“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Thursday, December 26, 2013

Ambang 2013...

Tahun 2013 bakal meninggalkan saya tidak lama lagi. Saat jemari ini pantas menekan aksara pada papan kekunci komputer ini, bilangan hari untuk menjengah tahun 2014 hanya berbaki 5 hari sahaja lagi. 5 hari bukanlah seperti dulu. 5 hari sekarang hanya sepantas angin meniupkan dedaun kering. Sekejap masa akan berlalu meninggalkan kita.

Tahun 2013 melakarkan pelbagai cuit-cuit manis dan pahit dalam hidup saya. Tahun yang mengajar saya erti segala rasa dan pengalaman. Rasa bahagia, kecewa, tangis, duka, ceria, bersabar dan memaafkan. Pengalaman yang mematangkan diri saya seiring usia yang mencecah suku abad ini. Azam saya bukan semuanya terlaksana kerana sebagus mana pun kita merancang, Allah tetap perancang yang sangat sempurna. Maka, saya redha dengan apa yang telah berlaku kerana saya sedar apa yang telah berlaku tidak mungkin untuk diundurkan semula. Apa yang telah berlaku akan dijadikan sebagai pengalaman hidup dan apa yang bakal berlaku kekal menjadi misteri.

Tahun 2014 menanti saya dengan penuh debaran. Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Perancangan tahun depan tidak saya ukirkan atau lakarkan seperti tahun-tahun sebelum ini. Percubaan pertama saya. Biarkan tahun hadapan datang secara misteri dan akhirnya juga kekal menjadi misteri sebagaimana misterinya isi hati saya kini.

Saya tidak pasti apa yang berlaku pada tahun 2014. Hanya satu sahaja yang pasti, umur saya tetap meningkat tahun demi tahun. Peningkatan umur bermakna selangkah lagi saya mendekati kematian. Malaikat Jibril mendatangi makhluk Allah di muka bumi ini 70 kali sehari, bermakna bila-bila masa sahaja ajal itu bakal menjemput tanpa salam sejahtera atau tanpa ucapan selamat tinggal.

Moga saya masih sempat menjejakkan umur dan helaan nafas saya genap tarikh keramat kelahiran saya tahun 2014. Urusan yang lain saya serahkan pada Allah setelah berusaha dan berikhtiar. InshaaAllah.

Sayonara 2013..Aloha 2014!

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)