“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, December 27, 2012

Remaja dan Jodoh.

Remaja dan Jodoh memang satu ungkapan yang tidak dipisahkan. Kata "Jodoh"
 bagi remaja berusia 21 tahun hingga 27 tahun memang tidak pernah renggang. Ungkapan ""remaja" pula sememangnya akan sering dikaitkan dengan jodoh. Ingin tahu rasional saya mengatakan sedemikian? Hal ini seringkali terjadi kepada sahabat-sahabat termasuk diri saya sendiri. Bila mana usia seperti kami dikatakan masih belum bertemu jodoh dan akan digelar anak dara tua. Inilah pandangan segelintir anggota masyarakat yang masih teguh memegang lapuknya adat dan kepercayaan.

Kadang kala hati dan fikiran saya bertanya, salahkah kami belum menemui jodoh pada usia seperti ini? Adakah perlu kami mengikut rentak para sahabat yang telah selamat atau yang bakal melayari bahtera rumah tangga dengan menerima sahaja lamaran lelaki yang tidak diketahui latar belakang agamanya, keluarganya, pendidikannya, akhlaknya? Tatkala jari pantas menaip entri ini, tiba-tiba saya teringat pertanyaan saudara-mara ketika saya dan keluarga bertandang ke majlis perkahwinan sepupu baru-baru ini. "Bila lagi giliran kamu Nurul? Kakak-kakak semua dah selamat, kerja kamu pun dah tetap, cepat-cepatlah kahwin." Ini adalah antara pertanyaan yang agak "membunuh" bagi saya apabila semua saudara berkumpul. Bukanlah niat saya untuk menolak menjawab pertanyaan mereka tapi saya sendiri tiada jawapan untuk pertanyaan tersebut. Saya bukanlah ahli nujum yang tahu bilakah jodoh saya akan tiba. Saya telah berusaha dengan berdoa kepada Allah s.w.t tetapi sebagai hamba-Nya, saya terus-menerus menyandarkan harapan saya kepada Maha Khaliq. Dia lebih mengetahui akan setiap sesuatu yang diciptakan-Nya.

Soal jodoh bukanlah satu perkara yang dibuat mainan kerana jodoh itu adalah satu ikatan yang terpatri untuk satu tempoh yang sangat lama (hingga ke akhir hayat). Janganlah kerana terlalu mengikut hati dan perasaan, kita sanggup menarik sahaja mana-mana lelaki atau perempuan yang kita rasakan sesuai dengan diri kita sedangkan telah tertulis dia bukanlah untuk kita. Saya memetik kata-kata Ustaz Badlishah Alauddin dalam rancangan Al-Hidayah beberapa minggu lalu, "ada manusia yang jodohnya tiba tersangat awal, selepas habis belajar terus berkahwin, ada juga manusia yang jodoh tiba selepas beberapa bulan bekerja, ada manusia yang jodohnya tiba lewat, umur hampir mencecah 40-an baru diketemukan jodohnya dan ada juga manusia yang Allah tundakan urusan jodohnya hingga hari Akhirat dan dipertemukan di sana." Apabila mendengar kata-kata ini, hati saya tidak lagi goyah dan hampir kuat untuk menepis tohmahan insan-insan di sekeliling saya. Jodoh itu perlu dicari dengan berusaha dan saya telah berusaha. Allah mempertemukan saya dengan ramai insan tetapi saya sendiri tidak mengetahui siapakah antata insan-insan tersebut yang telah dituliskan untuk saya sebagai imam keluarga saya nanti.

Para sahabat, janganlah terlalu mudah menurut perasaan dan hati apabila berbicara tentang jodoh dan perkahwinan. Allah telah memberikan cara yang mudah untuk kita menahan hawa nafsu dan gelodak rasa cinta dalam hati hamba-Nya. Berpuasa, mengingati-Nya, mengerjakan solat sunat ialah usaha-usaha yang boleh kita lakukan sekiranya kita merasakan diri kita kosong dengan cinta. Gapai dahulu cinta-Nya. Dia tidak pernah lupa mencintai hamba-Nya yang mencinta-Nya.

Ingatlah, semua manusia itu telah ditetapkan jodohnya, cuma cepat atau lambat sahaja. Jangan mudah mengeluh dan merintih apabila melihat insan-insan di sekeliling kita bergembira dengan keluarga baru mereka. Jodoh mereka tiba pada masanya , begitu juga kita. Remaja khususnya bergelar wanita memang mudah goyah hatinya apabila diajukan persoalan sebegini, maka kuatkanlah hati kalian. Ingat, Allah sentiasa ada untuk hamba-Nya.


Biarlah masyarakat memberikan tohmahan kepada diri kita, asalkan kita berada pada landasan yang benar. Memetik kata-kata pujangga, "manusia ini tidak pernah puas untuk mengkritik dan melihat kesalahan orang lain, sedangkan diri sendiri masih tebal dengan kesalahan sendiri."

Wallahua'alam.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)