“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, November 20, 2014

Kematian itu Pasti

Sesungguhnya kematian itu pasti akan datang dalam hidup kita sebagai hamba-Nya. Apa yang membezakan takdir mubram (taqdir yang tidak boleh diubah/ mesti berlaku mengikut ketentuan Allah) ini adalah bila dan waktu kita akan ditebak dengan kematian itu.

Menerima berita kematian bukanlah satu perkara yang disukai lebih-lebih lagi berita itu melibatkan insan-insan yang dikenali dan pernah bersua muka. Hari ini (20 Nov 2014), satu mesej daripada teman sekolah mengisi bilangan kotak mesej telefon bimbit saya. Bergetar rasa hati menerima perkhabaran bahawa suami kepada teman sekolah kami telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Proton City sewaktu dalam perjalanan pergi mengajar di SK Proton City. Innalillahi wainnailahiraji'un..Oleh sebab saya tiada media sosial (Facebook), maka saya mungkin teman terakhir dalam kalangan sahabat yang mengenali teman saya ini yang menerima perkhabaran duka ini. Suami teman saya telah meninggalkan teman saya dan dua orang anaknya pada pukul 11.00 pagi (19 Nov 2014) selepas kecederaan yang parah di kepala dan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Apa yang menyentap rasa di hati ini ialah apabila teman saya sarat mengandung anak kedua ketika allahyarham suaminya meninggalkan mereka bertiga menuju ke alam abadi. Dan, semasa menulis entri ini, saya menerima khabar berita bahawa teman saya telah selamat melahirkan seorang puteri yang comel. Teman saya tidak dapat mengiringi langkah terakhir suaminya ke persemadian abadi kerana telah dimasukkan ke wad bersalin dan dinasihatkan untuk tidak bergerak jauh. (Suaminya disemadikan di Kuala Ibai, Terengganu).

Ya Allah, mungkin saya dan teman-teman lain yang tidak melalui situasi getir ini tidak merasai kepahitan itu, namun saya yakin janji Allah, "Allah tidak akan memberati hamba-hamba-Nya dengan ujian yang melebihi kemampuan hamba itu"...

Moga teman saya itu dapat menjalani kehidupan selepas ini dengan hati yang tekal dan tabah. Sesungguhnya walaupun berjauhan namun kami tetap ada untuk satu sama lain. Insha-Allah..

Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman..

Percaya

Kepercayaan asas dalam perhubungan.

Siapa sokong angkat tangan..^___^. Kesimpulan ini dibuat bukanlah atas dasar logik akal semata-mata, tetapi atas bukti berdasarkan pengalaman dan pendapat orang sekeliling. Ya, dalam setiap perhubungan atau ikatan yang terjalin, pasak utamanya ialah kepercayaan. Dalam komunikasi juga unsur kepercayaan ini merupakan unsur utama. Jika kita teliti, bagaimana sebuah komunikasi akan terjadi sekiranya pendengar tidak mempercayai apa yang diungkapkan oleh pembicara. Lihatlah betapa kuat sebuah kepercayaan dalam rantaian komunikasi dua hala antara individu.

Punca utama runtuhnya sebuah ikatan perhubungan adalah kerana hilangnya rasa percaya antara dua individu yang menjalinkan hubungan tersebut. Mana mungkin perasaan dalam hati akan mekar berbunga sekiranya saling tidak percaya antara satu sama lain. Rumusannya mudah, hubungan yang baik berasaskan rasa percaya.

p/s: Saya inginkan hubungan yang penuh rasa percaya..inshaAllah..akan berdua tidak lama lagi..^__^
       


sekadar mengingati...

Tuesday, November 18, 2014

Pendamkan Selagi Mampu...

Lebih baik kain terendam,
Dari rosak terkena busa,
Lebih baik diam memendam,
Dari sakit meluah rasa..

Orang kata bukan semua perkara kita perlu luahkan atau kita perlu utarakan. Ada perkara yang perlu kita pendamkan supaya tidak mengganggu ketenteraman dan perasaan sesiapa. Ada bagusnya mengambil pendekatan berdiam diri atau tidak ringan mulut menceritakan sesuatu perkara kerana dikhuatiri perkara yang kita ceritakan itu akan disalahtafsirkan oleh si pendengar.

Ya, itulah pendekatan terbaik. Komunikasi dua hala yang terbaik ialah apabila si pendengar memahami dengan baik apa yang disampaikan oleh pembicara seterusnya dapat mentafsir perkara tersebut tanpa sebarang persoalan. Konflik dalam komunikasi akan timbul apabila si pendengar tidak dapat memahami dan mentafsir dengan baik apa yang cuba disampaikan serta membuat andaian (sangkaan buruk) kepada si pembicara. Natijahnya, pertengkaran atau masalah komunikasi akan wujud.

Kadangkala apabila kita cuba menjelaskan perkara sebenar, seringkali itu juga penjelasan kita disalahtafsirkan oleh si pendengar, maka dengan mudahnya persengketaan terjadi. Oleh itu, dalam situasi ini, pendamlah apa yang ingin dijelaskan agar tidak timbul sebarang konflik hanya kerana penjelasan tersebut.

Ini pendapat saya kerana apa yang terjadi sebelum-sebelum mengajar saya bahawa seboleh-bolehnya saya perlu diamkan diri atau pendamkan sahaja perkara yang mungkin boleh mencetuskan konflik antara saya dengan pihak yang mendengar. Memang hakikatnya sakit untuk memendam, tetapi sekiranya kesakitan itu mampu menguatkan ikatan yang terjalin (tidak kira dengan sesiapa pun), sebenarnya kesakitan itu amat berbaloi.

**akan kembali seperti dulu..menjadi pemendam..***


Monday, November 17, 2014

10 Bakal Pemberi Syafaat

Tahukah kita tentang syafaat?..Kita umum mengetahui bahawa Rasullullah s.a.w ialah pemberi syaafat kepada umat Islam di akhirat kelak. Mari kita lihat 10 bakal pemberi syaafat yang di sana nanti.

Al-Quran
"Bacalah Al-Quran, sesungguhnya pada hari Kiamat kelak al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada teman-temannya".(Hadith Riwayat Muslim)

"Sesungguhnya ada satu surah dalam al-Quran, ayatnya 30 yang memohon syaafat buat seseorang hinggalah dia diampuni. Itulah surah Al-Mulk".(Hadith Riwayat At-Tirmizi)..

p/s: Sebab itulah semasa di asrama dahulu, kami diwajibkan membaca surah Al-Mulk ini. Moga memberikan kita syafaat di akhirat kelak. Insha-Allah..

Ulama
"Tiga golongan yang akan memberikan syafaat pada hari Kiamat nanti iaitu, para nabi,kemudian ulama', kemudia para syuhada'." (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Syahid
"Orang syahid mendapat enam perkara keistimewaan daripada Allah swt iaitu dia diampuni terus sebaik sahaja titidan darah pertamanya, dia dapat melihat tempatnya di dalam syurga, dia dipelihara daripada terkena azab kubur, dia aman daripada terlibat dalam kekalutan di padang Mashyar, dia dipakaikan atas kepalanya mahkota bertatahkan delima yang lebih bernilai daripada dunia dan seisinya, dia diperisterikan dengan 72 bidadari, dia diperkenankan syafaatnya untuk 70 orang sanak saudaranya". (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

Puasa
Puasa dan al-Quran akan memohon syafaat untuk hamba yang melakukannya pada hari Kiamat kelak, puasa berkata, " Ya Tuhan, aku menghalangnya (hamba itu) daripada makanan dan syahwat pada siang hari, maka perkenankanlah syafaatku untuknya. Al-Quran pula berkata, Aku menghalangnya daripada tidur pada malam hari, maka perkenankanlah syafaatku untuknya."
(Hadith Riwayat Ahmad)

Orang Soleh
"Sesungguhnya akan ada yang masuk syurga dengan syafaat seorang sahaja yang bukan nabi pun, ramainya seperti dua perkampungan atau salah satu perkampungan suku Rabi'ah dan Mudhar". (Hadith Riwayat Ahmad)

Kaum Muslimin
"Tidak ada satu jenazah yang disolatkan oleh kaum Muslimin seramai 100 orang yang semuanya memohon syafaat untuknya melainkan diperkenankan syaafat mereka untuknya." (Riwayat Muslim)

Jiran
"Tiada seorang pun muslim yang meninggal dunia lalu empat orang ahli keluarga jiran-jirannya yang terdekat mengakui kebaikannya melainkan Allah akan menyeru "Aku terima kebaikannya yang kamu ketahui dan aku ampunkan keburukannya yang tidak kamu tahu." (Hadith Riwayat Ahmad)

Anak-anak
-Janin keguguran
"Demi yang nyawaku di tangan-Nya,sesungguhnya janin akan mengheret ibunya dengan tali pusat memasuki syurga sekiranya si ibu terhalang," (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

-Anak yang mati kecil

-Istighfar si anak
"Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba soleh di dalam syurga. Maka dia bertanya, "Ya Tuhan, dari mana datangnya semua ini untukku", "Hasil istighfar anakmu." (Hadith Riwayat Ahmad)

Amalan menolong orang
Dalam riwayat lain, pada hari Kiamat kelak akan diaturkan ahli syurga mengikut saf-saf. Lalu seorang ahli neraka terserempak salah seorang ahli syurga tersebut. Ahli neraka itu pun berkata, "Wahai saudara, tidakkah aku ingat satu hari kamu meminta air lalu aku memberikan kamu minuman?" Maka ahli syurga itu pun memohon syafaat untuknya.
Dalam situasi yang lain, ahli neraka berkata, " Wahai saudara, tidakkah kamu ingat dahulu kamu pernah memohon sesuatu sekian daripadaku lalu aku bawakan untuk kamu?". Maka ahli syurga itu pun memohon syafaat untuknya.

Malaikat
Rasulullah bersabda "Maka Allah menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki dengan rahmatnya. Kemudian diizinkan malaikat, para nabi dan syuhada untuk memohon syaafat lalu mereka memohon syafaat dan dikeluarkan (daripada neraka orang yang dimohonkan syafaat untuknya)" (Hadith Riwayat Ahmad)


Ya Allah, moga kami semua termasuk dalam kalangan hamba-Mu yang menerima syafaat-Mu.

Thursday, November 13, 2014

Pintu Hidayah..

Sesungguhnya hidayah Allah itu hadir untuk mereka yang dikehendaki-Nya.

Benar. Ingatkah kita tentang pengislaman insan-insan kesayangan Rasulullah kecuali bapa saudara kesayangan baginda? Rasulullah s.a.w. memohon kepada Allah moga diberikan hidayah kepada Abu Talib untuk memperoleh sinar Islam. Namun, sehingga akhir kematian beliau, hidayah itu tidak diperolehnya.

Berbicara tentang hidayah, terpanggil saya untuk mengucapkan syukur dan kagum kepada seorang teman seperjuangan di menara gading. Sesungguhnya teman itu salah seorang daripada hamba-Nya yang memperoleh hidayah-Nya. Subhanallah!!. Melihatkan gambar-gambar yang dikirimkan melalui seorang teman yang lain, hati mengucap syukur dan bertahmid kepada-Nya atas kurniaan hidayah buat teman itu.

Sekiranya dulu, mengenali teman itu sebagai seorang yang sangat ranggi dan mengikut trend semasa, tetapi kini,hati menjadi sedingin ais melihatkan perubahan terbesar beliau. Bertudung labuh, berjubah dan berniqab sudah menjadi pakaian harian beliau. Mengalir air mata melihatkan teman yang pernah suatu ketika sebelum meninggalkan tempat itu, sempat beliau menitipkan pesan memohon agar saya mendoakannya supaya menjadi seperti saya. Namun kini saya yang rasa ingin menjadi sehebat beliau. Termalu kerana saya sendiri belum lagi melaksanakan niat untuk berniqab sebagaimana beliau.

Perubahan itu memerlukan istiqamah yang berterusan. Istiqamah itu sendiri bererti membuat sesuatu secara konsisten dan berterusan. Teman itu telah pun berisitiqamah dengan perubahannya. Saya?..hanya impian yang masih belum terlaksana. Kadangkala merasakan saya gagal melaksanakan impian untuk berubah kepada yang lebih baik hanya kerana kekangan mudah yang tidak mampu saya tepis walau seinci.

Sesungguhnya saya terlalu ingin kembali ke zaman dahulu. Betapa saya merindui zaman itu walaupun telah hampir sembilan tahun saya tinggalkan. Mungkin kerana bi'ah (persekitaran) saya kini bukanlah dalam kalangan mereka yang dahulu menjadikan saya tidak ampuh untuk meneruskan niat yang telah lama tersimpan rapi dalam kotak hati ini.

Namun, telah saya pahatkan niat itu pada satu garis masa yang apabila tiba waktunya, akan saya laksanakan niat dan terus beristiqamah seperti teman saya itu. Hanya doa dan kekuatan yang saya mohon dari Allah agar dikuatkan iman untuk terus cekal tanpa beralih ke belakang semula tatkala niat itu dilaksanakan dalam bentuk perbuatan pada satu masa yang bakal tiba itu nanti. InshaAllah..

Istiqamah itu memerlukan kekuatan iman dan akal untuk terus tegak pada paksi yang sama tanpa beralih walau seinci.



Wednesday, November 12, 2014

Kasih Sayang Tuhan...

Subhanallah..Alhamdulillah..Allahuakbar..
Moga Allah merahmati anda yang membaca apabila mengalunkan tahmid dan zikir ini.

Allah bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim..terlalu banyak kasih sayang Allah untuk hamba-hamba-Nya. Saya titipkan contoh kasih sayang Allah dari sudut kecil dalam sisi kehidupan kita. Kita semua sebagai hamba-Nya terlalu banyak melakukan dosa sama ada besar mahupun kecil. Tetapi, Allah sangat Ar-Rahman dan Ar-Rahim kerana Dia tidak menghukum hamba-Nya serta-merta malah Dia memberikan peluang taubat kepada kita semua.

Saat kita ditimpa musibah (kesakitan), Allah menarik empat nikmat kita iaitu kesihatan, keserian wajah, kegembiraan dan dosa kita. Namun, setelah kita kembali sihat, Allah mengembalikan semula tiga nikmat kepada kita. Tiga nikmat?..Ya, hanya tiga daripada empat nikmat yang dikurniakan kepada kita. Allah memberikan semula nikmat kesihatan, keserian wajah dan kegembiraan. Tetapi Allah tidak mengembalikan semula dosa-dosa kita. Masya-Allah! Inilah kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Bayangkan sekiranya Allah mengembalikan segala dosa yang bertimbun-timbun itu kepada kita semula?Astaghfirullah!!tidak tertanggung kita, bahkan sekiranya diletakkan di atas gunung, nescaya runtuhlah gunung tersebut. Lihatlah betapa Allah menyayangi kita semua walau sebesar mana dosa kita terhadap-Nya. Kerana itulah, kesakitan itu dianggap sebagai penebus dosa-dosa yang lalu. Melalui kesakitan, kita kembali mengingati Allah dan mengharapkan Allah menyembuhkan setiap penyakit kita, tetapi apabila kita telah kembali sihat, kita tidak pula bersyukur atas segala kurniaan-Nya.

Ingatlah, kasih sayang Allah tidak pernah ada sempadannya. Dia tidak pernah meninggalkan hamba-Nya keseorangan tatkala hamba-Nya tergapai-gapai mencari pedoman. Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Tuesday, November 11, 2014

Penawar Hati...

"Dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang..."

Itu janji Allah untuk setiap hamba-Nya. Ketenangan hati bukanlah boleh dinilai dengan wang atau harta. Jika itulah ukurannya, pasti ketenangan itu hanya diperoleh oleh golongan berada dan berharta, namun mereka yang kaya ini juga tidak mampu membayar harga sebuah ketenangan.

Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mempunyai ketenangan itu. Ajaib bukan?..Hanya dengan menyebut dan mengingati-Nya, hati sesiapa sahaja akan tenang. Ketenangan paling tinggi ialah melalui solat. Kajian sains membuktikan bahawa, apabila manusia berada dalam keadaan sujud iaitu kepala berada dalam kedudukan terendah, darah akan mudah mengalir ke otak dan membolehkan jantung berada dalam keadaan stabil. Itu dari sudut sainsnya. Lihatlah, canggihnya Islam!

Berbicara tentang solat, kita hanya tahu solat fardhu yang dikerjakan 5 kali sehari, tetapi pernahkah kita menjadikan solat sunat sebagai rutin harian kita. Solat yang besar fadilatnya tetapi sering kita abaikan ialah solat sunat Dhuha. Oleh sebab solat Dhuha ini waktunya berada dalam waktu kita bekerja, kita meringankannya, sedangkan kekuatan Dhuha itu sebagai pembuka pintu rezeki tidak pernah kita ketahui.

Fadhilat Solat Dhuha

Solat Dhuha ini seelok-eloknya dikerjakan secara istiqamah iaitu, setiap hari kerana solat Dhuha ini mempunyai pelbagai kelebihan dan fadhilatnya yang besar. Seseorang itu akan memperolehi keampunan Allah SWT, murah rezeki dan ketenangan jiwa serta kehidupan.

  • Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”
 
  • Rasulullah SAW  bersabda:  “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila  tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”   (HR At-Tabrani)

  • Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadits lain dari Nuwas bin Sam’an,  “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.”   (HR. Haklim dan Tabrani).
 
Maka, ingatlah, ketenangan hati bukanlah dengan berwindow shopping atau tidur sepanjang hari, tetapi ketenangan hati itu terdapat dalam rutin harian kita sendiri. Carilah kuncinya dalam setiap solatmu, pasti ketenangan itu yang kamu perolehi. Wallahu 'a'lam..


 



 
 

Monday, November 10, 2014

Ia datang dan pergi...

Bercerita tentang peluang. Kadangkala kehadiran peluang yang datang kepada kita di saat kita amat memerlukan peluang itu mungkin sekadar ujian yang disisipkan untuk kita dalam melayari kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Bukan semua peluang yang datang itu adalah nikmat yang dikurniakan. Berkemungkinan peluang itu membuatkan kita terpaksa memilih satu jalan antara dua jalan yang terbentang luas di hadapan kita. Berbicara tentang peluang yang hadir, lihatlah ia daripada pelbagai sudut dan pandangan orang lain. Mungkin pada kita, apa yang hampir tergenggam dalam tangan adalah yang pilihan yang terbaik untuk kita, tetapi fikirkanlah semula, apa yang hampir dengan kita itu mungkin bukan milik mutlak kita.

Peluang yang hadir dalam hidup baru-baru ini saya lepaskan dengan hati yang tenang. Biarlah orang lain mengatakan saya membuat kesilapan yang terbesar pernah saya lakukan dalam membuat pemilihan, tetapi saya rela mengenepikannya demi keredhaan yang saya nantikan. Bagi saya, peluang itu adalah ujian buat diri dan memerlukan saya membuat keputusan yang jitu, namun keputusan muktamad daripada insan yang terlalu rapat dengan saya lebih saya utamakan.

Insha-Allah, melepaskan peluang itu pergi bukanlah bermakna hidup dan kejayaan saya berakhir di sini tetapi ia adalah sebagai permulaan hidup saya untuk menanti cabaran baru yang lebih mencabar di hadapan.

Allah lebih tahu apa yang saya perlukan melebihi apa yang saya inginkan. Insha-Allah.. berakhirnya satu peluang mungkin akan terus membuka peluang yang baru..ibarat kata pujangga Inggeris, "When one door closes, another opens; but we often look so long and so regretfully upon the closed door that we do not see the one which has opened for us."

Maka, berbahagialah kerana Allah lebih mengetahui hikmahnya di sebalik setiap kejadian itu. Wallahua'lam..




Friday, November 7, 2014

Ombak dan Pantai

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.."

Ungkapan yang biasa tetapi mendalam maksudnya. Bukan kerana unsur alamnya tetapi makna yang terkandung di sebalik apa yang terjadi pada alam itu.

Cuba tanya kepada pakcik-pakcik kerja nelayan atau keluarga yang tinggal berhampiran pantai, ada tak orang buat rumah betul-betul di tepi pantai? Pastinya tiada kan, sebab kalau kita bina istana pasir pun mesti istana tu akan musnah juga apabila ombak yang agak kuat datang menghempas pantai.

Begitu juga dengan kehidupan kita. Sekiranya kita tidak mampu menepis masalah yang datang kepada kita, biarlah kita beralih arah dan berhijrahlah daripada terus-menerus membiarkan diri ditimpa masalah yang sama. Ombak itu ibarat dugaan yang datang kepada kita, rumah pula ibarat diri kita. Sekiranya kita mampu mengharung dugaan itu, teruskanlah bertapak di situ. Tetapi jika kita tidak mampu berhadapan dengan ujian itu, fikirkanlah jalan terbaik.

Kesimpulannya, tiada siapa mahu dirinya terjebak dengan ujian tetapi tanpa ujian, manusia tidak akan matang dalam meneruskan kehidupan di atas bumi Allah ini. Allah tidak akan mendatangkan ujian kepada hamba-hamba-Nya melebihi kesanggupan mereka sendiri. Namun, sekiranya tidak mampu menghadapi dugaan itu, jangan sesekali mencari ruang untuk menjerumuskan diri ke dalam masalah tersebut.

p/s: Saya suka rumah yang ada pemandangan pantai. Subhanallah cantik!..tengok laut pun boleh dapat pahala..insha-Allah..

Thursday, November 6, 2014

Dari kerana Mata..

"Keunggulan cinta dari sinar mata..."

"Dari kerana mata yang mempunyai kuasa..."

"Dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati..."


Banyak yang kita dengar tentang mata. "Ainun" dalam bahasa Arabnya. "Eye" dalam bahasa Inggerisnya. Sesungguhnya kerana mata segalanya bermula. Dari mata juga timbulnya apa jua perasaan. Kerana mata itu jugalah mungkin kita bakal menjadi penghuni syurga atau pun neraka.

Kisah Si pemilik mata

Diceritakan kisah seorang sahabat bernama Hassan al-Basri. Hassan Al-Basri merupakan seorang pemuda yang tampan dan segak di kota Basrah. Beliau sering berjalan-jalan di sekitar kota Basrah kerana sangat suka dengan persekitaran kota tersebut dan penduduknya yang ramai.

Pada suatu, ketika sedang berjalan-jalan, Hassan Al-Basri terlihat seorang gadis yang cantik. Keinginan seorang lelaki yang ada pada pemuda seperti Hassan Al-Basri mendorong beliau mengekori gadis itu. Melihatkan perbuatan Hassan, si gadis berasa kurang selesa lantas bertanya kepada Hassan Al-Basri, "Adakah engkau tidak malu?". Hassan bertanya kembali, "Malu kepada siapa?". Gadis itu membalas, "Malu kepada Zat yang maha Mengetahui mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas dalam hati."

Tertanam rasa cinta dalam hati Hassan Al-Basri terhadap si gadis itu sehingga dia tidak mampu mengawal nafsunya. Dia terus sahaja mengekori si gadis tersebut. Gadis itu kemudian berpaling sambil bertanya kepada Hassan, "mengapa kamu masih mengekoriku?". "Aku terpesona dengan pandangan matamu", balas Hassan Al- Basri.

Lantas si gadis membalas kata-kata Hassan Al-Basri, "kalau begitu, engkau tunggu di sini, nanti akanku kirimkan apa yang engkau kehendaki." Hassan Al-Basri tersenyum kerana beranggapan si gadis akan membalas rasa cinta sebagaimana rasa cinta di hatinya.

Tidak lama kemudian, datanglah seorang pelayan dengan bekas yang bertutup sapu tangan lalu dihulurkan bekas tersebut kepada Hassan Al-Basri. Ketika Hassan membuka sapu tangan itu, ternyata di dalamnya ialah sepasang mata. Pelayan itu berkata, "sesungguhnya tuan puteri telah berkata, aku tidak mahu mata yang membuatkan aku menjadi fitnah dan mempersonakan orang". Sebaik mendengar kenyataan daripada si pelayan, Hassan Al-Basri berasa gementar sehingga tegak bulu romanya dan memegang janggutnya seraya berkata, "Celaka engkau, sudah berjanggut tetapi tidak malu kepada gadis itu!"..Hassan pun menyesal lalu bertaubat pada saat itu juga sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman.

Keesokannya, Hassan pergi ke rumah gadis cantik itu dengan tujuan untuk memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku semalam. Setibanya di rumah itu, dia melihat pintu tertutup dan mendengar suara tangisan di dalamnya. Hassan Al-Basri bertanya kepada penduduk di sekitar itu dan mereka menyatakan bahawa pemilik rumah itu telah meninggal dunia. Hassan kembali ke rumahnya dan menangis menyesali perbuatannya selama tiga hari tiga malam. Malam itu, beliau telah bermimpi bertemu dengan gadis cantik itu. Hassan berkata kepada gadis cantik itu di dalam mimpinya, "Wahai gadis, maafkanlah semua kesalahanku padamu". Wanita itu seraya menjawab, "Sudah aku maafkan semua kesalahanmu kerana aku telah memperoleh kebaikan daripada Allah kerana engkau".

"Wahai gadis, berikanlah aku nasihatmu", kata Hassan Al-Basri. "Jika engkau engkau bersendirian, berzikirlah mengingati Allah, dan pada waktu pagi mahupun petang, beristighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya".

Mendengarkan nasihat gadis itu, Hassan Al-Basri mengamalkannya dan melaksanakan nasihat tersebut sehingga beliau menjadi ahli sufi dan sifat zuhudnya kepada Allah swt. Beliau memperoleh darjat yang tinggi di sisi Allah.

Kesimpulannya, dari kerana mata fitnah akan mula wujud. Dari mata itulah akan turun kepada lisan lalu berkembang dan berserakanlah fitnah tentang sesuatu perkara itu.

Bagi wanita, jagalah pandanganmu. Tundukkanlah selagi mampu engkau tundukkannya.

p/s: Teringin nak berniqab..moga hajat itu terlaksana selepas kaki menjejak tangga BM (baitul muslim)..

Tuesday, November 4, 2014

Amalan yang Sukar Diamalkan

Dalam meniti kehidupan seharian, sebenarnya tanpa kita sedar kita telah menyakiti ramai orang di sekeliling kita. Kita terlalu ingin menjejakkan kaki ke syurga dan segala amalan wajib dan sunat kita laksanakan tanpa henti. Alhamdulillah..Namun, sedarkah kita ada tiga amalan yang terlalu sukar kita laksanakan namun tiga amalan mudah inilah yang menjamin jejak kita sampai ke syurga.

Diriwayatkan sebuah kisah pada ketika Rasulullah s.a.w sedang menyampaikan tazkirah (syarahan) baginda, tiba-tiba baginda berkata "sebentar lagi kalian akan melihat pemuda ahli syurga". Rasulullah s.a.w menyatakan sedemikian sebanyak 3 kali. Seorang sahabat bernama Muaz bin Jabal berasa hairan kerana pemuda itu sederhana sahaja rupanya. Muaz yang kehairanan dan penuh rasa ingin tahu telah menemui pemuda itu dan meminta izin untuk menumpang tidur beberapa malam di rumahnya.

Sepanjang berada di rumah pemuda itu, Muaz mengamati setiap amalan pemuda tersebut. Malam pertama di rumahnya, pemuda itu tidak bangun bertahajud sedangkan Muaz bangun melakukan qiamulail. Pemuda itu hanya bangun apabila tiba waktu subuh. Selepas solat subuh, Muaz dan pemuda itu membaca al-Quran tetapi si pemuda membaca al-Quran tidak berapa fasih. Muaz kehairanan. Masuk pula waktu Dhuha, Muaz bergegas melaksanakan solat Dhuha sedangkan si pemuda itu tidak.

Muaz sangat hairan kerana apakah amalan pemuda ini sehingga Rasulullah s.a.w menyatakan dirinya sebagai ahli syurga?

Kehairanan Muaz menyebabkan Muaz bertanya kepada pemuda tersebut, "Aku amati tiada apa yang istimewa pada dirimu tetapi baginda Rasulullah s.a.w menyatakan kepada kami semua bahawa engkau ialah ahli syurga. Engkau tidak bertahajud, membaca al-Quran masih kurang fasih, bahkan engkau tidak mengerjakan solat Dhuha."

Si pemuda menjawab dengan tenang, "Sahabat, memang aku belum mampu bertahajud, belum mampu membaca al-Quran dengan fasih dan aku masih belum mampu juga mengerjakan solat Dhuha, tetapi ketahuilah sahabat, aku sudah berminggu menjaga tiga amalan baru yang mampu aku amalkan".

"Apakah amalan itu?"

"Pertama, aku berusaha untuk tidak menyakiti orang lain. Sekecil mana pun perkara itu, aku seboleh-bolehnya tidak menyinggung perasaan orang lain. Aku tidak ingin mereka disakiti oleh kata-kataku atau perbuatanku.

"Kedua, aku berusaha untuk tidak marah dan cuba memaafkan orang yang menyakitiku. Kerana aku tahu Rasulullah tidak suka marah dan sangat suka memaafkan."

"Ketiga, aku berusaha untuk menjaga tali silaturrahim. Menjalinkan hubungan baik dengan sesiapa pun dan berusaha menjalinkan semula tali silaturrahim yang telah terputus."

Terpana Muaz ketika itu, mengalir air mata mendengarkan amalan pemuda tersebut. "Wahai pemuda, sesungguhnya kamu memang ahli syurga. Aku sendiri belum mampu melaksanakan ketiga-tiga amalan itu walaupun amalan sunat dan sunnah Rasulullah aku ikuti."

Kesimpulannya, amalan mudah pun masih belum tentu kita amalkan. Nampak mudah pada kita tetapi sebenarnya terlalu sulit untuk kita laksanakan. Wallahu a'lam bissowab..

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)