“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Wednesday, May 22, 2013

Lara Hati...

Pedih jiwa bermain cinta,
orang dikenang asyik membisu,
Patah ranting nampak di mata,
Patah hati tiada yang tahu.

Apa diharap padi seberang,
Entah menjadi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entah dibalas entahkan tidak.

Mana hendak menanam selasih,
benih baik dibawa seberang,
Bagaimana hendak menanam kasih,
Rasa di hati diracun orang.

Bertanam padi tumbuhnya lalang,
dibakar orang menjadi debu,
Sedih hati bukan kepalang,
Cermin cinta retak seribu.

Kalau hendak membeli jati,
Jangan sekali ke tanah Jawa,
Cinta dunia bukan sejati,
Hanya permainan merobek jiwa.

Lama hati menanggung rasa,
Kini terbuka hijab abadi,
Serahkan cinta pada Yang Esa,
Baru terbalas cinta diberi.


p/s: sekadar perkongsian..sila abaikan rima akhir ya..sebab tak sama..^____^

Friday, May 17, 2013

Apabila dia menyapa, jodohkah namanya?

Tiba-tiba hati terpanggil untuk mencari buku ini. Bukan kerana terlalu terdesak untuk mendirikan baitulmuslim, tetapi saya memang suka mencari buku-buku sebegini. Kadang-kadang agak malu juga apabila berada di kedai buku kerana membelek-belek buku yang berkaitan dengan alam perkahwinan. Memang tiada salahnya, tapi saya takut persepsi orang di sekeliling saya.

Buku ni sebenarnya dah lama saya cari tetapi bila mencuri-curi pergi ke rak buku keagamaan, tiada pula saya dapat mencari buku ini. Memang buku ini dalam kategori "Best Seller".Saya sangat tertarik dengan kata-kata yang dilontarkan dalam buku ini. Saya kongsikan bersama...

Jodoh itu penuh keunikan.
Apabila semakin dikejar, semakin dia berlalu pergi.
Apabila kita hanya menanti, usahkan hadir, bayangnya juga belum pasti.
Kadangkala, antara jodoh dan nafsu, kita sering terkeliru.
Adakah dia jodoh ditunggu, ataupun dia sekadar menyapa sambil berlalu.
Kadangkala hadirnya tidak disangka.
Dia rupa-rupanya, jodoh untuk kita.
Rencam jodoh, manisnya dapat mendamaikan hati,
pahitnya dapat menghancurkan diri.
Misterinya dia, hanya Tuhan Maha Mengetahui.
Apabila dia menyapa, jodohkah namanya.
 
p/s:tiada kaitan antara yang hidup atau yang telah meninggal dunia ya. Hanya perkongsian kata-kata yang bermakna buat semua khususnya buat si dara dan yang masih teruna. ^_____^

Thursday, May 16, 2013

Pelita Hidupku...

16 Mei - Hari ini hari paling bermakna buat seorang insan bergelar guru. Hari ini mereka diraikan dengan penuh kemeriahan. Hari ini Hari Guru. Teringat kata-kata arwah tok masa saya kecil-kecil dahulu, "Kalau jadi cikgu ni seronok. Kita bagi ilmu pada orang, nanti ilmu kita pun akan bertambah." Memang ada benarnya kata-kata arwah tok itu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud "sebaik-baik sedekah seorang muslim itu ialah ia belajar ilmu kemudian mengajarkannya kepada sahabatnya" (hadis riwayat Ibn Majah). Memang mulia sebenarnya kerjaya seorang guru ini.

Saya sangat bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Terkenang ketika saya menulis kad 001 (masa sekolah dulu), apabila tiba ruangan cita-cita pasti guru menjadi impian pertama saya. Sering kali juga ditanya oleh guru dan rakan-rakan tentang cita-cita saya yang tak pernah berubah sehingga menginjak ke tingkatan 6. Ya,memang itu impian saya. Namun, manusia merancang, Allah juga merancang, dan sebaik-baik perancang itu ialah Allah. Saya hanya mampu bercita-cita, tetapi Allah lebih mengetahui kemampuan saya. Saya tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan kerana setelah tiga kali percubaan untuk memohon ke IPG, permohonan saya masih berstatus gagal. Saya pasrah dengan ketentuan tetapi saya tidak berputus asa.

Sebenarnya saya hampir menjadi seorang guru di sebuah sekolah swasta yang baru dibuka di Selangor. Akan tetapi, kerana risau tentang status sekolah yang masih berpucuk muda dan risiko yang bakal saya terima selepas itu, saya nekad meninggalkan kerjaya perguruan yang memang saya cita-citakan. Sebak di hati memang masih terbuku apatah lagi melihat sahabat-sahabat di organisasi yang lama menceritakan pengalaman mereka mengajar anak-anak didik mereka. Dan, apabila tarikh keramat ini hadir, hati saya sedikit tersentuh kerana ada sahabat yang masih mengingati saya dengan mengucapkan selamat hari guru untuk saya.

Kini, saya masih mengejar cita-cita saya untuk bergelar seorang pensyarah bahasa Melayu selepas cita-cita untuk menjadi seorang guru telah terkubur. Namun, sebelum menongkah arus ke impian itu, saya perlu merancang dengan sebaik-baiknya langkah perjalanan saya. Dimulai dengan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah, kemudian mencari pengalaman sebagai tutor. Itu hanya perancangan saya, terlunas atau tidak saya tidak mengetahui rencana yang telah Allah sisipkan untuk saya.

16 Mei 2013 - Saya terlalu ingin pulang menemui kesemua guru saya yang pernah menaburkan ilmu untuk saya dan rakan-rakan,untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada mereka. Moga Allah merahmati kehidupan guru-guru saya di dunia dan akhirat. Tanpa mereka, tidak mungkin saya mampu bergelar seorang pegawai di sini. Syukur ya Allah!

p/s: Andai diberi peluang, ingin kuterbang keliling awanan. Kan kupetik bintang-bintang, kujadikan hadiah untukmu. Agar Tuhan merahmatimu. Terima kasih guru..^___^

Monday, May 13, 2013

Merekalah wanita itu.

"Di belakang kejayaan seorang itu berdirinya seorang wanita". Pasti anda pernah mendengar kata-kata ini. Jika ditanya sejauh mana kebenaran kata-kata ini bukanlah satu perkara yang sukar. Bersempena hari Ibu yang jatuh pada 12 Mei setiap tahun, saya ingin menyelusuri hikmah di sebalik kata-kata itu.

Wanita itu sudah Allah jadikan sebagai makhluk-Nya yang istimewa berbanding makhluk Dia yang lain. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Baik la, kita lihat satu persatu. Siapakah yang mampu membawa beban sebesar lebih dari 1 kg dalam tubuhnya selama 9 bulan 10 hari? Siapa yang sanggup bergadai nyawa melahirkan seorang lagi makhluk Allah di muka bumi ini? Siapa yang sanggup bergolok bergadai untuk melihat darah daging sendiri berjaya hidup di hadapan mata sendiri? Semua ini hasil usaha seorang insan bernama WANITA. Allah mengangkat tinggi darjat seorang wanita sehingga dikatakan wanita itu adalah hiasan di muka bumi ini dan seindah-indah hiasan adalah seorang wanita solehah. Subhanallah!.. Baik la, berbalik kepada topik utama kita, saya melihat dan mengkaji kesahihan kata-kata ini. Siapakah insan mulia di sisi Kekasih Allah, Nabi Muhammad? Siapakah insan sejati di sisi Nabi Allah, Ibrahim? Siapakah wanita unggul di belakang Saidina Ali bin Abi Talib? dan siapakah insan tabah yang mendampingi Abu Talhah? Lihatlah! mereka ialah Siti Khadijah binti Khuwailid (cinta pertama nabi), Siti Hajar, Fatimah Az-zahra dan Ummu Sulaim binti Milhan.

Siti Khadijah ialah insan pertama yang mengetahui kerasulan Nabi, insan pertama yang mempercayai kenabian itu. Beliau sanggup bersama-sama suami tercinta dihina dan dicaci para musyrikin Jahiliyyah tatkala Kekasih Allah menyebarkan dakwah baginda. Kewafatan beliau ditangisi nabi sehingga digelar Tahun Kedukaan. Kecintaan Nabi pada dirinya mencetuskan kecemburuan dalam hati si Humairaa'. Kejayaan Kekasih Allah adalah sokongan padu beliau dalam membantu Rasulullah s.a.w. mengharungi kedegilan musyrikin Quraisy. Lihatlah, ada wanita di sebalik Kekasih Allah.

Begitu juga dengan Ummu Sulaim. Beliau dikatakan wanita penerima mahar paling mahal di muka bumi ini. Bukan berharga ribuan dinar tetapi maharnya adalah keislaman si jejaka yang menambat hatinya. Bertambahnya seorang lagi pencinta Islam adalah kerana tawaduknya Ummu Sulaim sehingga menggetarkan hati Abu Talhah. Di sebalik itu, sifat terpuji Ummu Sulaim dikagumi si suami. Ketenangan dalam mengharungi saat kehilangan zuriat tercinta namun disampaikan dengan penuh sabar kepada si suami. Berjayanya Anas bin Malik sebagai perawi hadis Nabi kerana ibunya, Ummu Sulaim. Nah! lihatlah pembuktian di sebalik kata-kata hikmah itu. Ada wanita  di sebalik kejayaan seorang insan bernama lelaki.

Seorang wanita bergelar ibu dan isteri bukanlah sesiapa pada pandangan mata manusia, tetapi pengorbanan, bakti dan jasa mereka tidak mungkin dapat dibayar dan dibalas dengan cara yang terunggul sekali pun. Ingatlah, tiada kita tanpa ibu. Tiada kejayaan tanpa doanya. Tiada kehidupan tanpa jasanya.

Kasarnya Tapak Tangan Ibu | iluvislam.com discover the beauty of islam

Kasarnya Tapak Tangan Ibu | iluvislam.com discover the beauty of islam

Friday, May 10, 2013

Saya Sayang Ibu!!!

Tarikh 12 Mei setiap tahun dikatakan sebagai hari yang paling bermakna buat insan yang bergelar ibu sebab tarikh itu ialah Hari Ibu Sedunia. Sesiapa yang bergelar ibu tidak kira la ibu kandung ke, ibu tiri ke, ibu angkat ke, ibu susuan ke, ibu saudara ke (eh?ada ke sambutan untuk ibu saudara?huhuhu..hentam je la) akan menerima ucapan SELAMAT HARI IBU daripada anak-anak.

Sebenarnya sambutan hari ibu ni disambut oleh orang Barat sebab mereka ni merasakan bahawa perlunya satu tarikh yang mana mereka perlu membalas semua jasa ibu mereka pada hari tersebut. Tapi bagi kita di Timur atau lebih tepat lagi orang Islam, tiada istilah hari ibu sebenarnya kerana setiap hari merupakan hari ibu buat ibu kita. Cuma, kita menyambutnya untuk memberikan penghargaan dan menjadikan tarikh tersebut sebagai satu tarikh yang sangat istimewa untuk ibu kita. Maka, jadilah 12 Mei itu sebagai HARI IBU.

Bagi saya yang berada jauh dari keluarga sejak 5 tahun yang lepas, saya hanya mampu mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada emak saya melalui telefon. Sekiranya ada kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, barulah kami sekeluarga akan meraikan bersama-sama. Kini, saya masih di kejauhan dan tarikh yang sama pada tahun ini saya tetap tidak berkesempatan untuk pulang ke sisi mereka. Sebenarnya, saya merasai kesusahan sebagai seorang ibu. Mengandungkan, melahirkan, menjaga dan membesarkan bukan satu perkara yang mudah. Seorang ibu sanggup bergadai nyawa semata-mata untuk membolehkan anaknya mengecapi nikmat kehidupan di muka bumi Allah ini. Subhanallah! Namun, mampukah kita sebagai anak membalas semua itu? Saya tidak mempunyai anak lagi, tapi melihatkan adik-beradik lain yang sudah bergelar ibu, membuatkan saya mengerti semua kesusahan itu. Baik la, kita fikirkan sejenak. Jika kita demam, pernahkah ibu kita tidur dengan lenanya?atau selepas memberikan kita ubat dan menidurkan kita, ibu akan tidur semula? Tidak kan? Inilah hakikatnya. Allah memberikan seorang wanita itu naluri keibuan yang tersangat tinggi. Seteruk mana pun seorang wanita itu, hatinya tetap akan cair apabila melihatkan darah dagingnya menanggung kesakitan. Andai kesakitan itu mampu dialihkan, pastinya seorang ibu itu sanggup menahan kesakitan daripada melihat anaknya sakit.

Mulia hati seorang ibu tidak mungkin dapat kita membalasnya. Saya tidak mengatakan bahawa saya seorang anak yang menurut kata. Tetapi, saya mula belajar menghargai kesusahan dan hati seorang ibu. Semoga belum terlambat untuk saya membalas semuanya. inshaAllah. Doa saya moga emak saya sentiasa berada dalam keadaan yang sihat, dirahmati, diberkati dan dilindungi Allah kerana saya berada jauh dengannya.

Saya juga sentiasa berharap moga Allah memanjangkan usia saya untuk saya merasai nikmat menjadi seorang ibu kepada zuriat saya dan merasai semua kepayahan yang pernah dirasai oleh emak saya suatu ketika dahulu untuk membesarkan kami adik-beradik. InshaAllah.

p/s: Siapa pun ibu kita, apa yang pernah dilakukannya terhadap kita, ingatlah bahawa bernyawanya kita dalam rahimnya selepas ditiupkan roh, hidupnya kita sehingga saat ini adalah kerana usaha seorang ibu melahirkan kita dan yang paling utama berjayanya kita di muka bumi Allah ini kerana kekuatan doanya siang dan malam untuk anak-anaknya. Allah mengangkat dan memakbulkan setiap doa insan yang bernama IBU. ^____^

SYURGA ITU TERLETAK DI BAWAH KAKI IBU..al-jannatu tahta aqdamu ummahat..

Thursday, May 9, 2013

Alhamdulillah...

Hari ini hari khamis. Hari perhimpunan bulanan untuk warga organisasi kami di sini. Memang setiap awal bulan pasti akan diadakan perhimpunan bulanan untuk semua staf. Tetapi, hari ini perhimpunan bulanan ini memberikan seribu satu rasa dalam hati saya. Rasa gementar, gembira, teruja, bangga, terharu dan paling penting rasa bahagia. Kenapa??..Ha!sebabnya ada satu acara yang membuatkan rasa dalam hati saya bercampur menjadi satu.

Sebenarnya bukan saya yang perlu merasai rasa itu semua, tetapi saya meletakkan semua rasa itu kerana dia adalah yang teristimewa dalam hati saya. Kejayaan dia mendapat tempat di sini bersama-sama saya sememangnya satu perkara yang amat saya syukuri. Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya dan kami semua untuknya. Keputusan yang selama ini saya dan dia menunggu dengan penuh sabar akhirnya menjadi miliknya. Teringat kembali ketika dia sudah hampir berputus asa akibat khabar angin yang menerpa dan menjadi santapan halwa telinganya bulan lepas. Walaupun hati saya sedih apabila saya merasakan khabar angin itu seakan-akan benar, namun saya kuatkan hati untuk memberikannys secebis sisa semangat yang masih ada dalam hati saya untuk menguatkan hatinya. Saya tahu bukan mudah untuknya menerima khabar itu seandainya apa yang diberitakan kepadanya menjadi kenyataan.

Namun, Allah memberikan ruang untuknya terus berkhidmat bersama-sama saya di sini. Saat kami berdua telah pasrah akan keputusan yang diterima (tapi naluri hati saya kuat mengatakan bahawa dia pasti menerima keputusan yang gembira), akhirnya berita yang diterima amat menggembirakan saya dan dirinya. Dan saya adalah insan yang paling banyak mengalirkan air mata pada saat berita itu disampaikan kepadanya.

Dan hari ini, namanya menjadi sebutan di bibir semua warga kerja organisasi kami. Siapa yang tidak mengetahui status jawatannya sebelum ini, akhirnya membuka mata mereka. Pelik kan? Sudah lama sebenarnya dia menjadi salah seorang warga kerja di sini, tetapi mereka tidak mengenali siapa insan di sebalik keselesaan yang dikecapi oleh mereka selama ini. Tanpa dia, tidak mungkin kami di sini menikmati kemudahan dan keselesaan bekerja. Dia bukan siapa-siapa di mata mereka tetapi dia jaguh di mata saya. Biarlah mereka tidak nampak bakti dan jasa yang ditaburkan kepada mereka, asalkan saya tahu apa yang dilakukannya untuk kami semua.

Harapan saya hanya satu, moga dia kekal berada di mata saya sampai bila-bila. InsyaALLAH..

p/s:buat awak yang membaca kisah ini, sekalung ucapan tahniah dan penghargaan buat awak atas kejayaan awak. Terima kasih kerana masih berada di sisi saya sehingga saat ini. Ya ALLAH, alhamdulillah atas kurniaan-Mu yang tidak terhitung nilainya. ^___^

Wednesday, May 8, 2013

Salahkah kalau Menolong?

Pernah dengar tak orang kata, "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'?. Pepatah lama ni memang sudah lama kita ketahui. Orang-orang tua kata, kalau nak berbudi pada orang tengok dulu siapa dia. Kalau kita berbudi pada harimau, mustahil harimau akan balas budi kita dengan cara yang baik kan. Silap-silap haribulan kita yang kena balik. Baik la, sebenarnya saya nak cerita mengenai budi dan pertolongan orang.

Saya bukanlah seorang yang terlalu nak bantu orang sampai tak kira tempatnya. Tapi saya suka tengok kalau orang yang saya bantu tersenyum. Sebab apa? sebabnya senyuman daripada mereka yang saya bantu menyenangkan hati saya. Rasa bahagia. Tapi saya akan membantu jika saya sendiri dalam keadaan yang senang dan tidak mempunyai perkara yang rumit untuk saya selesaikan. Kadangkala kalau saya dalam keadaan yang sukar contohnya saya banyak kerja, saya akan cuba membantu setakat mana yang saya mampu.

Sebenarnya, kepuasan membantu itulah yang saya harapkan. Saya berasa puas membantu mereka yang memerlukan. Walaupun mereka kadang-kadang tidak mengucapkan terima kasih tetapi bukan itu yang saya harapkan. Saya lebih mendambakan senyuman dan kelegaan mereka.

Apa-apa pun, saya akan terus membantu selagi saya mampu. Saya bahagia sekiranya mereka bahagia. Saya puas sekiranya mereka berasa puas dengan kerja saya. Jadi, marilah mengamalkan sikap bantu-membantu antara satu sama lain. (dah macam kempen pulak.) Tidak salah kita membantu mereka yang memerlukan kudrat kita. Allah memberikan kita kekuatan supaya kita dapat menyalurkan khidmat kita melalui kekuatan yang kita peroleh. Ingatlah, hari ini ialah hari mereka dalam kesukaran, siapa tahu hari esok atau lusa mungkin pula kita yang memerlukan pertolongan mereka. Hidup ini ibarat satu rantai yang panjang. Saling memerlukan antara satu sama lain.

p/s: kalau nak bantu tu kena tengok jugak, perlu kena tempatnya. Kalau kawan kita mintak jual benda bukan-bukan jangan la kita bantu. ingat ya! ^_____^

Monday, May 6, 2013

Fikir-fikirkanlah...

Hari ini saya terpanggil untuk menulis kembali di sini. Semalam telah berakhirnya hari pengundian di seluruh negara. Dan saya menerima keputusan yang meluluhkan hati dan jiwa saya sebagai rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Saya bukanlah seorang yang terlalu kuat dalam politik tetapi pada umur seperti saya ini, semestinya saya perlu bijak memilih tampuk pimpinan untuk mentadbir negara. Saya telah membuat penelitian sejak tahun 2009 (setahun selepas PRU ke-12). Dan saya sendiri antara rakyat perak yang menjadi mangsa rampasan kuasa oleh BN di Perak. Oleh itu, PRU ke-13 kali ini saya mengharapkan perubahan yang ketara kepada tanah tempat tumpah darah saya. Tapi, saya benar-benar kecewa dengan keputusan yang diterima. Tiada lagikah ketelusan dalam memilih? Mengapa perlu menipu?

Saya teringat tanda-tanda pengakhiran zaman. Antaranya ialah:

·         Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik
“Apabila sesuatu amanah itu di salahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran (kiamat).” Para sahabat bertanya: “Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya (jahil) atau bukan orang yang layak (fasik), maka tunggulah saat kehancuran.

·         Orang hina mendapat kedudukan terhormat
"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" - Riwayat Thabrani

·       Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita

"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu" - Sahih Muslim
  • Pemimpin suatu kaum adalah keji dan pemimpin suatu suku adalah fasik

Lihatlah. Semuanya telah diperlihatkan dengan jelasnya pada PRU kali ini. Beringatlah sahabat-sahabat. Kiamat itu hadirnya tidak diberitahu tarikh, masa, hari, tempat atau waktunya. Allah telah memberikan petanda-petanda sebagai peringatan. Namun, mereka yang di luar sana masih dengan kemenangan pura-pura mereka. Andai anda seorang warganegara yang berhemah, fikir-fikirkanlah. Tepuk dada tanya iman. Pejam mata tanya minda.


Friday, May 3, 2013

Noktah (.)

Sudah tiada apa-apa lagi yang saya nak kongsikan setakat ini.

Sepanjang minggu ini.

Tunggu sahaja minggu seterusnya.

Kenapa?

Sebab saya sendiri dah ketandusan idea nak menulis.

Jadi, pengakhirannya...titik. Noktah. Full stop.

p/s: Tak tahu nak mengomel apa lagi dah minggu ni. Orang lain semua cerita pasal mengundi. Ada yang mengutuk parti itu la, puji parti ini la. Dunia semua ni. Meminjam kata-kata Johan Raja Lawak.."Semua ini Poyo!". Maaf merosakkan bahasa sedikit. Minta keizinan ye. ^___^

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)