdharkan (masdhar dalam Bahasa Arab bermaksud kata nama terbitan) menjadi "insan". Mengapa Allah menjadikan manusia itu dengan sifat lupa? mari muhasabah sejenak..Sekiranya manusia dijadikan tanpa sifat lupa, maka tiada neraka, syurga, dosa dan pahala..Keliru? Mari kupas satu-persatu. Allah menjanjikan syurga buat hamba-Nya yang sering mengingati-Nya, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Neraka pula Allah ciptakan untuk hamba-Nya yang menyekutukan-Nya, melakukan perkara yang dilarang dan lupa akan kewujudan-Nya. Pahala adalah ganjaran manakala dosa adalah balasan.

Tanpa sifat lupa yang Allah berikan kepada manusia, tidak akan ada dugaan dan ujian untuk meraih syurga-Nya. Saya mengupas satu-persatu perkara ini kerana ada segelintir manusia di luar sana yang tidak memahami atau pura-pura tidak memahami konsep tersebut. Dan natijahnya, dilemparkan pelbagai tuduhan, dan perli kepada seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan yang sekecil-kecil zarah hanya kerana seseorang itu telah berhasrat untuk berubah tetapi dalam suatu situasi seseorang itu terlupa akan hasratnya kerana tindakan refleksi semula jadi. Seterusnya mengaitkan semua itu dengan perkara negatif yang pernah dilalui oleh individu itu sebelum ini. Mudah menuturkan semua itu kepada si pesalah, tetapi pernahkah kita bermuhasabah dengan diri kita sendiri? Inilah kelemahan manusia. Tiada yang sempurna melainkan Allah semata-mata. Kerana itulah diberikan sifat itu kepada hamba-Nya.

Saya hanya manusia yang ada sifat kelupaannya. Sesiapa sahaja ada sifat lupa. Nasihat saya, jangan mudah menjatuhkan seteruk-teruk kata kepada si pelupa kerana kita sendiri belum tentu sempurna di mata-Nya.

 Peringatan buat diriku yang sering terlupa.


Thursday, October 10, 2013

~Hanya renungan~

"Mengenang masa lalu hanya membuatkan kita lemah dan tidak bersemangat. Bersedia untuk masa hadapan membuatkan kita lebih beringat. Menghadapi apa yang terjadi depan mata hari ini membuatkan kita yakin dengan kenyataan."
-Anonymous-


~kata-kata seseorang yang membuatkan saya memikirkan berkali-kali bait kata-katanya~

Tuesday, October 8, 2013

Mimpi vs Realiti

Satu pertanyaan yang berselirat dalam ruang lingkup pemikiran sekarang ni ialah indah ke hidup dalam imaginasi? Walaupun saya dah tahu jawapannya masih lagi fikiran saya mengajukan soalan yang sama.

"tapi sayang hanyalah impian, bulan tak bisa tumbuh di taman..dan apabila mentari datang pulanglah segala kenyataan.." ~farra~

Benar, apabila mentari kembali mengambil alih tugasnya pada siang hari, mimpi indah pada malam itu akan hilang dan kita akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kehidupan realitinya. Imaginasi hanya mimpi. Sukar melunaskan mimpi menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi apabila mimpi itu terlalu indah buat kita.

Bertanyalah kepada sesiapa sahaja yang pernah mempunyai mimpi yang terlalu indah ibarat puteri di singgahsana, pernah ke mimpi mereka terlaksana? Jauh panggang dari api. Andai ada pun hanya 1% statistiknya. Mimpi yang indah untuk menanti menjadi kenyataan hanyalah ibarat meletakkan sepohon kaktus di tanah Artik dan menantinya subur seperti suburnya ia di Sahara. Biarlah kita sakit menghadapi kenyataan daripada kita terawang-awang dalam angan-angan kita. Bagi saya, kehidupan realiti saya masih jauh di depan. Banyak dugaan yang menanti saya di sepanjang jalan-jalan hidup saya. Untuk itu, imaginasi tentang kehidupan yang terlalu indah perlu disisipkan di tepi. Mengapa? kerana andai saya masih dalam keindahan mimpi itu, realiti saya akan sakit kerana itu hakikat yang perlu saya hadapi, bukan terus-menerus tenggelam dalam dunia mimpi.

Terima kasih sang bumi kerana masih memasakkan kaki saya supaya tidak lagi saya mendambakan si Mentari yang tidak mungkin saya miliki.
Terima kasih si mentari kerana menyedarkan saya agar tidak lagi merenung rembulan pada malam hari.

Hari semalam hanya kenangan,
Hari esok ialah misteri,
Hari ini ialah kenyataan yang perlu kita hadapi...

Pilihan di tangan kita; mahu pilih realiti atau mimpi? Kesakitan atau ketenangan?

Monday, October 7, 2013

Kurindu kasihmu...

Hari ini genap usia ayah 64 tahun. Alhamdulillah, Allah masih memberikan nikmat kesihatan dan kesejahteraan kepada ayah. Pagi-pagi tadi tak sabar tangan mendail telefon bimbit ayah. Sejak tinggal di perantauan, hanya telefon sahaja yang menjadi tempat saya mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran kepada ayah kerana tarikh keramat itu jatuh tatkala saya berada jauh darinya. Suara ayah pagi tadi menggetarkan jiwa. Rindu sangat dengan ayah dan emak. Salah saya sebenarnya kerana jarang pulang ke kampung kebelakangan ini. Ayah berpuasa hari ini sebagai tanda syukur Allah masih meminjamkan dirinya kepada kami sekeluarga. Ceria suara ayah kerana saya anaknya yang pertama mengucapkan selamat hari lahir.

Sebenarnya saya tidak serapat dulu dengan ayah sejak ayah mengalami kemalangan pada tahun 2000. Saya pun tidak tahu mengapa. Apa yang saya tahu, masa itu saya berumur 12 tahun dan ketika ayah terlibat dalam kemalangan, saya berada di sekolah dan sedang menduduki peperiksaan percubaan UPSR. Perkhabaran malang itu membuatkan saya tidak boleh menerima apa yang telah tertulis untuk ayah ketika itu, lebih-lebih lagi melihatkan badan ayah penuh dengan wayar-wayar dan kepala ayah dibotakkan untuk memasukkan tiub sepanjang 6 cm. Selepas peristiwa itu, saya menjadi kurang rapat dengan ayah. Ada sahaja perkara yang akan saya pertikaikan dengannya. Namun, ayah jarang memarahi saya. Malah ayah sering menunaikan apa yang saya perlukan. Teringat saya semasa pertama kali mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke UKM. Ayah melakukan sujud syukur dan pertama kali saya melihat air mata ayah mengalir ketika kereta abang saya meluncur perlahan-lahan meninggalkan saya di kolej. Kegembiraan ayah berterusan ketika saya menjejakkan kaki ke pentas konvokesyen UKM pada tahun 2011.

Ayah sangat berbeza dengan emak. Ayah bukan seorang pemarah. Ayah juga seorang pemendam. Ayah seorang yang sangat penyayang. Sebab itulah kami lebih takutkan emak berbanding ayah. Ayah di rumah seperti sahabat kami. Bertepuk tampar dengan ayah seperti seorang kawan. Tetapi ketegasan ayah terpancar sekiranya kami tidak menunaikan solat dan tidak membaca al-Quran setiap hari. Ketegasan itu jugalah yang menjadikan al-Quran sebagai amalan saya setiap hari selepas solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Hari ini, saya terlalu merinduinya. Andai ada ayah di sisi saya,pasti akan saya rangkul tubuhnya dan memeluknya sekuat dan selama saya mampu. Andai ayah tahu apa yang saya alami di sini, hari ini dan apa yang tersimpan dalam hati saya sehingga kini, tidak perlu lagi saya berselindung di balik senyuman dan kata-kata penyedap hati di hadapan orang lain setiap hari.

Syukur Ya Allah kerana masih memberikan umur yang panjang buat ayah. Walaupun sang putera bakal memiliki saya, tetapi ayah tetap raja di hati saya sampai bila-bila!!

Thursday, October 3, 2013

Semua itu ketentuan Allah...

Kalau kita masih belum bekerja,
Itu semua rezeki dari Allah..
Mungkin Allah minta kita berusaha lebih banyak lagi..

Kalau kita masih belum diseru jodoh,
Itu semua rencana Allah,
Mungkin Allah minta kita menjaga ibu ayah selagi mereka bernyawa...

Kalau kita masih belum dikurniakan anak,
Itu semua takdir yang ditetapkan Allah,
Mungkin Allah minta kita mentaati suami dan menjaga sebaik-baiknya...

Kalau kita masih belum mempunyai harta simpanan,
Semua itu suratan yang tertulis untuk kita,
Mungkin Allah mahu kita menyimpan untuk menunaikan haji ke Mekah..

Setiap apa yang berlaku semuanya telah ditakdirkan untuk kita. Jangan bersangka buruk dengan Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya. Dia menciptakan kita, Dia juga membina rencana untuk hidup kita dan Dia jugalah yang berhak memanggil kita semula menemui-Nya.

Apa yang baik untuk kita belum tentu baik pada pandangan Allah. Kita mengejar mardhatillah, bukan mengejar pandangan manusia terhadap kita.

***Ingatan buat diriku yang sering terlupa***

Wednesday, October 2, 2013

Mengapa???

Engkau yang membenarkan perpisahan,
tapi tangannya tidak pula engkau lepaskan...

Engkau membenihkan kebencian,
tapi wajahnya masih dalam jelingan...

Engkau berazam membuka lembaran baru kehidupan,
tapi kenangan bersamanya masih dalam ingatan...

Engkau mahu melupakan semua yang kelam,
tapi kebaikannya masih dalam sebutan...

Andai engkau masih tidak mampu melupakan,
Mengapa menidakkan segala yang tertulis dalam suratan?

***esok genap setahun. Harap semuanya tidak lagi menghantui hati dan perasaan. Sakit untuk melupakan. Payah untuk menidakkan. Hanya doa dan pengharapan aku pohonkan agar hati tiada lagi dibalut kenangan.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)