“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, December 29, 2015

Perbezaan vs Kebersamaan


Apabila kita berjalan, kita akan mengenali dan bertemu dengan ramai orang. Ya, itu hakikat. Walaupun hanya berjalan kaki. Sejak bekerja di sini, rutin harian saya ialah berjalan kaki. Saya mengenali dan bertemu dengan ramai orang yang berlainan latar belakang. Dari makcik penjual nasi lemak di gerai kecil seberang jalan, makcik tukang cuci bangunan hadapan pejabat saya sehinggalah kakak tukang cuci di bangunan pejabat saya.

Keramahan mereka dan senyuman mereka tatkala angin pagi menyapa dan menemani saya ke tempat kerja membuatkan saya berfikir sejenak tentang sesuatu. Perbezaan taraf kehidupan bukan penghalang kita saling bertegur sapa. Walaupun mereka ialah penduduk tetap Malaysia yang berasal dari negara jiran, tetapi mereka tetap seagama dengan saya. Kebersamaan itu membuatkan mereka memberikan sedekah tak ternilai kepada saya.

Kehidupan bekerjaya di pejabat saya memperlihatkan saya bermacam-macam ragam manusia. Perbezaan pangkat dan kedudukan membuatkan mereka merasakan bahawa mereka lebih berdarjat daripada tukang cuci yang bertaraf rendah. Mungkin kita melihat tukang cuci sebagai marhaen yang tidak perlu dihormati, sedangkan tahukah kita bahawa mereka lebih berdarjat kerana membantu kita memudahkan urusan seharian kita?

Ingatlah, darjat kita di sisi Allah belum tentu sama dengan darjat kita di dunia. Mugkin darjat kita di dunia hanya tinggi di mata manusia lain namun amat hina dan rendah di sisi Allah. Darjat dan kedudukan bukan penentu kita adalah penghuni syurga atau tidak.

Dikisahkan pada zaman Rasulullah s.a.w, terdapat seorang tukang sapu di baitullah. Setiap hari, hamba Allah yang berbangsa Habsyah (kulit hitam) ini akan menyapu dan membersihkan masjidilharam dan selepas itu beliau akan membaca al-quran sepanjang hari di situ. Begitulah rutin harian hamba ini. Saat pada satu ketika, hamba Habsyah ini tidak lagi menjalankan rutin hariannya. Rasulullah s.a.w mencari-cari gerangan hamba ini, ditanyakan kepada mereka yang disitu, barulah baginda mengetahui bahawa hamba itu telah pun menghadap Ilahi. Rasulullah s.a.w menziarahi dan menjadi imam kepada solat jenazah hamba ini. Lihatlah, seorang insan yang hanya menjadi hamba di dunia mendapat maqam yang tertinggi pada pandangan seorang insan terulung. Subhanallah!!!..

Maka, sentiasa beringat, darjat itu bukan perkara utama dalam kehidupan..lupakan sahaja kisah antara dua darjat lakonan P.Ramlee tu...

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)