“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, July 24, 2014

Nak Raya dah Rupanya...

Raya dah nak menjelma..

Tapi perasaan gembira seperti dulu dah semakin tiada...

Biasa la..

Dilema orang bujang macam saya...

Apa-apa pun SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...

Mohon diampunkan salah dan silap...

Monday, July 21, 2014

Ramadhan Terakhir...

Ramadhan bakal mengakhiri fasanya untuk tahun ini. Tanpa kita sedari terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang Ramadhan 1435H ini. Bermula daripada serangan Israel ke atas Gaza sehingga insiden MH 17. Semuanya memberikan 1001 iktibar dan pengajaran buat kita semua.

Kita mungkin masih mampu merasai deruan nafas dan keindahan alam sehingga hari ini, tetapi kita mungkin tidak menyedari bahawa malaikat Izrail mendatangi kita hampi 70 kali sehari. Kematian bukanlah sesuatu yang kita dapat jangkakan detik dan waktunya akan mendatangi kita. Kematian berlaku tanpa ada sesiapa melainkan Allah sahaja yang mengetahuinya. Inilah rahsia Allah bagi hamba-Nya. Seandainya kita telah mengetahui detik kematian kita akan tiba, masihkah kita bersenang-lenang dan bermegah-megah dengan kehidupan kita? Pastinya tidak..

Kita tidak akan mengetahui sama ada Ramadhan ini adakah Ramadhan yang terakhir buat kita semua. Maka, berusahalah sehabis mungkin untuk menggapai keredhaan dan keampunan yang Allah kurniakan dalam keseluruhan bulan yang penuh barakah ini seolah-olah kita tidak akan bertemu lagi Ramadhan ini pada tahun depan.

Saat tiba nafas di hujung hela
Mata tinggi tak sanggup bicara
Mulut terkunci tanpa suara

Bila tiba saat berganti dunia
Alam yang sangat jauh berbeda
Siapkah kita menjawab semua pertanyaan

Bila nafas akhir berhenti sudah
Jatung hati pun tak berdaya
Hanya menangis tanpa suara

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami mati...

~Ingatan buat diriku yang terlupa~

Thursday, July 17, 2014

Bicara Tentang Hati...

Alhamdulillah..hari ini mendengar perkhabaran semangat dari Tanah Anbiya' Palestin. Rejim Zionis dihidangkan dengan kejutan-kejutan hebat daripada pihak HAMAS..Subhanallah!!!..berkat doa umat Islam seluruh dunia..kekuatan tentera Islam melebihi kekuatan si yahudi Laknatullah!..
 
Hari ini terasa ingin berbicara dari hati ke hati. Bicara tentang rasa hati. Rasa hati yang sudah jarang dizahirkan di blog ini sejak satu peristiwa yang berlaku itu. Namun, hari ini bicara hati lebih menyeluruh. Tidak mengenai sesiapa. Tidak ditujukan kepada individu tertentu. Hanya rasa hati yang dikongsi sedikit.
 
Cuti aidilfitri bakal mendatangi kita semua. Ketika itu nantilah pelbagai pertanyaan maut persis roket Apache Israel bakal membedil ruang hati dan minda insan bujang seperti saya. Berbicara tentang jodoh dan ketentuan, siapakah kita untuk mengetahui siapa yang tertulis untuk kita? Allah memberikan cara dengan berusaha selagi termampu dan seterusnya bertawakkal kepada-Nya.
 
Kita selalu merasakan dia yang kita sayang ialah jodoh kita. Kita berkawan (couple) sejak zaman remaja namun akhirnya dia berumah tangga dengan orang lain. Kita merancang dan berjanji setia hingga hujung nyawa, namun perancangan dan janji Allah itu lebih baik dan utama. Kita berusaha semampu kita tetapi kita masih belum menemukan seseorang yang sesuai untuk kita. Kita akan terus diuji dengan ujian-ujian seperti ini sehingga jodoh itu berada di garis tepat takdir kita.
 
Ingatlah..kita diberikan hak untuk menyayangi dan disayangi oleh insan bernama manusia. Dan kerana itulah Alah menitipkan rasa kasih dan sayang serta cinta dalam hati makhluk-Nya. Jodoh itu Allah berikan bertepatan dengan masa dan siapa dia untuk kita. Kadangkala kita merasakan kita telah terlalu bersedia untuk menuju ke arah pernikahan dan hidup berkeluarga, namun hakikatnya Allah mengetahui bahawa hati kita belum cukup mampu menghadapi hari-hari mendatang. Diri kita belum cukup matang dan sempurna untuk menjadi yang terbaik buat si dia.
 
Kadangkala ada sebab mengapa Allah belum mendatangkan jodoh yang terbaik untuk kita. Cuba kita lihat semula diri kita. Mungkin cinta yang bertamu dalam hati kita bukanlah cinta kerana Allah tetapi lebih kepada cinta nafsu. Kita sanggup serahkan segala-galanya untuk dia yang kita sayangi semata-mata kerana kita yakin bahawa dia adalah jodoh kita, sedangkan hakikatnya mungkin si dia hanya bermanis mulut berbicara semata-mata untuk memperoleh matlamat nafsunya. Dan akhirnya, terbukti dia bukanlah jodoh yang diciptakan untuk kita. Jodoh yang dipilih oleh Allah untuk kita mungkin seorang yang baik namun selagi kita tidak mengubah diri kita menjadi yang baik, selagi itulah jodoh kita akan tersekat di sana.
 
Allah maha Adil terhadap hamba-Nya. Apabila tiba waktu yang sesuai untuk kita, pasti jodoh yang tertulis berada dekat dengan kita. Dengan syarat, kita berusaha dengan cara yang digariskan oleh syariat. Jika sebelum ini cinta kita berlandaskan nafsu dan cinta dunia semata-mata, berusahalah untuk mengubah hati kita untuk meletakkan cinta Allah dan Rasul-Nya sebagai tempat yang terutama dalam hati dan minda. Dan tika itulah, cinta hamba yang didamba akan menyusul tiba.
 
Saya sudah ada jawapan bagi bedilan pertanyaan ibarat roket yang akan menujah saya tidak lama lagi. Sudah 3 tahun saya memekakkan telinga mendengar pertanyaan sinis daripada orang yang bertanya. Dan selama 3 tahun itu jugalah hati saya memendam rasa.
 
Alhamdulillah kali ini, saya yakin Allah itu sentiasa membantu memulihkan kelukaan saya. Mengapa ditagih cinta duniawi andai yang hadir di sisi hanya melukakan hati?..Ingatlah, Allah pasti menemukan jodoh kita pada masa dan keadaan yang tepat mengikut perancangan-Nya.

Wednesday, July 16, 2014

Intifada Palestin!

Saat kita bergembira menanti detik kedatangan Syawal, para saudara kita di Palestin (dibaca sebagai Gaza) sedang berjuang berhabis-habisan menanti syahid menentang rejim Yahudi (dibaca sebagai Zionis) laknatullah. Saya terbaca kisah kriteria keahlian Briged Al-Qassam di Palestin dan peristiwa aneh ketika berlakunya pertempuran di Gaza.

Mungkin kita semua tidak menyedari bahawa para tentera Islam yang berpakaian menutup muka dan memakai tanda jihad di dahi itu ialah tentera jihad di bawah nama Briged As-Syahid Izzudin Al-Qassam Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah (HAMAS). Dan terfikir atau tidaknya kita bahawa selepas kematian As-Syahid Dr. Abdul Aziz Ar-Rantisi, HAMAS tidak lagi mengumumkan siapakah Qa'id mereka yang seterusnya. Hal ini kerana, Israel hanya menanti masa untuk membunuh sesiapa sahaja yang menjadi Qa'id pasukan yang paling ditakuti oleh tentera Dajjal ini.

HAMAS sebenarnya berhadapan dengan dua ancaman besar iaitu daripada Israel dan pengkhianatan dari Parti Kebangsaan dan Sekular Palestin iaitu FATAH. FATAH dinaungi oleh Mahmud Abbas dan mendapat sokongan penuh oleh Israel dan Amerika. Dalam konteks ini, HAMAS menentang Israel dengan cara serangan bersenjata, manakala menentang FATAH dengan cara melibatkan diri dalam politik Palestin.

Untuk menjadi salah seorang daripada ahli pasukan Al-Qassam, pemuda-pemuda Palestin perlu memenuhi kriteria ini :

1) Mendapatkan keizinan dari ibu bapa – ini tidak rumit kerana rata-rata ibu bapa di Palestin inginkan anak mereka syahid.
 
2) Mendapatkan keizinan dari ketua masjid di tempat tinggalnya yang mengesahkan bahawa : selama 3 bulan berturut-turut pemuda ini tidak meninggalkan solat Subuh berjama’ah di masjid.

3) Anggota Hamas dan Al-Qassam bukan sahaja tidak bermaksiat, menghisap rokok pun tidak.

4) Setiap anggota wajib mempelajari Tafsir Al-Qur’an.

5) Setiap anggota wajib membaca Al-Qur’an sehari satu juz’.

6) Setiap anggota wajib menghafaz 40 Hadith Arba’in ( Imam Nawawi ).

7) Melazimi puasa sunat dan bertahajud.

8) Kecerdasan yang tinggi – buktinya anggota mereka yang banyak melakukan akis bom syahid semuanya golongan hafaz Al-Qur’an, ilmuwan dan intelektual Palestin.

9) Melazimi hadir di majlis-majlis pengajian dan halaqah ilmu.

10) Melazimi zikir harian.

11) Melazimi olahraga atau beriadhah.
 
12) Anggota Al-Qassam adalah mereka yang sudah siap untuk syahid bila-bila dan dimana sahaja tempat yang akan ditugaskan.

Diceritakan pengalaman seorang anggota misi kemanusiaan yang bertugas di Gaza, bagaimana tentera Al-Qassam ini dapat membezakan perisik Israel dengan anggota sukarelawan ialah dengan menguji mereka dengan Al-Quran. Namun begitu, oleh sebab kebanyakan perisik Israel juga menghafaz Al-Quran (jangan terkejut sekiranya mereka yang Yahudi sanggup menghafaz Al-Quran!), oleh itu tentera Al-Qassam akan menguji mereka dengan sirah Nabawiyyah. Inilah senjata rahsia tentera ini untuk membezakan pengkhianat dengan mereka yang tulus membantu.

Maka, jangan terkejut sekiranya para syahid yang menentang Zionis ini merupakan golongan intelektual Palestin yang menggunakan seluruh kudrat mental dan fizikal mereka untuk menegakkan agama Allah dan membebaskan tanah Anbiya' ini daripada jejak kotor Zionis.

Peristiwa Aneh semasa Peperangan di Gaza

6 peristiwa keajaiban yang belaku sewaktu perperangan menentang Yahudi laknatullah.

Terdapat 6 peristiwa keajaiban yang belaku sewaktu perperangan tersebut berlaku, jom kita ketahuinya:

Peristiwa 1

Seorang Ketua Mujahid Gaza berkata pada Ustaz Zaik bahawa, ketika satu pertempuran, komander mujahidin menyuruh pejuang tidak menembak kereta kebal Yahudi yang memasuki kawasan mereka. Dengan berbekalkan baki 6 RPG, tiba-tiba senjata ini menembak ke arah kereta kebal tersebut dan memusnahkan ia. Komander itu menjerit agar tidak menembak dan para pejuang berkata mereka tidak melakukannya. Mereka berkata tiba-tiba senjata mereka berfungsi dan menembak sasaran. Setelah habis adegan aneh itu, para pejuang mendapati baki 6 RPG itu masih tidak digunakan! Dan siapakah yang menembak tentera laknatullah itu??? Allahu Akhbar!

Peristiwa 2

Temuramah bersama tentera Yahudi laknatullah oleh TV Israel yang cedera mengatakan bahawa mereka melihat pejuang Gaza kesemuanya berpakaian putih sedangakan uniform pejuang Hamas bewarna hijau! Siapakah yang berbaju putih itu???

Peristiwa 3

Tentera Yahudi yang buta setelah serangan berkata mereka tiba-tiba dibaling pasir ke mata mereka dan tidak tahu siapakah yang melakukannya.

Peristiwa 4

Peluru berpandu yang pertama di lancarkan oleh Israel ke Gaza mengenai sasarannya iaitu anggota tentera mereka sendiri! Ia berpatah balik!

Allahu Akhbar!

Peristiwa 5

Pada permulaan perang, roket-roket Hamas yang hendak dilancarkan, tiba-tiba salah satu roket itu meluncur laju ke udara tanpa ada sesiapa yang mengaktifkan ia. Dan roket itu mengenai sasaran di Israel !

Peristiwa 6

Yang paling menakjubkan, seorang ulama Syria telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW dan kelihatan baginda sedang mengeluarkan pedang dari sarungnya. Ulama itu berkata, "Wahai,, , ke mana kamu mahu pergi?", lalu baginda menjawab, "Aku mahu berperang di Gaza !!!".

MasyaAllah, Rasulullah sendiri mahu berperang di Gaza , di manakah kita? Itulah serba sedikit dari kisah menakjubkan yang sempat diceritakan oleh al-fadhil Ustaz Abdullah Zaik setelah berada lebih seminggu di Gaza atas misi kemanusiaan. Ia kisah benar yang perlu umat Islam ketahui. Allahu Akbar!!!
 
Tentera Al-Qassam dan rakyat Palestin yakin dengan bantuan dari langit dan benar! Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Allah mengutuskan tentera-tentera langit-Nya untuk membantu bumi Palestin. Ingatkah kita tentang peristiwa di Perang Badar? Tentera Islam yang hanya berjumlah 700 orang boleh menumpaskan tentera kafir Quraisy yang berjumlah 3000 orang. Allah menurunkan tentera-Nya untuk berjuang bersama-sama umat Islam .Subhanallah!!!!
 
p/s: Mungkin kita di sini tidak berkemampuan untuk membantu dari segi kekuatan kita, tetapi ingatlah, kekuatan doa itu adalah yang paling kuat. Amalkan membaca Qunut Nazilah sebagai bantuan kita kepada mereka.
 
Intifada ya Palestin!!!!

kredit untuk Ida Scripter : http://idasyuhada.blogspot.com


Thursday, July 10, 2014

Nama Atas Nama...

Nama yang tertulis pada diri setiap manusia itu membawa maksud yang sangat signifikan. Benarlah apa yang dikatakan, nama yang baik membawa peribadi yang baik dan begitu juga sebaliknya.
Setiap nama yang diberikan kepada setiap anak Adam itu akan dipanggil ketika talkin, akan disahut namanya ketika persoalan dengan malaikat Munkar dan Nakir. Oleh sebab itulah, pemberian nama yang baik kepada anak-anak amat perlu. Begitu juga apabila ingin menyatakan panggilan manja buat dirinya. Panggilan nama yang singkat itu kadang kala membawa maksud yang tidak baik dan perkara tersebut mungkin mempengaruhi tumbesaran lahiriah dan rohani anak-anak tersebut.

Paling baik, panggillah mereka dengan nama penuh atau nama yang singkat tetapi bermakna. Rasulullah s.a.w juga pernah memanggil ‘Aisyah R.A dengan panggilan manja untuk dirinya tetapi membawa maksud yang sangat indah dan baik. Rasulullah s.a.w memanggil ‘Aisyah dengan nama ‘Aisy dan Humairaa yang bermaksud “si pipi kemerah-merahan”.

Sekiranya nama anak terlalu panjang, jangan terlalu mudah untuk memendekkan nama tersebut kerana diragui kependekan nama itu membawa maksud yang tidak baik atau hina. Sebagai contohnya, masyarakat Melayu terlalu suka untuk memendekkan nama anak-anak untuk memudahkan panggilan. Nama yang baik seperti Hasnah, Zakiah, Ruqaiyyah dipendekkan sehingga hilang maksud nama yang indah tersebut.

Trend masa kini yang terlalu mengikut peredaran semasa menyebabkan kebanyakan nama anak-anak sekarang telah hilang maksud yang baik dan bermakna. Mengapa menyusahkan anak-anak untuk membawa nama tersebut sehingga ke liang lahad? Jangan hanay kerana mengejar glamor dan populariti masa kini, anak-anak menjadi mangsa.

p/s: Oleh sebab nama saya ada kependekkannya, jadi, saya juga tidak terkecuali menerima nasib yang sama walaupun hati tidak begitu mengizinkan..dahulu saya paling tidak suka orang memendekkan nama saya kerana apa yang saya terima sejak lahir, seharusnya itulah yang dipanggil…



Wednesday, July 2, 2014

Penawar Hati...

Penawar hati...

Kadang-kadang Allah menurunkan hujan yang lebat kepada kita sebelum kita dapat menikmati betapa indahnya pelangi dengan perasaan dan hati yang tenang...


~sesungguhnya tiada yang lebih indah dan tenang melainkan dengan mengingati Allah~

~Peringatan buat diriku yang terlupa~
 

 

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)