“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, January 29, 2015

Hadapinya!

Membaca entri seorang teman blogger hari ini memberikan saya kekuatan yang lebih daripada sebelum-sebelumnya. "Hadapi masalah, bukan lari daripadanya". Ya, tepat sekali apa yang dikatakan oleh teman tersebut. Sejauh mana pun kita berlari, sejauh itu juga masalah itu terus mengejar kita. Pengalaman saya sepanjang berada di "tempat ini" membuatkan saya kadangkala mengambil keputusan melarikan diri daripada masalah yang membelenggu. Sepanjang tahun lepas, hanya air mata jadi peneman ketika berada di "tempat ini". Saya cuba berlari sejauh mungkin daripada masalah yang datang, namun semakin saya berlari, semakin masalah itu menjerut saya. Maka, dengan sisa kekuatan yang ada pada tahun ini, saya cuba menghadapi masalah yang datang di "tempat ini".

Walaupun masih tidak mengetahui apa yang bakal berlaku kepada saya sepanjang berada di "tempat ini", namun saya perlu positif. Berfikir secara rasional kerana setiap apa yang berlaku Allah telah memberikan hamba-Nya jalan penyelesaian yang terbaik, cuma kita sebagai manusia perlu bijak berfikir apa yang perlu kita lakukan.

Kesimpulannya mudah, berlarilah sejauh mungkin sekalipun, andai masalah yang membelenggu kita tidak diselesaikan, ia tetap akan menghimpit kita. Penyelesaiannya, hadapi masalah itu dan lihat dari akarnya atau puncanya dan seterusnya cubalah menyelesaikan masalah tersebut dengan cara berhemah.

"Masalah itu satu penyakit, lawan penyakit itu, bukan berlari meninggalkannya"..

Tuesday, January 27, 2015

Kemenangan yang nyata...


إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا
"Sesungguhnya Allah memberikanmu (Muhammad) kemenangan yang nyata"
 Al-Fath: 1
 
 
Ayat yang ditatap ini menggetarkan jiwa. Sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya dalam keadaan terumbang-ambing. Sekuat mana pun dugaan yang mendatang, pasti ia dapat ditempuh. Allah memberikan setiap dugaan itu sebagai satu cara untuk hamba-Nya mendekati dan kembali kepada-Nya.
 
 
Tidak ada kejayaan yang datang tanpa usaha. Tidak ada kemanisan yang dirasai tanpa melalui kepahitan. Begitu juga dalam setiap kehidupan kita. Kejayaan yang kita kecap hari ini tidak bermakna tanpa kesusahan yang kita alami sebelumnya. Ujian yang Allah timpakan ke atas kita dan kita lalui dengan berfikir positif pasti membuahkan rasa manis setelah pahit yang kita telan dalam mengharungi ujian itu.
 
Allah menjanjikan kemenangan dalam perjuangan hamba-Nya yang memohon pertolongan-Nya. Perjuangan dalam meraih redha-Nya. Mungkin saat kita ditimpa ujian yang berat, kita merasakan bahawa ujian itu meruntuhkan benteng kehidupan kita. Kita terus menjadi lemah dan putus asa tanpa berusaha untuk bangkit semula menghadapi dan menolak sekuat-kuatnya ujian itu ke tepi. Kita lupa bahawa Allah telah terlebih dahulu menjanjikan kita kemenangan kepada hamba-Nya yang berjaya menghadapi setipa dugaan itu dengan tenang dan sabar.
 
Maka, kembalilah kepada-Nya. Sujud dan tataplah janji Allah dalam kalam-Nya. Ingatlah, kegagalan hari ini adalah pencetus kemenangan pada masa akan datang. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.
 
Wallahua'lam.
 
p/s: Moga kemenangan dalam menghadapi setiap dugaan sepanjang tahun ini akan menjadi milik saya. Allah adalah penilai teragung. Manusia hanya hamba yang lemah. Jangan sesekali bersikap takabbur dan riak dengan pangkat yang dikecapi selama ini. Tidak selamanya kita akan berada di atas kerana satu masa kita pasti akan tersungkur juga..
 
~peringatan untuk diriku juga~


Wednesday, January 14, 2015

Pengubat hati...

Ya Allah..
Andai diri ini ialah hamba-Mu yang telah Engkau pilih untuk menghadapi dugaan ini, maka Engkau berikanlah diri ini secebis dan segenap kekuatan untuk hamba-Mu ini gagah melangkah hingga ke hujungnya..

Ya Allah..
Andai apa yang Engkau rencanakan ini terbaik untuk hidupku, Engkau titipkanlah rasa pasrah dan redha dalam hati kecilku ini agar diri ini merasai kemanisan redha-Mu di hujungnya...

Ya Allah..
Andai setiap dugaan dan ujian yang Engkau hadirkan untukku ini sebagai satu kifarah untuk setiap dosa-dosa silamku, ampunilah segala khilafku agar dapatku menghirup segarnya bau syurga-Mu di akhirat nanti...

Ya Allah...
Sesungguhnya, diri ini tidak tahu apa rencana yang Engkau titipkan untukku dan kehidupanku..berikanlah diri ini jalan dan petunjuk serta kekuatan untuk diri ini tabah dan redha dalam meniti jalanan yang berduri di hadapanku...Tekadkan hati kecilku ini untuk menuju ke satu jalan yang Engkau redhai...

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati..tetapkanlah hati ini untuk tegak berpasak di jalan-Mu.."

Friday, January 9, 2015

The Beginning of 2015...

Tahun 2015 telah pun menjelmakan diri. Ahlan wa sahlan 2015. Pembukaan tahun baharu dengan pelbagai kisah suka dan duka. Musim banjir masih belum mengundurkan waktunya, malah tiada tanda akan berhenti dalam masa terdekat. Mungkin ini semua peringatan dalam bentuk musibah yang Allah berikan kepada kita semua.

Tahun 2015...mungkin tiada apa yang istimewa di hadapan kerana semuanya masih misteri. Cuma harapan dan doa agar tahun ini bakal berlalu dengan wadah dan agenda yang menggembirakan hati, tidak lagi seperti tahun lepas (walaupun awal-awal tahun ini sahaja, gelora yang menggugat hati dan perasaan telah mula kelihatan).

Permulaan tahun baharu ini, malam-malam saya terhias dengan mimpi indah. Mimpi yang saya harap ianya bakal menjadi kenyataan. Memori mimpi yang terindah yang saya harap ianya mampu diterjemahkan dalam bentuk realitinya. Walaupun hanya mimpi, tetapi mimpi itu membuatkan saya ingin terus menjadi kuat dalam menghadapi segala ujian yang mendatang untuk saya menjadikan mimpi itu sebagai kenyataan termanis.

Permulaan tahun baharu kali ini juga menjadi permulaan yang indah, disaluti memori manis dan saya mahu dan harap memori itu terjalin dalam bentuk yang sebenar-benarnya. Bukan lagi tersembunyi.

Tahun 2015...ini hanya permulaan jejak..permulaan kisah..permulaan langkah..masih berbaki 11 bulan dan 356 hari lagi yang perlu saya lalui untuk sampai ke penghujung tahun. Masih terlalu banyak misteri yang belum terungkai kerana masa yang di hadapan saya ini adalah misteri yang tiada siapa mengetahuinya melainkan Yang Esa. Hanya doa sebagai senjata saya sebagai mukminin dan muslimin yang berpegang pada tali Allah agar setiap hari-hari saya diwarnai dengan warna ceria. InshaAllah.

Ahlan wa sahlan 2015...the beginning of 2015..inshaAllah everything will be fine...

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)