“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Friday, February 28, 2014

Wanita VS Lelaki

Wanita Versus Lelaki...
Melihatkan tajuk ini sahaja pasti dalam fikiran masing-masing akan terfikir perbandingan yang akan dibuat tentang kedua-dua jantina ini.

"Dijadikan wanita itu daripada rusuk kiri seorang lelaki. Bukan dari kaki untuk dialasi. Bukan juga dari kepala untuk dijunjung. Tetapi dekat di bahu untuk dilindungi dan dekat di hati untuk disayangi dan difahami."

Inilah wanita. Penuh makna tersirat dalam hatinya. Kadang-kadang apa yang diperkatakannya berbeza dengan apa yang terdetik dalam hati. Ini kenyataan yang tidak ada sesiapa mampu menyangkalnya. Bukti? Baiklah, mari buktikan..

Situasi 1:
W: Saya teringin la nak makan KFC tapi jauh pula saya nak menapak ke sana...
L: Lain kali awak pergi la...
W: Kalau macam tu takpelah...
Hakikat: sebenarnya wanita itu ingin mengajak si lelaki pergi menemaninya.

Situasi 2:
W: Cuaca hari ini cerah. Awak ada nak pergi mana-mana tak?
L: Ehm..tak kot..
W: Kalau macam tu takpelah...
Hakikat: Sebenarnya wanita itu ingin berjalan-jalan bersama-sama si lelaki.

Situasi 3:
W/Isteri: Abang tak lapar?..Di depan tu ada kedai makan.
L/Suami: Tak lapar pun..
W/Isteri: Kalau abang tak lapar, tak mengapa..
Hakikat: Si isteri/wanita itu sebenarnya lapar dan inginkan si suami/lelaki itu singgah sebentar.

Ini hanya sebahagian situasi harian yang kerap berlaku antara kedua-dua gender ini. Sudah lumrah bahawa wanita itu mempunyai sifat malu dan segan untuk menawarkan diri. Bagi wanita, ayat tersirat lebih baik untuk digunakan berbanding berterus-terang. Namun begitu, bukan semua lelaki memahaminya. Pengamatan dan penelitian saya menunjukkan bahawa wanita lebih memahami kehendak lelaki walaupun si lelaki tidak mengekspresikan kehendak tersebut.

Allah itu maha bijaksana sifatnya. Dia menjadikan sifat kelembutan, pemalu itu dalam diri seorang wanita. Dijadikan wanita itu dengan nilai yang sangat istimewa. Pernahkah kita mendengar seorang ibu merungut keletihan membawa kandungan yang besar dan pernahkah kita mendengar keluhan seorang ibu yang penat tatkala menyusukan anak pada malam hari? Wanita hanya memendam semuanya dalam hati. Hanya tangisan yang menjadi jawapan kepada setiap keluh kesahnya.

Kesimpulannya mudah. Jangan memandang enteng apa yang diperkatakan oleh seorang wanita lebih-lebih lagi jika wanita itu amat istimewa dalam hati anda. Wanita tidak akan mudah berterus-terang dengan insan yang dia hormati dan sayangi kerana dia sangat menjaga hati insan tersebut. Cuba fahami wanita kerana tanpa insan bernama wanita, anda tidak mungkin mampu melihat dunia ini hingga helaan nafas terkini.


Dan...

Apabila mimpi itu kembali semula melewati lena malamku...
Tenang lelapku hilang berlalu...

Dan...
Tika mentari menyapa bumi dengan sinarannya,
Hatiku sentiasa berharap agar mimpi-mimpi itu tidak akan hadir semula..

Tuesday, February 18, 2014

"Engkau pernah merasai penyesalan atas apa yang telah engkau lakukan?"

"Siapa yang tidak pernah menyesal?"

"Engkau menyesal melepaskan dia? Dan kini dia sudah pun bahagia dengan hidupnya?"

"Aku tidak menyesali apa pun. Sudah tertulis takdir dia mendahului diriku. Adakah perlu aku menyesali qada' dan qadar Ilahi dan meratap pemergian dia? Perlukah aku bersedih sedangkan dia terang-terang telah bahagia?"

"Adakah itu kata yang lahir dari hatimu? Jujurkah engkau akan dirimu?"

"Sahabat, aku tidak akan menyesali jalan yang aku telah pilih. Meninggalkan dia untuk mencari cinta yang aku dambakan."

"Cinta yang engkau dambakan? Walaupun engkau telah tahu dia tidak akan mampu menjadi milikmu? Adakah itu yang engkau namakan cinta?"

"Mungkin engkau belum mengerti soal hati sahabat..Mencintai seseorang bukan bererti memilikinya. Aku pernah merasainya dan aku berpeluang merasai perasaan itu buat kali kedua. Sekiranya mencintai seseorang bermakna kita perlu memilikinya, itu dinamakan mementingkan diri sendiri. Tiada nilai pengorbanan."

"Sahabat, aku diberikan peluang oleh-Nya dan dipertemukan dengan satu perasaan bernama CINTA. Hatiku ditiupkan dengan rasa rindu dan sayang. Itu sudah mencukupi buatku untuk melalui kehidupan masa depan andai tiada jodoh yang tertulis buatku dengan cinta yang aku damba."

La haulawala quwwatailla billah..(tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)

Monday, February 17, 2014

Bicara Sang Pencinta

Langit tak akan selalu cerah..
Bila sang mentari mengundur diri..
Saat si bunga memerlukan cahaya...

Awan tidak selalunya ada..
Bila sang bayu meniup pergi...
Meninggalkan langit yang keseorangan...

Hujan sentiasa menawarkan diri...
Bila langit sendirian tanpa awan...
Saat si bunga kesedihan ditinggalkan mentari...

Dan hujan itu tidak akan pergi,
Sebelum pelangi muncul di sisi...

"Engkau mahu jadi apa?"

"Aku mahu menjadi sang hujan.."

"Mengapa? sedangkan hujan tidak diduga kemunculannya..datang tidak dijemput, pergi tidak diarak."

"Aku tetapi ingin menjadi hujan. Biar turunnya aku mengajarkan manusia bahawa tanpa hujan, bumi akan ketandusan. Ibarat cinta dan rindu, kasih dan sayang. Tanpa cinta dan sayang, jiwa manusia tandus. Kekeringan."

"Dan akan aku ajarkan manusia bahawa cinta itu tetap jatuh berkali-kali. Seperti hujan. Cinta tidak pernah diduga kehadirannya. Sekali ia hadir pada jiwa yang mengharap, tanahnya yang pernah tandus kerana menanti hujan pasti akan subur semula. Di situ tumbuhnya rindu dan kebahagiaan seperti mekarnya si bunga selepas kehadiran hujan."

"Kalau hujan itu hanya membawa bencana? Seperti banjir?"

"Sahabat, hujan dan cinta sama rasanya. Ada baik dan jeleknya. Walau seteruk mana tanggapanmu tentang hujan, ia tetap hadir saat engkau memerlukan. Sama seperti cinta."

Pesan Alam...

Alam mengajar diriku..
Jangan sampaikan pesan pada pawana,
Kerana kiriman rindu tidak akan tiba pada si dia...

Jangan menanti pada sang bulan di angkasa,
Kerana rembulan tidak selamanya menjadi purnama...

Jangan mengharap pada si awan,
Kerana cinta yang kau ukir di langit bisa dipadamkan...

Alam seringkali mengajar diriku...
Cinta dan rindu tidak abadi,
Andai tidak disirami dengan kasih Ilahi...

Dan alam mengingatkan diriku...
Cinta itu bisa jatuh berkali-kali,
Tetapi jika sekali cinta itu didustai,
Hati itu dilukai dan dinodai,
Selama-lamanya sukar engkau ubati...

Monday, February 10, 2014

Kisah hati

Hati manusia macam langit..

Kadang-kadang mendung..
Kadang-kadang cerah..
Kadang-kadang berangin-angin...

Hati manusia ibarat musim..

Kadang-kadang berbunga-bunga...
Kadang-kadang dingin dan beku...
Kadang-kadang panas dan kering...

Hati manusia umpama alam...

Kadang-kadang tenang seperti sungai mengalir..
Kadang-kadang ganasnya seperti taufan membadai daratan...
Kadang-kadang mampu dijadikan teman...

Apa pun tafsiran kita tentang hati, semuanya akan kembali kepada pemilik hati itu sendiri untuk mencorakkan warna hatinya..

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)