“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, January 29, 2013

Ahlan Wa Sahlan Puteri-puteriku.

28 Januari memberikan khabar gembira kepada keluarga kami apabila lahirnya seorang insan suci yang menjadi ahli keluarga baru kami. Debaran demi debaran menyelubungi seisi keluarga tercinta tatkala menanti detik-detik cemas kakakku yang menahan kesakitan untuk melahirkan bayi sulungnya selama hampir 48 jam.

Kelahiran si kecil ini menjadi sandaran harapan umi dan abinya untuk membesar sebagai mujahidah solehah yang berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Bukan setakat harapan mereka malah harapan kami semua. Kini keluargaku sudah mempunyai tiga orang si kecil yang mewarnai hari-hari minggu keluarga kami.

2009
Lahirnya puteri sulung permata ayah dan ibu..Cucu sulung keluarga kami. Membawa nama AISYAH NURHUDA memberikan kami keceriaan melihat telatahnya yang mencuit hati.

2011
Menyusul pula si kecil montel yang menjadi puteri kedua keluarga kami. NUR ZULAIKHA lebih memberikan kami kegembiraan dengan kemontelannya. Baru menginjak usia 2 tahun tetapi telatahnya mengalahkan kanak-kanak yang telah berusia 3 tahun. Mulutnya tidak henti-henti memberikan senyuman dan kata-kata yang kadang kala sangat kelakar.

2013
kelahiran baru keluarga kami. Penantian umi dan abinya untuk menjadi permata hati keluarga mereka. NUR AUNI NAJIHAH..moga dirimu menjadi ratu hati keluarga...insyaALLAH..

Merekalah jantung hati diriku..tempat mencurahkan manja dan suka dukaku..
Ya ALLAH Engkau jadikanlah mereka sebagai mujahidah-mujahidah yang sentiasa dahagakan perjuangan untuk membela agama-Mu..

Friday, January 4, 2013

2013 : Permulaan Sebuah Kisah Kehidupan

2013 baru sahaja menjejakkan langkahnya ke dalam hidup saya beberapa hari yang lalu. Begitu juga dengan mereka di luar sana. Takwim 2013 pasti sahaja bakal terisi dengan pelbagai agenda suka dan duka dalam diari hidup saya.

Pertanyaan pertama yang diajukan oleh seorang sahabat saya pada petang tahun baru beberapa hari yang lalu ialah mengenai azam saya untuk tahun ini. Azam? Itulah pertanyaan yang saya lontarkan kembali kepadanya. Azam saya pada tahun ini cuma berkurang sedikit berbanding tahun sebelum ini. Saya bertanya kembali kepada sahabat saya itu, apakah azam beliau pada tahun ini. Lantas dia menyatakan bahawa dia ingin cepat menamatkan zaman bujangnya. Hati saya mengiyakan. Memang itulah azam hampir kesemua sahabat yang saya kenali. Alhamdulillah jika itu yang dihajatkan oleh mereka pada tahun ini. Doa dan harapan yang saya iringkan untuk mereka.

Saya kembali ditanya dengan persoalan yang sama. Lantas saya menjawab azam saya adalah untuk membahagiakan ibu ayah dan keluarga saya. Sahabat saya meperlihatkan wajah yang pelik. Lalu saya katakan kepadanya bahawa saya tidak lagi ingin memikirkan hal pasangan hidup untuk setahun ini. Mengapa? Jawapan saya mudah, perkahwinan itu soal tanggungjawab antara kita dengan Allah.
Laksanakanlah tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, mak ayah dahulu dengan sempurna, baru memikirkan soal pasangan hidup. Melaksanakan tanggungjawab dengan baik terhadap mak ayah, secara tidak langsung akan melatih diri kita untuk lebih bertanggungjawab dengan keluarga yang bakal dibina kelak. Mudah bukan? 


Namun, saya tahu setiap individu berbeza-beza akan persepsi dan pendapatnya. Ini pendapat saya kerana saya tidak lagi meletakkan harapan kepada soal perkahwinan. Hal ini kerana saya telah pun meletakkan keluarga saya pada tingkat yang pertama dalam azam saya pada tahun ini. Harapan saya supaya apabila keluarga di hadapan, urusan lain bakal dipermudahkan.
 
Tahun 2013 diharapkan akan memberikan satu rentetan kehidupan tidak kira pahit atau manis dalam hidup saya. Jika tahun 2012, diari kehidupan saya diwarnai dengan episod suka dan duka dalam persahabatan, perhubungan, kekeluargaan. Begitu juga harapan saya untuk tahun ini, cuma saya berharap agar episod suka lebih mengisi ruang rentetan berbanding yang duka. InshaALLAH.

Dalam hati saya ada harapan yang hanya ALLAH yang lebih mengetahuinya. Moga tahun 2013 melangkah dengan baik dan mengajar saya untuk menjadi lebih matang dan dewasa. Ahlan wa sahlan wa Marhabban ya 2013.



Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)