“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, January 28, 2014

Kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap Khadijah

Maulidur Rasul masih lagi diingati dan ketika ini hati terdetik untuk menyelusuri kisah Rasulullah s.a.w. Saya sangat tertarik dengan kisah kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap Siti Khadijah r.a dan sikap cemburu si Humairaa' Aisyah r.a.

Seperti yang kita tahu, Siti Khadijah r.a ialah cinta pertama Rasulullah s.a.w apabila beliau dinikahi oleh baginda ketika usianya mencecah 40 tahun manakala Rasulullah s.a.w berusia 25 tahun. Perbezaan umur yang sangat ketara bukanlah satu masalah kepada baginda dan Siti Khadijah r.a kerana Rasulullah s.a.w dikurniakan putera dan puteri kesayangan hasil perkongsian hidup bersama beliau.

Rasa kecintaan Rasulullah s.a.w sentiasa ada terhadap isteri kesayangan baginda, Siti Khadijah s.a.w walaupun selepas kewafatan beliau. Khadijah membenarkan tatkala semua menafikan kenabian baginda, Khadijah menginfa'kan hartanya tatkala semua memulaukan baginda, Khadijah mempercayainya tatkala semua mendustakan baginda. Khadijah memberikan zuriat kepada baginda yang tidak diperolehi daripada isteri-isteri baginda yang lain. Hal inilah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w tidak pernah melupakan Khadijah walaupun beliau meninggalkan baginda terlebih dahulu sehingga terjadi satu tahun yang dinamakan sebagai 'Amun Huzni" (Tahun Kedukaan).

Fitrah wanita diberikan rasa cemburu kerana tanpa cemburu itu, tidak akan timbulnya perasaan kasih dan sayang. Begitu juga yang berlaku kepada 'Aisyah r.a yang berasa cemburu dengan kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap insan pertama yang berjaya membuka pintu hati baginda. Pernah satu ketika, 'Aisyah menjadi sangat cemburu dan telah menegur Rasulullah s.a.w kerana hanya Khadijah sahaja yang meniti di bibir baginda. Teguran tersebut telah mengguris hati Rasulullah s.a.w dan baginda telah menjawab, "Tidak, demi Allah, Dia tidak menggantikan aku dengan yang lebih baik daripada Khadijah. Dia beriman kepadaku tatkala orang-orang mendustakanku, dia menghulurkan hartanya ketika semua menghalangiku, dia mengurniakan aku putera-puteri yang tidak aku perolehi daripada isteri-isteriku yang lain." Mendengar jawapan tersebut, Aisyah r.a tidak lagi menegur tentang Khadijah di hadapan Rasulullah s.a.w.

Siti Khadijah dan 'Aisyah r.a masing-masing mempunyai kelebihan di sisi Rasulullah s.a.w. 'Aisyah merupakan perawi hadith baginda paling agung selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Siti Khadijah pula sebagai insan pertama menyaksikan kenabian Rasulullah s.a.w dan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan yang paling utama, kedua-duanya ialah Ummul Mukminin.

Buat suami, tiada salahnya si isteri atau isteri-isteri anda cemburu kerana perasaan cemburu itu tanda masih wujudnya perasaan cinta dan sayang terhadap anda. Namun, sebagai suami, anda perlu bijak menangani kecemburuan tersebut. Si isteri juga begitu. Macam orang-orang tua kata, cemburu kan tanda sayang...^_^

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)