“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, January 28, 2014

Kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap Khadijah

Maulidur Rasul masih lagi diingati dan ketika ini hati terdetik untuk menyelusuri kisah Rasulullah s.a.w. Saya sangat tertarik dengan kisah kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap Siti Khadijah r.a dan sikap cemburu si Humairaa' Aisyah r.a.

Seperti yang kita tahu, Siti Khadijah r.a ialah cinta pertama Rasulullah s.a.w apabila beliau dinikahi oleh baginda ketika usianya mencecah 40 tahun manakala Rasulullah s.a.w berusia 25 tahun. Perbezaan umur yang sangat ketara bukanlah satu masalah kepada baginda dan Siti Khadijah r.a kerana Rasulullah s.a.w dikurniakan putera dan puteri kesayangan hasil perkongsian hidup bersama beliau.

Rasa kecintaan Rasulullah s.a.w sentiasa ada terhadap isteri kesayangan baginda, Siti Khadijah s.a.w walaupun selepas kewafatan beliau. Khadijah membenarkan tatkala semua menafikan kenabian baginda, Khadijah menginfa'kan hartanya tatkala semua memulaukan baginda, Khadijah mempercayainya tatkala semua mendustakan baginda. Khadijah memberikan zuriat kepada baginda yang tidak diperolehi daripada isteri-isteri baginda yang lain. Hal inilah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w tidak pernah melupakan Khadijah walaupun beliau meninggalkan baginda terlebih dahulu sehingga terjadi satu tahun yang dinamakan sebagai 'Amun Huzni" (Tahun Kedukaan).

Fitrah wanita diberikan rasa cemburu kerana tanpa cemburu itu, tidak akan timbulnya perasaan kasih dan sayang. Begitu juga yang berlaku kepada 'Aisyah r.a yang berasa cemburu dengan kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap insan pertama yang berjaya membuka pintu hati baginda. Pernah satu ketika, 'Aisyah menjadi sangat cemburu dan telah menegur Rasulullah s.a.w kerana hanya Khadijah sahaja yang meniti di bibir baginda. Teguran tersebut telah mengguris hati Rasulullah s.a.w dan baginda telah menjawab, "Tidak, demi Allah, Dia tidak menggantikan aku dengan yang lebih baik daripada Khadijah. Dia beriman kepadaku tatkala orang-orang mendustakanku, dia menghulurkan hartanya ketika semua menghalangiku, dia mengurniakan aku putera-puteri yang tidak aku perolehi daripada isteri-isteriku yang lain." Mendengar jawapan tersebut, Aisyah r.a tidak lagi menegur tentang Khadijah di hadapan Rasulullah s.a.w.

Siti Khadijah dan 'Aisyah r.a masing-masing mempunyai kelebihan di sisi Rasulullah s.a.w. 'Aisyah merupakan perawi hadith baginda paling agung selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Siti Khadijah pula sebagai insan pertama menyaksikan kenabian Rasulullah s.a.w dan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan yang paling utama, kedua-duanya ialah Ummul Mukminin.

Buat suami, tiada salahnya si isteri atau isteri-isteri anda cemburu kerana perasaan cemburu itu tanda masih wujudnya perasaan cinta dan sayang terhadap anda. Namun, sebagai suami, anda perlu bijak menangani kecemburuan tersebut. Si isteri juga begitu. Macam orang-orang tua kata, cemburu kan tanda sayang...^_^

Kalimah Cinta

Hari ini terasa ingin meluahkan perasaan, kena la pada harinya. Orang kata (sesiapa yang percaya pada aura hari) hari Selasa ialah hari yang sesuai untuk meluahkan perasaan kerana hari ini bertemakan ungu/merah jambu.

Bercakap tentang perasaan, hati ini ingin meluahkan kata-kata cinta. Kadang-kadang kita terpaksa memendam rasa cinta kerana kita takut dengan kehilangan. Itu yang pernah saya alami tidak lama dahulu. Ada juga yang mengatakan, jika kita tidak meluahkan, itu lebih sakit kerana apabila kehilangan, timbul 1001 penyesalan dalam diri. Itu juga pernah saya alami terlalu lama dahulu. Kesimpulan dua-dua keadaan itu pernah saya tempuhi. Jadi, saya memilih untuk meluahkan kata-kata cinta dalam blog ni. (tapi sekadar dala blog jela..malu pula dikatakan nanti perigi mencari timba)

"Cinta itu tidak pernah meminta, tetapi memberi sepenuh rela. Cinta membawa penderitaan tetapi tidak berdendam. Di mana ada cinta, di situ ada kehidupan". -Mahatma Gandhi-

"Perasaan cinta yang sebenar adalah apabila insan yang kita cinta mencintai insan lain dan ketika itu kita masih mampu tersenyum dan mendoakan kebahagiaan untuk dirinya."

"Jangan sesekali mengucapkan selamat tinggal selagi belum mencuba. Jangan sesekali menyerah selagi masih merasa sanggup meneruskan. Jangan sesekali menyatakan kamu membencinya selagi kamu tidak mampu melupakan."

"Kesakitan dalam bercinta ialah apabila kita mencinta seseorang tetapi kita tidak mempunyai keberanian untuk menyatakan cinta kepadanya sehinggalah dia berlalu pergi dan menjadi milik yang lain."

"Bukan laut namanya jika tidak berombak, bukan cinta namanya jika tidak pernah terluka, bukan kekasih namanya jika tiada perasaaan cemburu."

"Ketika Allah menginginkan dua hati bertemu, Dia akan menggerakkan kedua-duanya sekali. Bukan salah satu."

Monday, January 6, 2014

Wasiat Rindu

Kalau tuan pandai menyurat,
      Suratkan saya di kertas biru,
Kalau tuan pandai mengubat,
      Ubatkan saya hati yang rindu..

Mendung langit ditutup awan,
      Mentari terlindung disapa bayu,
Kalau rindu pandanglah bulan,
      Kirim pesan di angin lalu...

Sedih jiwa menahan sendu,
     Terkenang orang jauh di mata,
Hati sakit menahan rindu,
     Tapi bibir malu berkata...

Letak sirih jangan bertindih,
     Rosak sirih orang tak sudi,
Kalau tahu merindu pedih,
    Jangan mudah memberi hati...

Orang laut tarik perahu,
     Ikat perahu tepi dermaga,
Rindu kita orang tak tahu,
     Makin dipendam makin terluka...

Ayun buai di pohon sena,
    Kaki luka duri semalu,
Jangan belayar angin tak kena,
    Takut karam tenggelam lalu...

Tirai Kenangan

Tahun 2014 masih lagi berbunga-bunga tahun baru. Melihatkan angka pada tahun yang semakin meningkat ini membuatkan saya tenggelam dalam kenangan lama zaman persekolahan.

Januari 1995
Pertama kali menjejakkan kaki ke zaman persekolahan. Mengenali erti sekolah kebangsaan dengan sahabat-sahabat yang masih sama seperti di sekolah tadika dahulu. Ada juga sahabat-sahabat yang baru dikenali. Ketika itu, guru-guru ada yang telah mengenali saya kerana kakak-kakak dan abang saya juga merupakan bekas pelajar dan pelajar di sekolah tersebut.

1996-2000
Bersama-sama teman-teman seperjuangan yang sama di sekolah, cuma ada 2 orang sahabat baik yang bertukar sekolah mengikut ibu bapa yang berpindah ke luar daerah. Ketika inilah kuntuman persahabatan kian mekar antara satu sama lain. Saling bertukar-tukar ilmu (ada juga yang meniru untuk menyiapkan kerja sekolah..hehehehe). Indah kenangan zaman persekolahan.

2011- kini
Sudah hampir 9 tahun meninggalkan zaman persekolahan sejak menamatkan gelaran "pelajar sekolah" pada tahun 2007 sebagai pelajar STPM. Memulakan kehidupan kampus yang penuh warna-warni setahun selepas itu. Segala-galanya berubah setelah saya diberikan rezeki untuk bekerja di perantauan sehingga kini.

2014
Sungguh tak sangka Allah masih meminjamkan saya sehingga tarikh hari ini untuk terus menghirup udara di bumi-Nya. Serasa baru sahaja meninggalkan zaman persekolahan. Ya Allah, saya terlalu merindui zaman kanak-kanak dan remaja saya. Penuh warna-warni. Penuh kebahagiaan tanpa perlu memikirkan kesibukan bekerja dan apa yang bakal saya harungi keesokan harinya. Ya Allah, saya merindui sahabat-sahabat seperjuangan saya. Merindui indahnya bersama-sama menggapai ilmu. Ya Allah, peliharalah sahabat-sahabat saya. Temukanlah kami satu masa nanti agar dapat kami berkongsi suka duka dan menghidupkan semula kenangan indah kami bersama satu ketika dulu.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)