“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, December 26, 2013

Ambang 2013...

Tahun 2013 bakal meninggalkan saya tidak lama lagi. Saat jemari ini pantas menekan aksara pada papan kekunci komputer ini, bilangan hari untuk menjengah tahun 2014 hanya berbaki 5 hari sahaja lagi. 5 hari bukanlah seperti dulu. 5 hari sekarang hanya sepantas angin meniupkan dedaun kering. Sekejap masa akan berlalu meninggalkan kita.

Tahun 2013 melakarkan pelbagai cuit-cuit manis dan pahit dalam hidup saya. Tahun yang mengajar saya erti segala rasa dan pengalaman. Rasa bahagia, kecewa, tangis, duka, ceria, bersabar dan memaafkan. Pengalaman yang mematangkan diri saya seiring usia yang mencecah suku abad ini. Azam saya bukan semuanya terlaksana kerana sebagus mana pun kita merancang, Allah tetap perancang yang sangat sempurna. Maka, saya redha dengan apa yang telah berlaku kerana saya sedar apa yang telah berlaku tidak mungkin untuk diundurkan semula. Apa yang telah berlaku akan dijadikan sebagai pengalaman hidup dan apa yang bakal berlaku kekal menjadi misteri.

Tahun 2014 menanti saya dengan penuh debaran. Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Perancangan tahun depan tidak saya ukirkan atau lakarkan seperti tahun-tahun sebelum ini. Percubaan pertama saya. Biarkan tahun hadapan datang secara misteri dan akhirnya juga kekal menjadi misteri sebagaimana misterinya isi hati saya kini.

Saya tidak pasti apa yang berlaku pada tahun 2014. Hanya satu sahaja yang pasti, umur saya tetap meningkat tahun demi tahun. Peningkatan umur bermakna selangkah lagi saya mendekati kematian. Malaikat Jibril mendatangi makhluk Allah di muka bumi ini 70 kali sehari, bermakna bila-bila masa sahaja ajal itu bakal menjemput tanpa salam sejahtera atau tanpa ucapan selamat tinggal.

Moga saya masih sempat menjejakkan umur dan helaan nafas saya genap tarikh keramat kelahiran saya tahun 2014. Urusan yang lain saya serahkan pada Allah setelah berusaha dan berikhtiar. InshaaAllah.

Sayonara 2013..Aloha 2014!

Monday, December 23, 2013

Dalam Pantun Terselit Bicara, Mengungkap Kata Menyingkap Cerita

Antara berlian dengan intan,
Tuan memilih batu permata,
Hamba ibarat pungguk di hutan,
Menanti bulan jatuh ke riba...

Pohon ara dengan angsana,
Di tengah-tengah pohon cemara,
Sahabat handai membina istana,
Hamba seorang melakar penjara...

Asyik memetik bunga raya,
Malang kaki tertusuk duri,
Orang gembira menyemai bahagia,
Hamba berduka seorang diri...

Orang kampung mengail ikan,
bawa hasil ke hujung desa,
Jodoh dan ajal Dia tentukan,
Sentiasa bermohon pada Yang Esa...

Monday, December 16, 2013

Tanya Sama Hati

Kata hati yang tiada sesiapa yang tahu :

Ibarat burung dalam sangkar emas. Mata terlepas, badan terkurung.

Kata hati yang tiada sesiapa pun yang dengar :

Nasib baik tidak diberikan kuasa ajaib, kalau tidak akan kusumpah mereka itu menjadi semut dan kupijak-pijak sampai mati.

Kata hati yang tiada sesiapa pun yang faham, dengar atau tahu. Senyuman di wajah belum tentu mencerminkan gelora yang membadai di hati.

sabar jela...

Thursday, December 5, 2013

Jawapan Positif dari Allah

Ketika ombak besar membelah pantai dan memusnahkan kapal itu, terdampar seorang lelaki yang hanya tinggal seorang sahaja terselamat. Arus membawanya hingga ke pantai. Kini dirinya tinggal keseorangan di tempat yang sangat asing padanya.

Pemuda itu mula belajar hidup berdikari di kawasan asing itu. Kehidupan yang hanya tinggal sehelai sepinggang dan tiada bekalan makanan cukup menyukarkan dirinya. Nasibnya baik kerana masih diberikan akal fikiran yang waras untuk meneruskan kehidupan. Pelepah-pelepah kelapa dijadikan atap untuk berteduh. Ranting-ranting kayu dibakar untuk mendapatkan haba panas dan memasak air bersih. Makanan hanya berasaskan pucuk kayu, binatang buruan dan ikan di pesisir pantai. Hampir sebulan berkeadaan sedemikian. Setiap malam pemuda itu tidak putus berdoa memohon pertolongan Allah moga ada yang datang singgah di pulau itu.

Suatu hari, ketika si pemuda sedang asyik mencari makanan di hutan pulau itu, dia kehilangan arah. Sesat. Menangis keseorangan si pemuda sambil berkeluh kesah. "Ya Allah! Ujian apa yang telah Engkau berikan ini?" Pada saat itu air mata si pemuda mengalir dengan derasnya. Dengan wajah yang berputus asa, si pemuda mengorak juga langkah untuk mencari jalan keluar.

Namun, tidak disangka-sangka si pemuda berjalan agak jauh ke satu kawasan. Dilihatnya sebuah tempat yang penuh dengan pokok buah-buahan. Terdetik hati si pemuda siapakah yang menanam pokok-pokok ini? SubhanaAllah! rupa-rupanya Allah telah menunjukkan jalan penyelesaian untuknya. Dia kelaparan. Dia kehilangan. Allah mendengar penderitaannya. Allah memberikan si pemuda makanan untuk meneruskan hidup.

Lihatlah!Saat kita putus harapan, Allah sentiasa memberikan jawapan yang positif untuk kita. Sejauh mana kita bersangka buruk kepada ujian Allah, Dia mempunyai rencana yang terbaik untuk hamba-Nya. Dia tidak membebani hamba-Nya ujian melebihi kesanggupannya. Selagi kita tidak berputus asa untuk memohon pertolongan-Nya, selagi itulah pertolongan-Nya itu sentiasa ada.

~Ingatan buat diriku yang terlupa~

Wednesday, December 4, 2013

Marah?Mari Kawal Bersama!

"Argh!!!Menyampah betul dengan dia!Ingat dia bagus sgt!!$%#@!!!"...Marah?Menyampah?Benci?Meluat?

Sifat marah itu sentiasa ada dalam makhluk Allah. Marah itu datangnya dari syaitan yang meniup api kemarahan kepada anak-anak Adam. Sifat marah itu juga terhasil daripada perasaan ego seseorang. Ego itu pula hadir apabila seseorang itu merasakan dirinya berdarjat lebih tinggi daripada orang-orang di sekelilingnya.

Tidak ada manusia biasa yang mampu lari daripada perasaan tersebut tetapi mereka yang mampu mengawalnya ialah mereka yang bijaksana. Mengapa? Persoalan ini mungkin akan timbul dengan sendirinya dari dalam kotak minda kita. Ya, kerana, perasaan marah itu lahir akibat rasa tidak puas hati dengan sesuatu perkara yang berlaku kepada diri seseorang itu. Perkara yang berlaku itu bukankah telah tertulis di Loh Mahfuz? Jadi, kita sebenarnya memarahi siapa jika tidak Pencipta kita. Astaghfirullah!!!

Bagaimana untuk mengawal kemarahan? Kita selusuri kisah Qais bin Asim bilamana seorang hambanya datang membawa besi pemanggang panas yang mempunyai daging panggang pada besi tersebut ketika dia sedang berehat di rumahnya. Namun, belum sempat daging panggang itu diletakkan di hadapan Qais, besi pemanggang tersebut terjatuh dan mengenai anaknya. Maka, menjerit kepanasan dan kesakitan anak Qais sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat kejadian itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang telah pucat menanti hukuman.

"Aku bukan sahaja tidak memarahimu tetapi mulai hari ini aku bebaskan dirimu" kata Qais kepada hambanya. MasyaAllah! begitu mulia dan redhanya hati Qais. Dia bukan tidak menyayangi anaknya tetapi dia melihat kejadian itu dari sudut yang lain. Anak itu merupakan pinjaman dari Allah untuknya. Sekiranya dia memarahi hambanya, maka secara tidak langsung dia turut memarahi Allah.

Sebuah kisah yang boleh dijadikan pengajaran ialah kisah tentang seorang suami dan isteri pada zaman Rasulullah s.a.w. Si suami telah membelikan sebiji tembikai untuk si isteri. Apabila pulang, si isteri telah memotong buah tersebut tetapi malangnya buah tembikai itu tawar dan busuk. Maka, melentinglah si isteri memarahi suaminya dan si penjual. Si suami tersenyum dan dengan tenang bertanyakan kepada si isteri, "Kamu memarahi diriku kerana membeli buah tembikai yang tawar dan busuk sedangkan aku telah mencari yang terbaik untuk dibeli. Kamu memarahi si penjual sedangkan si penjual telah berusaha mendapatkan buah yang terbaik untuk jualannya. Kamu memarahi si petani sedangkan si petani telah bersusah payah menanam dengan cara terbaik. Maka, sedarkah kamu bahawa kamu telah memarahi Allah?". Menangislah si isteri kerana terlalu biadap kerana mengeluarkan kata-kata tohmahan tersebut. Nah!analogi yang sangat mudah.

Maka, banyak cara yang boleh digunakan untuk mengawal kemarahan daripada terus membakar hati dan akal kita.

1. Berasa malu dengan Allah kerana Allah melihat tindak tanduk dan kebiadapan kita.

2. Apabila terasa ingin marah, ingatkan diri bahawa kita hanyalah manusia yang hina.

3. Ingatlah bahawa kesan daripada sifat marah itu akan mencetuskan api dendam dan persengketaan dengan orang yang kita marahi.

4. Bayangkan rupa kita yang sedang marah. Pasti buruk rupa kita yang tidak ubah seperti lembu jantan yang sedang marah.

5. Jika dalam kemarahan, bacalah ta'awuz (a'uzubillahi minasyaitonnirrajim) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

6. Apabila marah sedang memuncak, berwuduklah kerana air mampu memadamkan api.

7. Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan, sekiranya kamu dalam keadaan marah dan berdiri, maka duduklah, jika tidak hilang, berbaringlah, jika tidak mampu untuk kamu menghilangkannya, maka berwuduklah kerana wuduk itu mampu memadamkan api.

8. Tauhid kita perlu tepat. Setiap apa yang datang itu dari Allah dan pasti kembali semula kepada Allah. Mengapa perlu marah?

Kita pasti tidak suka dimarahi selepas melakukan kesalahn. Begitu juga dengan orang lain. Rasulullah s.a.w itu begitu tenang sifatnya. Cara paling berhemah untuk menegur kesalahan orang lain ialah dengan cara yang lembut iaitu berbincang dengan cara yang baik atau menegurnya dengan cara yang berhemah. Bukan menghamburkan kata-kata yang keji dan hina kepadanya sehingga menjatuhkan maruahnya dan maruah kita juga.

Ingatlah, saat anak Adam itu marah, Iblis dan Syaitan bersorak kegembiraan kerana misi mereka untuk menyentap nafsu amarah anak-anak Adam itu telah berjaya. Maka, kita sebagai hamba-Nya perlu mengawal kemarahan kita dan jadilah seseorang yang tenang dalam membuat keputusan.

p/s: Saya seorang yang pemarah dan akan menangis apabila memarahi orang. Mulai hari ini, cubalah untuk bersikap rasional dan tenang. Marah hanya merugikan diri. Merosakkan sistem badan, menyebabkan penyakit seperti jantung, darah tinggi dan penyakit rohani. Paling penting memutuskan ukhuwah yang terbina kerana Allah. Paling mudah, beristighfar memohon keampunan Allah sekiranya ada sesiapa yang membuat saya marah. Saya akan berubah kerana Allah. ^__^

Tuesday, December 3, 2013

Hikmah Kisah Luqmanul Hakim

 

Luqman al-Hakim ialah seorang ahli hikmah. Beliau bukanlah seorang yang kaya raya dan banyak harta benda. Diriwayatkan, Luqman al-Hakim hanyalah orang biasa yang mempunyai pelbagai jenis pekerjaan. Malah ada sejarawan yang menyelidik Luqman ialah seorang hamba berkulit hitam. Suatu hari, Luqman al-Hakim ingin pergi ke pasar dan telah dicatit segala peralatan dan barang keperluan yang ingin dibeli oleh Luqman. Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan masyarakat dan pandangan manusia, Luqman al Hakim turut membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai. Oleh kerana jarak yang jauh antara pasar dan kawasan perkampungan, mereka pergi ke pasar dengan membawa seekor keldai sebagai binatang tunggangan dan bertujuan untuk membawa barang keperluan yang bakal dibeli. Bagi memulakan perjalanan dari rumah mereka, Luqman menaikkan anaknya untuk menunggang keldai memandangkan dirinya masih bertenaga lagi.

Kampung Pertama

Ketika mereka tiba di sebuah perkampungan dengan sianak tengah menunggang keldai tersebut dan Luqman al Hakim menarik keldai dengan berjalan kaki. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama dengan seekor keldai.

“Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadap dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai! Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”

Semua orang di kampung itu menyatakan perkara sama. Terpinga-pinga Luqman mendengar jawapan daripada mereka. Lantas, Luqman berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, biarlah ayah pula yang menunggang keldai pula pada kali ini.” Kemudian, mereka meneruskan pula perjalanan menuju ke pasar.

Kampung Kedua

Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan yang luasnya lebih kurang sama dengan perkampungan sebelum ini. Tanpa memerlukan apa-apa hajat atau keperluan pada masyarakat di kampung tersebut, Luqman yang menunggang keldai, dan anaknya yang menarik tali keldai menuju ke kampung tersebut sebelum boleh tiba ke kawasan pasar. Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Penduduk kampung itu berasa ganjil dengan tingkah laku Luqman dan anaknya. Mereka mula mencela dan berkata:

“Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan. Sibapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya sianak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!

Sekali lagi, Luqman mendengar telahan peduduk kampung yang melihat keadaan mereka berdua dan mereka tetap meneruskan perjalanan.

Kampung Ketiga

Setelah melepasi kampung kedua dan berfikir beberapa ketika, Luqman berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, kali ini kita menunggang keldai ini bersama-sama sehingga tiba di pasar.”

Mereka menukar kedudukan pula dengan kedua-dua anak beranak itu bersama menunggang keldai mereka. Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar berkenaan, tiba-tiba orang ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!”

Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”

Dipersalahan juga, apa lagi yang perlu dibuat, Luqman berfikir lagi. Tidaklama kemudian Luqman menyatakan pada anaknya, “Baiklah. Kali ini kita biarkan sahaja keldai ini tanpa penunggang.”

Kampung Keempat

Pada kali ini Luqman al Hakim dan anaknya tidak menaiki keldai tersebut dan mereka berdua hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat mereka diperkatakan lagi oleh masyarakat di situ pula.

Mereka berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat yang sedia ada!”

Serba salah lagi dibuatnya, Luqman berfikir lagi. “Apa lagi yang perlu dilakukan agar perjalanan mereka lancar tanpa pandangan serong orang ramai?”

Setelah lama berfikir, Luqman mula menyatakan pandangannya, “Baiklah. Kali ini biar kita sahaja yang mengangkat keldai ini.”

Pasar

Pada kali ini dua beranak tersebut tidak menunggang, tidak juga membiarkan keldai tersebut berjalan sendirian, tetapi mereka memikul keldai tersebut. Setibanya ke destinasi terakhir di pasar, kali ini keriuhan pasar bertambah apabila melihat perbuatan Luqman dan anaknya bersama seekor keldai kepunyaan mereka. Hiruk pikuk mereka melihat dari jauh kelibat dua beranak ini yang bermandi peluh mengangkat seekor keldai!

 “Ah, gila, tidak masuk akal. Sepatutnya orang yang menunggang keldai. Bukan keldai dipikul mereka!”

Akhirnya, tanpa mahu mendengar sebarang desas desus dan orang mengata tentang tingkah laku mereka, setibanya di pasar berkenaan, keldai itu dijual. Sebelum pulang, Luqman al-Hakim berkata sesuatu kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa melihat dan mengharap kepada pandangan manusia, tiada apa yang bakal berubah pada keadaannya. Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain.Orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.”Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT.”

Oleh itu, kita tidak hairan dengan kedudukan masyarakat hari ini yang sentiasa ingin bersuara, mungkin mereka perlu maklumat, mahu memperbaiki, mahu membantu, mahu menegur dengan harapan berlaku sebarang perubahan. Selain itu, manusia juga akan sentiasa mengata dan mengata, mengkritik dan terus mengkritik walau apa sahaja yang kau lakukan, sama ada berbentuk kebaikan atau sebaliknya.

Oleh itu, kita kena positif dan berlapang dada kepada sesiapa sahaja kerana itu haknya untuk menegur, tapi biarlah bersopan, berbudi bahasa, ikhlas dan bukan berdasarkan ada kepentingan peribadi. Islam sangat melarang umatnya berburuk sangka sesama Islam, kerana berburuk sangka akan mengundang malapetaka. Biarlah syakwasangka itu berdasarkan bukti yang kukuh dan bukan sekadar memfitnah. Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristiqfar kepada Allah SWT Dosa orang yang berburuk sangka adalah besar dan perbuatan jahat, setiap perbuatan jahat Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka Allah Ta’ala.

Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka (supaya kamu tidak curiga dengan sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha mengasihani.” 

(Al-Hujurat : 12)

Sumber: shafiqolbu.wordpress.com

Maaf..Saya Hanya seorang Manusia...

"Mengapa masih melakukannya kalau sudah berjanji untuk berubah?"..selalu saya dengar pertanyaan ini. Maaf, saya hanya seorang manusia. Miliki sifat pelupa dalam sesetengah situasi.

Manusia atau insan berasal dari perkataan "nasia" iaitu lupa. Dimasdharkan (masdhar dalam Bahasa Arab bermaksud kata nama terbitan) menjadi "insan". Mengapa Allah menjadikan manusia itu dengan sifat lupa? mari muhasabah sejenak. Sekiranya manusia dijadikan tanpa sifat lupa, maka tiada neraka, syurga, dosa dan pahala..Keliru? Mari kupas satu-persatu. Allah menjanjikan syurga buat hamba-Nya yang sering mengingati-Nya, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Neraka pula Allah ciptakan untuk hamba-Nya yang menyekutukan-Nya, melakukan perkara yang dilarang dan lupa akan kewujudan-Nya. Pahala adalah ganjaran manakala dosa adalah balasan.

Tanpa sifat lupa yang Allah berikan kepada manusia, tidak akan ada dugaan dan ujian untuk meraih syurga-Nya. Saya mengupas satu-persatu perkara ini kerana ada segelintir manusia di luar sana yang tidak memahami atau pura-pura tidak memahami konsep tersebut. Dan natijahnya, dilemparkan pelbagai tuduhan kepada seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan yang sekecil-kecil zarah hanya kerana seseorang itu telah berhasrat untuk berubah tetapi dalam suatu situasi seseorang itu terlupa akan hasratnya kerana tindakan refleksi semula jadi. Seterusnya mengaitkan semua itu dengan perkara negatif yang pernah dilalui oleh individu itu sebelum ini. Mudah menuturkan semua itu kepada si pesalah, tetapi pernahkah kita bermuhasabah dengan diri kita sendiri? Inilah kelemahan manusia. Tiada yang sempurna melainkan Allah semata-mata. Kerana itulah diberikan sifat itu kepada hamba-Nya.

Saya hanya manusia yang ada sifat kelupaannya. Sesiapa sahaja ada sifat lupa. Nasihat saya, jangan mudah menjatuhkan seteruk-teruk kata kepada si pelupa kerana kita sendiri belum tentu sempurna di mata-Nya.

Peringatan buat diriku yang sering terlupa.


Warna-warna Kehidupan

Ujian itu mendatangi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan sesiapa yang mampu menghadapinya. Itulah lumrah kehidupan manusia di bumi ini. Tidak akan surut dengan ujian yang datang melanda tidak kira ujian berbentuk nikmat atau ujian berbentuk bala'.  Hidup tanpa ujian tidak mungkin akan ceria dengan warna-warna. Mengapa? Kerana ujian itulah yang mencorakkan kehidupan kita. Hidup manusia di muka bumi Allah ini ibarat kanvas putih yang masih belum tercorak dengan apa-apa warna. Ujian yang mendatangi kita itulah sebagai warnanya. Bagaimana kita sebagai pelukisnya untuk mencorakkan kehidupan kita dengan warna-warna itu.

Mungkin agak payah menyelami dan mentafsirkan kata-kata yang tersirat di atas. Pendekatan yang mudah iaitu, manusia sebagai pelukisnya, ujian itu ialah warnanya dan hidup ini sebagai kanvas putih itu. Ujian itu datang dengan berbagai-bagai warna. Hitam, merah, kuning, hijau dan biru. Kita sebagai pelukisnya mestilah inginkan warna yang ceria menghiasi lukisan kita. Maka, berus di tangan kita itulah sebagai penyelesaiannya. Minda yang positif dan optimis dalam menyelesaikan setiap masalah dan ujian yang datang itulah yang diperlukan. Namun, kadang kala emosi mendahului segalanya. Ketika itulah minda negatif mempengaruhi tindakan kita. Maka, terhasillah corak yang hitam dan lesu kerana penyelesaian berdasarkan emosi telah digunakan.

Ironinya, kehidupan kita tidak akan surut dengan masalah dan ujian. Masalah di tempat kerja, masalah peribadi dan rumah tangga. Manusia tidak akan pernah hilang daripada masalah. Berlarilah sehingga hujung dunia sekalipun, masalah tetap akan mengejar kerana selagi kita tidak menghadapi ujian itu, selagi itulah ia masih berada sebagai bayang-bayang. Cara paling mudah ialah hadapi setiap masalah tersebut dan carilah penyelesaiannya. Penyelesaian yang dimulai dengan pemikiran yang optimis mencetuskan hasil yang positif dan begitu juga sebaliknya. Analogi mudahnya, mahukah kita mencorakkan kanvas putih dengan warna yang kelam atau warna yang ceria? Tepuk dada tanya iman...

p/s: Siapa pun kita dan apa pun masalah serta ujian yang mendatangi kita, paling molek kembalilah kepada-Nya. Bermohonlah dengan-Nya. Allah menyukai hamba-Nya yang sentiasa bermohon pertolongan-Nya setelah berusaha. Dia maha pengasih dan maha penyayang. Selagi kita sebagai hamba-Nya tidak menyekutukan-Nya, maka selagi itulah kasih sayang-Nya mencurah-curah kepada kita. SubhanaAllah!!!

~Ingatan buat diriku yang terlupa~

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)