“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, December 29, 2015

Perbezaan vs Kebersamaan


Apabila kita berjalan, kita akan mengenali dan bertemu dengan ramai orang. Ya, itu hakikat. Walaupun hanya berjalan kaki. Sejak bekerja di sini, rutin harian saya ialah berjalan kaki. Saya mengenali dan bertemu dengan ramai orang yang berlainan latar belakang. Dari makcik penjual nasi lemak di gerai kecil seberang jalan, makcik tukang cuci bangunan hadapan pejabat saya sehinggalah kakak tukang cuci di bangunan pejabat saya.

Keramahan mereka dan senyuman mereka tatkala angin pagi menyapa dan menemani saya ke tempat kerja membuatkan saya berfikir sejenak tentang sesuatu. Perbezaan taraf kehidupan bukan penghalang kita saling bertegur sapa. Walaupun mereka ialah penduduk tetap Malaysia yang berasal dari negara jiran, tetapi mereka tetap seagama dengan saya. Kebersamaan itu membuatkan mereka memberikan sedekah tak ternilai kepada saya.

Kehidupan bekerjaya di pejabat saya memperlihatkan saya bermacam-macam ragam manusia. Perbezaan pangkat dan kedudukan membuatkan mereka merasakan bahawa mereka lebih berdarjat daripada tukang cuci yang bertaraf rendah. Mungkin kita melihat tukang cuci sebagai marhaen yang tidak perlu dihormati, sedangkan tahukah kita bahawa mereka lebih berdarjat kerana membantu kita memudahkan urusan seharian kita?

Ingatlah, darjat kita di sisi Allah belum tentu sama dengan darjat kita di dunia. Mugkin darjat kita di dunia hanya tinggi di mata manusia lain namun amat hina dan rendah di sisi Allah. Darjat dan kedudukan bukan penentu kita adalah penghuni syurga atau tidak.

Dikisahkan pada zaman Rasulullah s.a.w, terdapat seorang tukang sapu di baitullah. Setiap hari, hamba Allah yang berbangsa Habsyah (kulit hitam) ini akan menyapu dan membersihkan masjidilharam dan selepas itu beliau akan membaca al-quran sepanjang hari di situ. Begitulah rutin harian hamba ini. Saat pada satu ketika, hamba Habsyah ini tidak lagi menjalankan rutin hariannya. Rasulullah s.a.w mencari-cari gerangan hamba ini, ditanyakan kepada mereka yang disitu, barulah baginda mengetahui bahawa hamba itu telah pun menghadap Ilahi. Rasulullah s.a.w menziarahi dan menjadi imam kepada solat jenazah hamba ini. Lihatlah, seorang insan yang hanya menjadi hamba di dunia mendapat maqam yang tertinggi pada pandangan seorang insan terulung. Subhanallah!!!..

Maka, sentiasa beringat, darjat itu bukan perkara utama dalam kehidupan..lupakan sahaja kisah antara dua darjat lakonan P.Ramlee tu...

Monday, December 28, 2015

Tirai 2015...

Tahun 2015..

Permulaannya sahaja sudah membuatkan hati saya sedih. Pertengahannya pula membuatkan jiwa saya sakit, dan pengakhirannya buat saya keliru.

Dalam doa, saya mohon agar tahun ini Allah berikan saya satu ketenangan dan kejayaan dalam setiap urusan kehidupan saya. Namun, mungkin rencana Allah untuk saya lebih baik daripada apa yang saya minta. Saya bersangka baik dengan-Nya walaupun kadangkala hati saya memberontak sekuat-kuatnya.

Tahun 2015 bukan tahun yang baik untuk saya apabila terlalu banyak perkara duka yang saya terima walaupun kedukaan itu tidaklah sebanyak yang menghantui saya pada tahun sebelumnya. Hati saya semakin rapuh sehingga saya nekad untuk meninggalkan apa yang saya miliki sekarang. Hati hanya bertumpu untuk pulang ke kampung halaman dan memulakan pekerjaan di sana. Namun, saya tahu bukan mudah untuk saya mendapatkan pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang sangat teruk dan merudum ini.

Dengan kekuatan hati yang masih bersisa, saya kuatkan diri. Dalam hati masih lagi mengharap agar ada ruang dan peluang untuk saya kembali berdiri untuk kesekian kalinya. Walaupun payah, saya harus kuat demi diri sendiri.

Penghujung tahun ini membuatkan diri saya keliru. Apakah yang bakal menanti saya untuk tahun hadapan?..Saya ibarat seorang pesalah yang menunggu keputusan untuk menerima hukuman berat. Saya takut andai tahun hadapan masih lagi dihantui kedukaan yang sama sedangkan kekuatan saya sudah berada pada tahap yang sangat teruk. Hanya sisa sahaja yang tinggal.

Pada Yang Maha Mendengar, saya mohon doa dan harapan agar ada cahaya yang terang untuk saya di hadapan. Saya ingin tanamkan dalam-dalam kedukaan saya sebelum-sebelum ini agar ia tidak lagi terbuka dengan sendirinya. Saya mengharapkan kegembiraan dan kebahagiaan menjadi galang ganti untuk hati saya tahun hadapan.

Tahun 2015 bersisa lagi 3 hari. 2016 bakal membuka tirainya. Apa-apa pun saya ingin terus kuat. Saya perlukan seseorang yang boleh memberikan saya kekuatan dan berkongsi kekuatan itu dengan saya.

Ya Khaliq, sesungguhnya Engkau yang mampu membolak-balikkan hati kami, tetapkanlah pendirian dan hati kami pada satu tempat yang sepatutnya. Sesungguhnya pada Engkau sahaja kami bermohon.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)