“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, April 29, 2014

Mengapa Aku?


“Dalam derita ada bahagia, dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu tak siapa pinta ujian bertamu. Bibir mudah mengucap sabar, tapi hatilah yang remuk menderita. Insan memandang mempunyai pelbagai tafsiran.”

Seringkali kita menuturkan kata-kata “mengapa aku?” apabila musibah datang melanda diri kita. Dan seringkali juga kita menyalahkan apa yang berlaku ke atas kita. Itu lumrah dalam kehidupan manusia. Persoalan yang kerap kali meniti di bibir kita ialah persoalan “MENGAPA”. Sedangkan pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa musibah yang datang itu ialah qada’ dan qadar daripada Allah untuk hamba-Nya? Kita sebagai hamba perlu menyedari hakikat bahawa penciptaan kita di muka bumi ini adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah s.w.t. Malangnya, kita pula bersikap prejudis terhadap-Nya.
Seharusnya kita menyedari bahawa bukan semua ketetapan buruk yang diturunkan kepada kita ialah musibah dan bukan semua ketentuan yang baik itu ialah rahmat. Kita sering terlupa di sebalik ujian itu terselit 1001 kenikmatan dan sebalik rahmat itu sebenarnya terselit ujian buat diri kita. Hakikatnya, apa jua ketetapan yang Allah sediakan untuk kita sebagai hamba-Nya merupakan sebahagian daripada lakaran kehidupan. Maka, persoalan “Mengapa aku” tidak seharusnya terlintas.
Beringatlah bahawa, Allah mendatangkan ujian bukanlah untuk tujuan menyakiti hamba-Nya, sebaliknya Dia merindui rintihan setiap hamba-Nya melalui ujian yang diturunkan. Allah menguji untuk meningkatkan keimanan kita sebagai hamba-Nya. Adakah kita layak dikatakan sebagai orang yang beriman sedangkan diri tidak diuji oleh Allah.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Andai diri tak mampu bertahan
Sebagai manusia yang lemah, kekusutan dan kesedihan tidak akan meninggalkan hati. Semakin kita ingin bertahan, semakin kita merasakan ujian itu terlalu berat untuk dihadapi. Tenanglah. Allah tidak akan pernah meletakkan ujian itu melebihi kesanggupan hamba-Nya. Janganlah meletakkan kesedihan di hadapan kerana kesedihan hanya akan melemahkan jasad dan rohani.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
-Surah Ali-Imran ayat 139 .

".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
-Surah Yusuf ayat 12

 
Rahmat Ujian
Ujian yang datang melengkapkan lakaran kehidupan manusia. Ibarat satu lukisan yang terlukis. Umpama kitaran lengkap bumi mengelilingi matahari. Begitulah juga ujian dalam kehidupan. Maka, lenyapkanlah persoalan “Mengapa aku” dari kotak minda kita. Ingatlah, tidak semua nikmat itu kekal sebagai nikmat dan ujian itu terlalu buruk pada pandangan kita. Boleh jadi nikmat itu adalah ujian dan ujian itu adalah rahmat.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
-Surah Al-Baqarah ayat 216
“Segala takdir, terimalah dengan hati terbuka. Walau terseksa ada hikmahnya. Harus ada rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma. Itu jelas membuktikan Allah mengasihimu setiap masa. Diuji tahap keimanan sedangkan rahmat terbiar dilalaikan. Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmat-Nya.”


 

Friday, April 25, 2014

Ainul Mardhiyah..bidadari Syurga buat Syuhada'

‘Ainul Mardhiyah’ merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Suatu pagi (dalam bulan Ramadhan) ketika Rasulullah SAW memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan para Sahabat untuk berjihad pada agama Allah) Baginda berkata:              "Sesiapa yang keluar di jalan Allah, kemudian tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari Syurga."

Mendengar berita itu salah seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin  untuk mengetahui bagaimana cantiknya bidadari tersebut, tetapi beliau malu hendak bertanya kepada Nabi oleh sebab adanya kehadiran para sahabat-sahabat yang lain. Namun beliau tetap menyerahkan namanya sebagai salah seorang yang akan keluar berjihad. Sebelum Zuhur, Sunnah Nabi akan tidur sebentar (disebut juga sebagail Qailullah), maka sahabat yang muda tadi juga turut tidur bersama jemaah tadi.

Dalam tidur tersebut sahabat yang muda tadi bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu dia bertanya, “Di manakah saya berada sekarang?” Lalu lelaki itu menjawab, ” inilah Syurga.”

Pemuda tadi menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan ‘Ainul Mardhiyah, lalu dia ditunjukkan untuk menuju ke suatu arah. Beliau pun berjalan hingga bertemu dengan suatu pohon dan beliau mendapati kehadiran seorang wanita yang amat cantik, belum pernah dia melihat kecantikan sebegitu di dunia ini.

Dia memberi ucapan salam kepada wanita tadi dan bertanya,” Adakah saudari Ainul Mardhiyah?

Wanita itu menjawab, ” ehh tidak, saya adalah khadamnya, Ainul Mardhiyah sedang berada di dalam singgahsana sana”.

Lalu dia berjalan lagi dan memasuki satu mahligai yang cukup indah, di sana dia mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai.

Pemuda itu memberi salam, kemudian bertanya, “Adakah saudari ini Ainul Mardhiyah?”

Wanita itu menjawab, ” Maaf, saya bukan Ainul Mardhiyah, saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardhiyah ada di atas mahligai sana.”

Pemuda itu terus menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikannya amat mengagumkan. Akhirnya dia sampai ke satu mahligai dan dia bertemu seorang wanita yang amat cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua, kecantikan yang tak pernah dilihatnya di dunia ini. Wanita itu berkata, ” Sayalah Ainul Mardhiyah, saya diciptakan untuk saudara dan saudara diciptakan untuk saya. Bila pemuda itu mendekatinya wanita itu menjawab, ” Eh, tunggu dulu, saudara belum syahid lagi!”.

Pemuda itu tersentak dan terus terjaga dari tidurnya. Kemudian dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar tidak menceritakan mimpinya ini kepada Nabi SAW. Andainya dia syahid barulah boleh diceritakan kepada Nabi SAW.

Petang itu pemuda itu ikut serta keluar berperang bersama Rasulullah SAW dan pasukan tentera Islam, ditakdirkan pemuda itu syahid. Setelah hampir waktu berbuka puasa semua jemaah pulang ke masjid, mereka bersama-sama menunggu makanan untuk berbuka. Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat Nabi yang syahid tadi. Rasulullah SAW mengucapkan benar…benar…benar… dalam sepanjang cerita tersebut.

Akhirnya Rasululah SAW berkata,  "Memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di Syurga.."

Monday, April 21, 2014

Jom Belajar!!!

Alhamdulillah masih diberikan peluang untuk menitipkan kata dan idea di blog kesayangan setelah beberapa hari capaian ke blog ini disekat. (Mungkin akan mengalami hal yang sama selepas ini semula). Hari ini, rasa terpanggil untuk berkongsi ilmu tentang bahasa Melayu. Mungkin sesetengah daripada masyarakat luar dan pengguna bahasa Melayu merasakan bahawa bahasa Melayu itu mudah dan tidak perlu dipelajari lagi setelah hampir 10-12 tahun mempelajarinya di sekolah. Namun, bagi saya, bahasa Melayu ialah bahasa yang agak rumit dan memerlukan pemerhatian yang teliti. Hari ini, saya ingin berkongsi tentang penggunaan kata majmuk dalam bahasa Melayu.

Kata majmuk bermaksud dua rangkai kata yang membawa satu makna baharu setelah digabungkan (ini telah saya mudahkan konsepnya bagi memudahkan kita mengingati definisi kata majmuk). Umumnya, dalam bahasa Melayu terdapat 15 perkataan majmuk yang telah mantap iaitu perkataan tersebut digabungkan menjadi satu perkataan. Nak tahu? jom...

Saya mudahkan anda untuk mengingatinya...

Semalam Amir bawa opah jalan-jalan ke kampung tanjung setia sebab pakcik Wan mahu beli tanah

                                                  semalam      - sukarela
                                                  amir            - antarabangsa
                                                  bawa            - bumiputera
                                                  opah             - olahraga
                                                  jalan-jalan    - jawatankuasa
                                                  ke                 - kerjasama
                                                  kampung      - kakitangan
                                                  tanjung         - tanggungjawab
                                                  setia             - setiausaha
                                                  sebab           - suruhanjaya
                                                  pakcik         - pesuruhjaya
                                                  wan             - warganegara
                                                  mahu          - matahari
                                                  beli             - beritahu
                                                  tanah          - tandatangan
 
moga bermanfaat..^_____^

Friday, April 11, 2014

Jom Teladani Sau'dah...

Tadi mendengar ceramah di rancangan Al-Hidayah..
Saudah binti Zam'ah..antara isteri Rasulullah s.a.w. Tersentuh hati apabila mendengar kisah hidup beliau. Beliau merupakan seorang yang berperwatakan periang dan ceria. Diceritakan pada satu ketika, Rasulullah s.a.w sujud terlalu lama ketika mengimamkan solat bersama-sama Saudah. Oleh sebab sujud baginda terlalu lama, Saudah telah berkata kepada baginda, "Ya Rasulullah, andai aku tidak menutup hidungku ini, nescaya akan mengalir dengan banyaknya darah di hidungku"..Rasulullah s.a.w secara tiba-tiba tertawa sehingga terlihat keseluruhan gigi baginda. Rasulullah s.a.w amat senang hati apabila bersama-sama dengan isteri baginda Saudah binti Zam'ah.

Pengajaran: Isteri yang cerdik dan solehah adalah penyejuk mata si suami, penawar hati dan penajam fikiran. Biarlah kita menjadi isteri yang menyenangkan hati suami dan pengubat derita serta tekanannya.

p/s: saya masih sendiri..belum berdua..

Bercerita tentang hati...

Ya Allah..
Andaiku bisa bahagia, walau tanpa bersamanya...
Gantikanlah yang hilang, tumbuhkan yang telah patah...
Kuinginkan bahagia di dunia dan akhirat...
Pada-Mu Tuhan ku mohon segalanya...

Cinta dalam hati manusia ibarat bunga sakura. Akan mekar pada musimnya tetapi tidak akan lama. Cantik pada pandangan manusia tetapi apabila berguguran mengudang kesusahan. Ceria menghiasi taman tetapi hanya dipandang sekilas pandangan.

Wednesday, April 9, 2014

Harapan...

Agak lama saya tidak menulis di sini. Masa saya agak terhad bulan ini dengan tugasan yang datang tanpa henti. Kali ini saya bercerita tentang HARAPAN. Kadang-kadang harapan ini hadir pada saat kita telah putus asa. Ya, inilah yang berlaku. Pernah saya mendengar ada yang mengatakan bahawa jangan terlalu berharap kerana akan sakit akhirnya. Namun, tanpa harapan, setiap impian kita tak akan menjadi kenyataan.

Pengalaman menghadapi sesuatu yang membuatkan saya sering putus harapan dan kemudian harapan itu Allah makbulkan pada saat saya tidak lagi ingin memikirkannya. Sejak bersekolah lagi, itulah yang saya hadapi. Saat sahabat lain telah bergembira kerana mendapat tawaran menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh, saya masih berharap hinggalah satu ketika harapan itu seakan-akan berlalu meninggalkan saya. Pada tika itu, saya telah meletakkan harapan itu jauh dari hati dan minda serta pasrah menerima segala ketentuan yang ditetapkan untuk saya. Dan pada masa itulah juga, harapan itu bertukar menjadi kenyataan. Begitu juga, setiap apa yang terjadi dalam hidup saya sehingga kini. Harapan pada saat akhir tatkala saya telah pasrah menerima takdir Allah untuk hidup saya.

Sehingga entri ini ditulis, saya masih berharap pada satu perkara dalam hidup saya agar menjadi kenyataan. Andai sehingga harapan terakhir itu tidak mungkin menjadi kenyataan, saya akan terima segala-galanya dengan hati terbuka.



Friday, April 4, 2014

Penantian dan Kesetiaan

Kisah Penantian...ya..penantian itu sering dikaitkan dengan penyeksaan. Logik akal manusia memang penantian itu memerlukan satu kesabaran yang tinggi. Kesabaran dan kesetiaan. Berkait rapat antara satu sama lain.

Kisah seorang suami dan isteri. Kisah tentang kesetiaan dan penantian. Diceritakan, seorang lelaki telah jatuh hati dengan seorang wanita dan menyunting wanita itu menjadi suri hatinya. Setelah lama melayari bahtera rumah tangga, si suami telah mendapat tawaran untuk bekerja di luar negara. Dengan perasaan yang berat, si suami terpaksa meninggalkan si isteri di tanah air. Si isteri menerima ketentuan dengan hati terbuka. Si suami mengikat janji bahawa dalam masa beberapa tahun, dia akan membawa si isteri untuk tinggal bersama-sama di sana.

Selang beberapa tahun, si suami tidak memberikan khabar berita. Diam seribu bahasa. Si isteri terus menanti. Ibu dan ayah memaksa si isteri menfailkan fasakh kerana sudah beberapa tahun si suami tidak memberikan nafkhah yang sepatutnya. Namun si isteri tetap setia menanti. Memegang janji si suami. Akhirnya, masuk tahun ke-7, si isteri yang masih berstatus isteri kepada si suami terlihat kelibat seseorang yang amat dikenalinya di sebuah pasar raya. Ya! si suami yang dicintai. Tapi...siapakah di sebelahnya? Perempuan bersama seorang bayi...Bergenang air mata si isteri. Diekori keluarga itu hingga ke rumah. Saat si suami tiada di rumah, si isteri bertemu wanita itu. Seperti yang ditelah dalam hatinya, benarlah itulah si suami yang ditunggu sekian lama. Memungkiri janji yang diikat selama ini. Namun, si isteri tetap menanti dan sentiasa mengetahui perkembangan si suami dari jauh.

Ditakdirkan, si suami mendapat kecelakaan. Menghidap buah pinggang tahap 3 yang memerlukan transfusi buah pinggang. Isteri baharu tidak dapat mendermakan buah pinggang atas faktor ketidaksesuaian. Si isteri yang setia nekad membantu. Allah itu maha Kaya sifatnya. Dijadikan buah pinggang si isteri yang setia amat sesuai. Lalu, berlakulah pemindahan buah pinggang tersebut.

Ajal itu sentiasa pasti. Si isteri yang setia mengehembuskan nafas terakhir seusai pemindahan selesai. Si suami yang curang itu masih tidak mengetahui siapakah penderma yang begitu bermurah hati. Seperti biasa, doktor dan petugas hospital menemui si suami. Ada raut kesedihan pada mata si doktor. Di tangannya tergenggam bungkusan dan surat. Diserahkan kepada si suami.

"Buat abang yang dirindui,
Terima kasih kerana mengajar saya erti kesetiaan dan penantian. Saya masih mengikat janji yang dipatri 7 tahun yang lalu. Namun, Allah menguji saya dengan semua ujian ini.
Abang..
Janji saya tetap saya tunaikan. Abang telah pun membawa saya pergi ke mana-mana jua yang abang jejaki. Jagailah saya sebaik-baiknya sehingga ke helaan nafas terakhir abang. Ini sahaja yang mampu saya lakukan untuk kehidupan abang dunia akhirat. Sehingga saya dikafankan, saya tetap bergelar isteri abang. Setialah pada yang ada itu dan janganlah jadikan dia sebagaimana abang melakukannya terhadap saya. Pakaian ini saya jahit untuk abang pakai sewaktu berhari raya selama 7 tahun abang di sana. Namun, saya tidak langsung punya kesempatan untuk mengirimkannya setelah kita terputus hubungan beberapa tahun yang lalu.

Apa pun yang abang lakukan kepada saya, saya telah memaafkannya. Ampunilah segala dosa dan kesalahan saya sepanjang bergelar isteri.

-Isterimu-

Bercucuran air mata si suami. Dia yang mencurangi isterinya dan tidak pernah mengotakan janji tetapi isterinya yang menyelamatkan nyawa tatkala ambang kematian berada hampir dengannya.

Moral: Penantian dan kesetiaan...hanya yang telus mencintai mampu melakukannya..

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)