“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, May 16, 2013

Pelita Hidupku...

16 Mei - Hari ini hari paling bermakna buat seorang insan bergelar guru. Hari ini mereka diraikan dengan penuh kemeriahan. Hari ini Hari Guru. Teringat kata-kata arwah tok masa saya kecil-kecil dahulu, "Kalau jadi cikgu ni seronok. Kita bagi ilmu pada orang, nanti ilmu kita pun akan bertambah." Memang ada benarnya kata-kata arwah tok itu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud "sebaik-baik sedekah seorang muslim itu ialah ia belajar ilmu kemudian mengajarkannya kepada sahabatnya" (hadis riwayat Ibn Majah). Memang mulia sebenarnya kerjaya seorang guru ini.

Saya sangat bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Terkenang ketika saya menulis kad 001 (masa sekolah dulu), apabila tiba ruangan cita-cita pasti guru menjadi impian pertama saya. Sering kali juga ditanya oleh guru dan rakan-rakan tentang cita-cita saya yang tak pernah berubah sehingga menginjak ke tingkatan 6. Ya,memang itu impian saya. Namun, manusia merancang, Allah juga merancang, dan sebaik-baik perancang itu ialah Allah. Saya hanya mampu bercita-cita, tetapi Allah lebih mengetahui kemampuan saya. Saya tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan kerana setelah tiga kali percubaan untuk memohon ke IPG, permohonan saya masih berstatus gagal. Saya pasrah dengan ketentuan tetapi saya tidak berputus asa.

Sebenarnya saya hampir menjadi seorang guru di sebuah sekolah swasta yang baru dibuka di Selangor. Akan tetapi, kerana risau tentang status sekolah yang masih berpucuk muda dan risiko yang bakal saya terima selepas itu, saya nekad meninggalkan kerjaya perguruan yang memang saya cita-citakan. Sebak di hati memang masih terbuku apatah lagi melihat sahabat-sahabat di organisasi yang lama menceritakan pengalaman mereka mengajar anak-anak didik mereka. Dan, apabila tarikh keramat ini hadir, hati saya sedikit tersentuh kerana ada sahabat yang masih mengingati saya dengan mengucapkan selamat hari guru untuk saya.

Kini, saya masih mengejar cita-cita saya untuk bergelar seorang pensyarah bahasa Melayu selepas cita-cita untuk menjadi seorang guru telah terkubur. Namun, sebelum menongkah arus ke impian itu, saya perlu merancang dengan sebaik-baiknya langkah perjalanan saya. Dimulai dengan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah, kemudian mencari pengalaman sebagai tutor. Itu hanya perancangan saya, terlunas atau tidak saya tidak mengetahui rencana yang telah Allah sisipkan untuk saya.

16 Mei 2013 - Saya terlalu ingin pulang menemui kesemua guru saya yang pernah menaburkan ilmu untuk saya dan rakan-rakan,untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada mereka. Moga Allah merahmati kehidupan guru-guru saya di dunia dan akhirat. Tanpa mereka, tidak mungkin saya mampu bergelar seorang pegawai di sini. Syukur ya Allah!

p/s: Andai diberi peluang, ingin kuterbang keliling awanan. Kan kupetik bintang-bintang, kujadikan hadiah untukmu. Agar Tuhan merahmatimu. Terima kasih guru..^___^

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)