“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Monday, January 6, 2014

Tirai Kenangan

Tahun 2014 masih lagi berbunga-bunga tahun baru. Melihatkan angka pada tahun yang semakin meningkat ini membuatkan saya tenggelam dalam kenangan lama zaman persekolahan.

Januari 1995
Pertama kali menjejakkan kaki ke zaman persekolahan. Mengenali erti sekolah kebangsaan dengan sahabat-sahabat yang masih sama seperti di sekolah tadika dahulu. Ada juga sahabat-sahabat yang baru dikenali. Ketika itu, guru-guru ada yang telah mengenali saya kerana kakak-kakak dan abang saya juga merupakan bekas pelajar dan pelajar di sekolah tersebut.

1996-2000
Bersama-sama teman-teman seperjuangan yang sama di sekolah, cuma ada 2 orang sahabat baik yang bertukar sekolah mengikut ibu bapa yang berpindah ke luar daerah. Ketika inilah kuntuman persahabatan kian mekar antara satu sama lain. Saling bertukar-tukar ilmu (ada juga yang meniru untuk menyiapkan kerja sekolah..hehehehe). Indah kenangan zaman persekolahan.

2011- kini
Sudah hampir 9 tahun meninggalkan zaman persekolahan sejak menamatkan gelaran "pelajar sekolah" pada tahun 2007 sebagai pelajar STPM. Memulakan kehidupan kampus yang penuh warna-warni setahun selepas itu. Segala-galanya berubah setelah saya diberikan rezeki untuk bekerja di perantauan sehingga kini.

2014
Sungguh tak sangka Allah masih meminjamkan saya sehingga tarikh hari ini untuk terus menghirup udara di bumi-Nya. Serasa baru sahaja meninggalkan zaman persekolahan. Ya Allah, saya terlalu merindui zaman kanak-kanak dan remaja saya. Penuh warna-warni. Penuh kebahagiaan tanpa perlu memikirkan kesibukan bekerja dan apa yang bakal saya harungi keesokan harinya. Ya Allah, saya merindui sahabat-sahabat seperjuangan saya. Merindui indahnya bersama-sama menggapai ilmu. Ya Allah, peliharalah sahabat-sahabat saya. Temukanlah kami satu masa nanti agar dapat kami berkongsi suka duka dan menghidupkan semula kenangan indah kami bersama satu ketika dulu.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)