“Dalam derita ada bahagia, dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu tak siapa pinta ujian bertamu. Bibir mudah mengucap sabar, tapi hatilah yang remuk menderita. Insan memandang mempunyai pelbagai tafsiran.”
Seringkali kita menuturkan kata-kata “mengapa aku?” apabila musibah datang
melanda diri kita. Dan seringkali juga kita menyalahkan apa yang berlaku ke
atas kita. Itu lumrah dalam kehidupan manusia. Persoalan yang kerap kali meniti
di bibir kita ialah persoalan “MENGAPA”. Sedangkan pernahkah terlintas di
fikiran kita bahawa musibah yang datang itu ialah qada’ dan qadar daripada
Allah untuk hamba-Nya? Kita sebagai hamba perlu menyedari hakikat bahawa
penciptaan kita di muka bumi ini adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah
s.w.t. Malangnya, kita pula bersikap prejudis terhadap-Nya.
Seharusnya kita menyedari bahawa bukan semua ketetapan buruk yang
diturunkan kepada kita ialah musibah dan bukan semua ketentuan yang baik itu ialah
rahmat. Kita sering terlupa di sebalik ujian itu terselit 1001 kenikmatan dan
sebalik rahmat itu sebenarnya terselit ujian buat diri kita. Hakikatnya, apa
jua ketetapan yang Allah sediakan untuk kita sebagai hamba-Nya merupakan
sebahagian daripada lakaran kehidupan. Maka, persoalan “Mengapa aku” tidak
seharusnya terlintas.
Beringatlah bahawa, Allah mendatangkan ujian bukanlah untuk tujuan
menyakiti hamba-Nya, sebaliknya Dia merindui rintihan setiap hamba-Nya melalui
ujian yang diturunkan. Allah menguji untuk meningkatkan keimanan kita sebagai
hamba-Nya. Adakah kita layak dikatakan sebagai orang yang beriman sedangkan
diri tidak diuji oleh Allah.
"Apakah manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan
mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Andai diri tak mampu
bertahan
Sebagai
manusia yang lemah, kekusutan dan kesedihan tidak akan meninggalkan hati.
Semakin kita ingin bertahan, semakin kita merasakan ujian itu terlalu berat
untuk dihadapi. Tenanglah. Allah tidak akan pernah meletakkan ujian itu
melebihi kesanggupan hamba-Nya. Janganlah meletakkan kesedihan di hadapan
kerana kesedihan hanya akan melemahkan jasad dan rohani.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
-Surah Ali-Imran ayat 139 .
".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat
Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum
yang kafir."
-Surah Yusuf ayat 12
-Surah Yusuf ayat 12
Rahmat Ujian
Ujian yang datang melengkapkan lakaran kehidupan manusia. Ibarat satu
lukisan yang terlukis. Umpama kitaran lengkap bumi mengelilingi matahari.
Begitulah juga ujian dalam kehidupan. Maka, lenyapkanlah persoalan “Mengapa aku”
dari kotak minda kita. Ingatlah, tidak semua nikmat itu kekal sebagai nikmat
dan ujian itu terlalu buruk pada pandangan kita. Boleh jadi nikmat itu adalah
ujian dan ujian itu adalah rahmat.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu
padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal
ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
-Surah Al-Baqarah ayat 216
-Surah Al-Baqarah ayat 216
“Segala
takdir, terimalah dengan hati terbuka. Walau terseksa ada hikmahnya. Harus ada
rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma. Itu jelas membuktikan Allah
mengasihimu setiap masa. Diuji tahap keimanan sedangkan rahmat terbiar
dilalaikan. Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmat-Nya.”