“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Monday, June 30, 2014

Fikirkan...

Tazkirah hari ini...

" Kita selalu meminta-minta kepada Allah agar Allah memakbulkan semua doa dan impian kita, tetapi kita selalu terlupa untuk melaksanakan perintah-Nya dan mentaati suruhan-Nya.."


~ Peringatan buat diriku yang terlupa~
 
  

Wednesday, June 25, 2014

Istimewanya Ramadhan!

Apabila berbicara tentang Ramadhan, perasaan teruja pasti menyelubungi hati. Teruja kerana Ramadhan yang dinanti akan tiba. Ramadhan bulan kerahmatan, keberkatan dan keampunan. Paling teruja apabila Allah memberikan kesempatan buat diri saya dan insan-insan kesayangan di sekeliling saya menikmati keindahan Ramadhan kali ini.

Pernahkah kita ambil tahu tentang keistimewaan Ramadhan ini?..mari kongsikan bersama..

1. Ramadhan sebagai bulan paling istimewa dalam bulan Islam.
2. Pada bulan ini, pintu Neraka akan ditutup dan semua pintu Syurga akan dibuka seluas-luasnya.
3. Azab di kubur dihentikan sepanjang kehadiran Ramadhan.
4. Syaitan dan Iblis dibelenggu.
5. Allah mendatangkan 2 kebahagiaan kepada sesiapa yang berpuasa (zahir dan batin) iaitu kebahagiaan semasa berbuka dan kebahagiaan apabila bertemu Allah kelak.
6. Ramadhan mendatangkan kesihatan kepada tubuh iaitu tubuh yang menerima makanan selama 11 bulan akan di"cuci" dengan puasa selama sebulan.

Indah bukan? Dalam bulan yang singkat ini terselit berbagai-bagai hikmah yang kita tidak pernah tahu tentangnya. Allah itu maha mengetahui setiap satu perkara yang direncanakan-Nya.

Bagi saya pula, Ramadhan mendatangkan lebih daripada itu. Ramadhan bulan suka duka saya sebelum ini. Moga Ramadhan kali ini dan seterusnya akan membawa kegembiraan berterusan untuk diri ini dan insan-insan kesayangan saya.

Salam Ramadhan 1435H..^_^

Tuesday, June 10, 2014

Perjalanan Waktu yang Pantas..Mungkinkah petanda Akhir Zaman?

Melihatkan tajuk entri ini sahaja membuatkan hati saya berdetak dan bergetar hebat. Masakan tidak, ianya dirasai oleh sesiapa sahaja. Tidak percaya? Renungilah sejenak..kita bangun pagi pada seawal pukul 6 pagi dan dalam masa yang singkat kita terasa waktu telah pun menjengah angka 7 malam. Rutin harian kita bagaikan sepantas kilat. Itu baru memikirkan tentang masa. Cuba fikirkan tentang tahun dengan jumlah hari, minggu dan bulan yang agak lama. Kita pasti akan terasa cepatnya waktu itu berlalu.

Ya. Itulah yang saya rasai kini. Apabila difikirkan sejenak, saya merasakan seperti baru sahaja memasuki alam kampus 6 tahun yang lepas dan kini saya telah menjawat jawatan di organisasi. Baru sahaja merasakan umur menjejak angka awal 20-an dan kini usia saya memasuki fasa pertengahan dan hampir penghujung 20-an. Begitu cepat masa berlalu sebenarnya. Tanpa sempat kita menggapainya, masa itu seolah-olah terus berlari meninggalkan kita.

Perihal masa telah lama Allah kalamkan dalam kitab suci Al-Quran. Melalui surah Al-'Asr iaitu:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Sesungguhnya masa itu pasti akan terus berlalu meninggalkan kita semua. Beringatlah kita tentang lima perkara sebelum hadirnya lima perkara:

Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Sihat sebelum sakit
Hidup sebelum mati

Masa akan terus berlalu tanpa menoleh sesaat pun kepada kita. Isilah masa yang tersisa ini dengan amalan yang bakal menyelamatkan kita di padang Masyar nanti.

~pesanan buat diriku yang terlupa~

Wednesday, June 4, 2014

Monolog Rabu...

Jika sendiri..
Janganlah berasa sepi..
Kerana adanya Allah yang mengawasi..

Jika sedih..
Janganlah dipendam rasa di hati...
Kerana adanya Allah tempat berkongsi...

Jika terasa sulit...
Janganlah berasa pilu...
Kerana adanya Allah tempat mengadu...

Jika gagal...
Janganlah berputus asa...
Kerana adanya Allah tempat meminta...

Jika bahagia...
Janganlah sesekali menjadi lupa...
Kerana Allah itulah tempat memuja...

Ingatlah..
Berada di mana pun, ukirlah nama-Nya di hatimu..
Rinduilah Dia dalam setiap langkahmu..

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)