“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, February 26, 2013

Seorang Insan Bernama Perempuan

Dia hanyalah seorang insan bernama perempuan. Peribadinya cukup melambangkan dia seorang muslimah. Air mukanya mulus dan tiada cela, hanya sedikit gurisan luka yang mungkin akibat kenakalan zaman riang kanak-kanaknya. Bibirnya mudah mengukir senyuman pada setiap insan yang dikenali mahupun tidak dikenalinya. Dia bukanlah seorang artis yang perlu kisahnya dicoretkan di mana-mana laman akhbar hiburan atau medium penyampaian berita sensasi yang lain. tetapi, kisahnya dijadikan perkongsian pengalaman.
 
Dia seorang kanak-kanak yang lincah sewaktu zaman kecilnya. Dia dikenali kerana kepetahannya dalam menyampaikan cerita. Berilah apa sahaja kisah kepadanya, dengan mudahnya dia menyampaikan kisah tersebut dengan cara yang mampu menarik perhatian sesiapa sahaja. Dia dikagumi warga pendidik kerana kelincahannya. Walaupun dia tidak sehebat sahabat-sahabat yang lain dalam pelajaran tetapi Allah memberikan kelebihan dalam bidang yang lain.
 
Usianya terus meningkat sehinggalah dia menginjak zaman remajanya. Dia menjadi seorang pelajar yang terus dikagumi oleh warga sekolah. Setiap kelebihannya dipandang tinggi oleh pendidik di sekolahnya. Namun, dia bukanlah seorang yang melupakan tanah apabila tinggi melampai menuju langit. Kisahnya dalam kejayaannya menjadi benteng kebal untuk dia menutup sisi hitam dan duka dalam hidupnya.
 
Dalam kecemerlangan itu, dia bukanlah gadis yang sempurna kisah hidupnya. Walaupun dia sering mengimpikan keindahan dalam setiap hidupnya tetapi dia bukan Tuhan untuk mencipta sendiri arah tuju dan masa depan hidupnya sendiri. Dia mengharapkan yang indah tetapi Maha Pencipta menganugerahkan yang pahit untuk dirinya. Dia diuji dengan pelbagai dugaan sejak usianya masih berpucuk muda lagi. Jika diikutkan usianya tidak mungkin dia dapat menghadapi setiap kepahitan dan kesukaran tersebut. Tetapi, dia diberikan ilham oleh Penciptanya untuk menguruskan kesukaran tersebut dengan cara yang tersendiri.
 
Kini, pengalamannya mengajarnya erti kedewasaan. Lebih dewasa daripada adik-beradik kandungnya yang lain. Dia hanyalah seorang gadis muda yang cuba menjadi matang awal daripada usia sebenarnya. Dan kerana kematangannya itu, dia bangkit menjadi seorang yang berguna kepada negara, bangsa dan agamamya.
 
Dia bukan siapa-siapa pada mata masyarakat. Dia hanya seorang insan biasa bernama perempuan. Gigih berusaha walaupun sering diterjah ketidakupayaan. Jangan berteka-teki untuk mengetahui siapa dirinya. Dia hanya gadis biasa yang hidup dalam arus dunia yang sementara.

"Insan yang berjaya itu ialah insan biasa yang berusaha secara luar biasa untuk mengatasi kegagalan yang pernah bersarang dalam kehidupannya dahulu.."

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)