“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Wednesday, December 31, 2014

2014...


2014..
Tahun kedukaan, tahun kesedihan..
Terselit 1001 kisah tangis tawa di dalammu..
Ternyata yang duka melebihi yang suka..
Yang tangis menenggelamkan yang tawa...

Tiraimu bermula kisah tragedi...
370 hilang menyepi..
Sehingga kini masih mencari..
Mereka yang menyayangi terus menanti...

17 ditembak tanpa bicara..
Dibiarkan tanpa sebarang keadilan yang bersuara..
Sepi di mahkamah dunia...
Tenanglah kalian semua di alam abadi sana...

Hujung tiraimu terselit lebihan gusar..
Limpahan air mengganas dan berpusar..
Ibarat tsunami tengkujuh meranapkan harta dan nyawa...

8501 menambahkan duka...
Terhempas tanpa sedar...

2014...
Bukan sahaja kedukaan negara dan dunia,
Dukanya bertamu dalam diriku jua..
Sakitnya menempuh setiap langkah hingga penghujungnya..
Terasa hati semakin lemah..tidak betah meneruskan apa yang telah bermula...

2015...
Hadirlah dengan keceriaan...
Limpahkan kepada kami kerahmatan...
Biarkan 2014 menjadi pengajaran..
Agar generasi hadapan mengerti setiap kenangan...
Apa yang berlaku adalah ujian dan hikmah milik Tuhan...
Kerana bumi dan alam ini hanya pinjaman..
Semakin ke hadapan, semakin kuat setiap cabaran..
Pohonlah keampunan agar taubat kita terus diterima...

Monday, December 29, 2014

Pemergian yang direlakan...

2014 yang bakal ditinggalkan jauh-jauh dari dalam hidup ini..

Ada sesetengah perkara suka dalam 2014, ada juga perkara duka terselit di dalamnya, tetapi saya mengambil keputusan untuk menyemat terus helaian-helaian 2014 yang telah saya bukukan ini. Disematkan ketat-ketat, disimpan dalam kotak dan dibuang jauh-jauh dari dalam kehidupan saya. Biarlah perkara suka itu terbuang sama kerana hanya sekelumit kegembiraan yang menghiasi helaian-helaian itu.

2014 mengajar saya tentang segalanya. Keperitan mewarnai setiap diari kehidupan saya genap setahun ini. Biarlah 2014 pergi sebagaimana perginya semua perkara suka dan duka sepanjang tahun ini.

Pergilah sejauh-jauhnya....





 




Wednesday, December 24, 2014

Peringatan daripada Allah...

Musim banjir kembali semula seperti biasa, tetapi kali ini memang luar biasa kerana bukan setakat negeri pantai timur sahaja yang merasai gelombang banjir akhir tahun, malahan negeri di pantai barat semenanjung juga turut menerima tempiasnya. Mudah cerita, mana-mana negeri yang bersempadan dengan Kelantan, Terengganu atau Pahang sedang merasai keperitan tersebut.

Ingatkah kita semua tentang peristiwa pertengahan tahun ini iaitu Malaysia dilanda musim kemarau yang berpanjangan dan menyebabkan air di empangan menjadi hampir kering?..Ketika itu, kita semua merungut menyatakan kemarau telah meragut kegembiraan kita semua. Kali ini pula, air di empangan berlebih-lebihan sehingga terpaksa dilepaskan ke sungai-sungai. Sekali lagi kita semua merungut dan meratap tangis mengatakan air tidak surut-surut sehingga banjir berlarutan.

Lihat!!..manusia tidak pernah merasai cukup. Mungkin Allah lebih tahu hikmah di sebalik semua ini berlaku. Jika kita teliti semula, berbagai-bagai perkara duka berlaku dalam tahun ini, bermula dengan kehilangan MH370 yang menjadi misteri yang tak terungkai sehingga kini, puting beliung yang tidak pernah ada pun di kawasan Malaysia tiba-tiba datang ke utara tanah air, kedukaan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine yang sehingga kini seolah-olah tiada keadilan buat mangsa-mangsa, musim kemarau berpanjangan sehingga ada negeri diisytiharkan darurat, dan akhirnya banjir besar yang melanda negeri-negeri dalam Malaysia. Satu-persatu perkara duka berlaku kepada kita semua, tetapi pernahkah kita semua (boleh juga dibaca mereka semua) mengambil iktibar atau pengajaran?..

Saya tidak melihat keinsafan dalam diri mereka yang berkenaan atau sesiapa sahaja berikutan setiap perkhabaran duka yang berlaku dalam tahun ini, malah mereka berkelakuan seperti setiap perkara duka itu tidak pernah berlaku. Konsert dan hiburan masih dibenarkan, tarian yang merosakkan dan program yang melalaikan menghiasi kalendar negara. Pernahkah terfikir atau terlintas sekelumit dalam hati masing-masing bahawa setiap yang berlaku ini adalah natijah daripada kemungkaran yang kita lakukan dan peringatan daripada Allah?

Sebagai makhluk di bumi Allah ini, kita beringatlah bahawa kita hanya meminjam alam ini daripada-Nya. Berbuat baiklah (beramal soleh dan melakukan kebaikan) selagi Allah memberikan nafas untuk terus menghirup udaranya di muka bumi milik-Nya ini.

Moga perkhabaran duka yang berlarutan sehingga kini ini akan memberikan perkhabaran ceria. Doa dan harapan saya untuk saudara-mara di negeri-negeri yang mengalami musibah tetap saya lantunkan selagi termampu, insha-Allah.

Tuesday, December 16, 2014

Kita tetap Sahabat selamanya!!!

 Ini kisah tentang persahabatan..

Sahabat ada waktu saya berduka..
Sahabat ada saat saya kecewa...
Sahabat ada tika saya gembira...

Sahabat tetap ada walaupun saya meniti usia dewasa...
Sahabat tetap bersama-sama saya walaupun saya ditinggalkan kecewa..
Dan,
Sahabat sentiasa di hati saya walaupun hati saya pernah terluka kerana si dia...

Romantik mana pun kekasih,
Sahabat tetap yang paling setia...

Berjanji setinggi langit pun seorang kekasih,
Keikhlasan bersahabat itulah yang paling bermakna..

Saya sayang sahabat-sahabat saya dunia akhirat...




 

Friday, December 12, 2014

Kerana Sesungguhnya....

Saat mata memandang langit di sini,
Aku tahu dia juga memandang langit yang sama di sana...

Tika diri menghirup udara di sini,
Aku tahu dia juga sedang menghirup udara yang sama di sana...

Saat sang mentari menyinari hari-hariku di sini,
Aku tahu dia juga merasai sinaran matahari yang sama di sana...

Tika hatiku melagukan rindu untuknya,
Aku juga tahu dia turut melagukan irama yang sama...

Kerana sesungguhnya,
Kita berada di bawah langit yang sama,
Menghirup udara di bumi yang sama,
Merasai sinaran cahaya mentari pada garis masa
 yang sama..

Kerana sesungguhnya alam ini milik mutlak Yang Esa,
Merasai pinjaman yang sementara dari-Nya..

Rindu dan cinta yang dikurniakan untuk kita,
Agar kita punya rasa mengasihi dan dikasihi,
Merindui dan dirindui...

Walau jarak dan tempat memisahkan kita...

Zahratunnur, Kuala Lumpur, Dis 2014


Wednesday, December 10, 2014

Terlajak Perahu....

Kadang-kadang kita tidak sedar dalam kehidupan kita seharian ini, kita pernah dan ada menyakiti hati orang lain yang berada di sekeliling kita. Tanpa kita sedar, ada hati yang terluka kerana perbuatan, tutur kata dan tingkah laku kita. Dengan mudahnya kita melupakan setiap kesalahan yang kita lakukan tanpa kita tahu ada hati yang masih lagi terseksa kerana kesalahan kita. Kerana itulah ada bidalan lama yang berbunyi, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".

Kisah Paku dan Kesannya...

Suatu ketika seorang ayah melihat anaknya yang sering marah-marah. Makian dan cacian pasti akan terbit daripada mulutnya. Melihatkan kelakuan si anak itu, si ayah memanggil si anak ini pada suatu hari. "Wahai anakku, mengapa kamu sering marah-marah? Apakah yang membuatkan kamu berasa panas hati?", tanya si ayah. Si ayah telah memberikan cadangan supaya si anak ini pergi ke bangsal di belakang rumah mereka apabila berasa marah. Si ayah menyuruh si anak membawa paku dan tukul. Setiap kali si anak telah memarahi atau menyakiti hati seseorang, si ayah menyuruh si anak memaku paku tersebut di papan bangsal itu. "Wahai anakku, sekiranya kamu telah berasa tenang dan boleh berfikiran rasional, kamu cabutlah setiap paku yang telah kamu pakukan itu".

Lalu si anak pun melakukan setiap perkara yang dicadangkan oleh ayahnya. Sehingga setelah si anak telah mampu berfikiran rasional, si anak memberitahu ayahnya dan mencabut kembali setiap paku yang berada di papan bangsal itu. "Anakku, lihatlah apa yang terjadi kepada papan bangsal itu. Walaupun kamu telah mencabut paku itu daripada papan itu, namun kesannya masih tetap ada. Begitulah juga dengan perasaan manusia. Walaupun kamu telah memohon maaf atas kesilapan yang kamu lakukan kerana memarahi mereka yang kamu rasakan bersalah, namun perasaan terluka itu tetap masih berbekas dalam hati mereka."

Tertunduk si anak mendengarkan kata-kata si ayah.

Ingatlah, sekecil mana pun kata-kata kita yang mampu mengguris hati seseorang, luka yang wujud di hati seseorang itu belum tentu sembuh dengan sekali kemaafan kita kerana dia juga manusia seperti kita.

Maka beringatlah, kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang.

Awak, maafkan saya kerana selalu menyakiti hati awak.


Saya dah menyesal...













"Maafkan saya ye.."

Monday, December 8, 2014

Terakhir untuk Tahun ini..

Pejam celik..pejam celik..tidak disangka-sangka, 2014 hampir tiba ke penghujung hayatnya. Hanya berbaki 22 hari sahaja lagi tirai 2014 bakal dilabuhkan dan memberikan peluang kepada tahun 2015 bertandang ke dalam hidup kita semua.

Sebenarnya, tahun 2014 ialah tahun tangisan untuk saya. Tahun yang paling mencabar dan tahun yang paling banyak mengguris hati dan perasaan saya sehingga luka yang ada belum sembuh sepenuhnya. Namun, saya terima kelukaan itu semua sebagai satu pengalaman dalam meniti fasa kehidupan seorang manusia.

Pada saya, kita tidak boleh mengharapkan indahnya masa depan seperti indahnya masa yang telah lepas tetapi berdoalah moga masa depan lebih baik daripada masa yang pernah kita lalui sebelum ini. Sesungguhnya tiada siapa yang akan mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa depan melainkan Allah s.w.t. Sebagai seorang manusia, perasaan kesal atau ingin kembali ke masa lalu pasti akan terdetik dalam hati walaupun sementara sahaja perasaan itu bertandang. Kadangkala kita terbuai dengan perasaan rindu dan mengenang apa yang pernah kita lalui pada masa yang lalu dan mengharapkan masa yang di hadapan juga akan seindah yang pernah kita hadapi, namun hakikatnya tidak mungkin apa yang telah berlalu itu akan berlaku semula pada masa depan.

Saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik pada tahun-tahun hadapan melebihi keindahan yang pernah saya lalui sebelum ini. Biarlah keindahan dalam kehidupan saya sebelum ini saya sematkan dalam kotak kenangan supaya tidak ada satu pun yang terlepas atau terpadam dalam memori. Keindahan akan datang pula akan saya nantikan sentiasa.

Moga ada cahaya yang terang di hadapan..

"Sesungguhnya semalam adalah memori, hari ini ialah realiti, esok ialah misteri.."



Moga dia tahu maksud saya..^__^




Wahai masa depan...^__^

Thursday, December 4, 2014

Pantun Peribahasa II

Sudah berbunyi paku dan pahat,
Tanda rumah siap sudah,
Kuman di pulau jelas terlihat,
Gajah di depan buat tak endah..


Anak rusa berjalan-jalan,
Malang diburu Pendekar Jawa,
Umpama pungguk menunggu bulan,
Makin menanti makin kecewa...



Wednesday, December 3, 2014

Bila Hati Berbicara...

  
 
 
 
Sebenarnya, banyak perkara yang dipendamkan oleh seseorang kerana bukan semua perkara perlu dan harus dikongsikan dengan orang lain. Serapat mana pun seseorang itu dengan seseorang yang lain, bukan semua perkara dapat diluahkan. Adakalanya ia memerlukan ruang persendirian dan tertutup. Kebalnya hati seseorang itu kerana kuatnya dia menghadapi segala dugaan tanpa orang lain yang memahaminya.
 
Menangislah..kerana tangisan itu membuatkan diri dan jiwamu lebih tenang..
 
 
"Kerana sesuungguhnya tiada sesiapa yang mampu memahami hatimu melainkan dirimu sendiri dan Penciptamu"...

Tuesday, December 2, 2014

Pantun Peribahasa...

Anak teruna ke Tanjung Jati,
Cari sekuntum bunga raya,
Tuah ayam nampak di kaki,
Tuah manusia jadi rahsia..

Bunga seroja di tengah laman,
Tempat hinggap seekor kumbang,
Hamba ibarat kembang di taman,
Habis madunya sepah dibuang..

Jangan berjalan di malam sunyi,
Takut berlari tak jejak tanah,
Guruh di langit baru berbunyi,
Air tempayan sudah tercurah...

Tunggu sambungannya....

Monday, December 1, 2014

Kisah Minggu ini..

"Kompang dipalu..pengantin malu..duduk bersanding tersipu malu"..

Masih terngiang-ngiang paluan kompang dan bau nasi minyak seorang teman yang baru sahaja selamat diijab kabul minggu lepas. Alhamdulillah, Allah pertemukan dia dengan seorang pasangan hidup yang melengkapi kehidupannya setelah beberapa fasa kekecewaan bertandang dalam kamus kehidupannya sebelum ini.

Sebenarnya, inti pati entri kali ini bukan sahaja berkisar kepada kegembiraan saya dan sahabat-sahabat meraikan hari berbahagia teman yang seorang ini, tetapi lebih kepada "pertemuan semula" (reunion) bersama-sama teman-teman lama. Jika diikutkan, teman-teman ini bukanlah satu kelas, satu asrama atau satu bilik, tetapi kami dipertemukan dalam fakulti di universiti yang sama namun berbeza jabatan pengajian. Ukhuwah itu tidak mengenal sesiapa pun. Mereka yang menjalinkan ukuhwah atas nama Allah pasti Dia akan meredhainya. Benar kata-kata itu, saya dan mereka hanya bertemu di fakulti, berbual-bual apabila berjumpa secara tidak dirancang. Namun, kerana teman yang berkahwin ini yang memperkenalkan kami, kami menjadi rapat.

Pertemuan semula antara saya dengan mereka merupakan satu detik indah tahun ini. Setelah beberapa kali kami gagal bertemu kerana kekangan yang menghimpit, akhirnya kami berjumpa semula. Walaupun sibuk dengan urusan hidup masing-masing, tetapi kami semua cuba untuk mencuri sedikit ruang masa yang ada untuk bersama-sama meraikan teman yang seorang ini. Perjalanan yang agak lama sepanjang minggu lepas tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan apa yang telah dirancang. Alhamdulillah, setiap urusan kami dipermudahkan walaupun ada sedikit sebanyak urusan yang mencemburui keakraban kami.

Malam hari Jumaat dan sepanjang hari Sabtu yang lalu, sempurnalah kisah perjalanan hidup seorang teman apabila berjaya bergelar dan memegang gelaran "Puan". Sebagai pengapit tidak bertauliah (bridesmaid), kami menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jayanya, walaupun kami hanya duduk menjaga bilik pengantin sepanjang pengantin baru meneruskan resepsi mereka sepanjang hari itu.

Akhir pertemuan kali ini seakan-akan sukar untuk dilepaskan. Entah bila lagi mampu untuk bersua muka kembali kerana saya adalah antara sahabat yang paling sukar untuk bertemu mereka. Walaupun riak wajah mereka sewaktu perpisahan semalam nampak ceria, tetapi nada suara mengatakan sebaliknya. Teman, insha-Allah sekiranya masih punya waktu, saya akan bertemua kalian. Walau berjauhan, kalian tetap dalam hati saya.

Persahabatan atas nama Ilahi pasti tidak bernoktah walau jarak dan masa jadi penghalang.Ukuhwah fillah dai'man abadan abada..

 
peace!!!
bridesmaid tak bertauliah..

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)