“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Monday, May 13, 2013

Merekalah wanita itu.

"Di belakang kejayaan seorang itu berdirinya seorang wanita". Pasti anda pernah mendengar kata-kata ini. Jika ditanya sejauh mana kebenaran kata-kata ini bukanlah satu perkara yang sukar. Bersempena hari Ibu yang jatuh pada 12 Mei setiap tahun, saya ingin menyelusuri hikmah di sebalik kata-kata itu.

Wanita itu sudah Allah jadikan sebagai makhluk-Nya yang istimewa berbanding makhluk Dia yang lain. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Baik la, kita lihat satu persatu. Siapakah yang mampu membawa beban sebesar lebih dari 1 kg dalam tubuhnya selama 9 bulan 10 hari? Siapa yang sanggup bergadai nyawa melahirkan seorang lagi makhluk Allah di muka bumi ini? Siapa yang sanggup bergolok bergadai untuk melihat darah daging sendiri berjaya hidup di hadapan mata sendiri? Semua ini hasil usaha seorang insan bernama WANITA. Allah mengangkat tinggi darjat seorang wanita sehingga dikatakan wanita itu adalah hiasan di muka bumi ini dan seindah-indah hiasan adalah seorang wanita solehah. Subhanallah!.. Baik la, berbalik kepada topik utama kita, saya melihat dan mengkaji kesahihan kata-kata ini. Siapakah insan mulia di sisi Kekasih Allah, Nabi Muhammad? Siapakah insan sejati di sisi Nabi Allah, Ibrahim? Siapakah wanita unggul di belakang Saidina Ali bin Abi Talib? dan siapakah insan tabah yang mendampingi Abu Talhah? Lihatlah! mereka ialah Siti Khadijah binti Khuwailid (cinta pertama nabi), Siti Hajar, Fatimah Az-zahra dan Ummu Sulaim binti Milhan.

Siti Khadijah ialah insan pertama yang mengetahui kerasulan Nabi, insan pertama yang mempercayai kenabian itu. Beliau sanggup bersama-sama suami tercinta dihina dan dicaci para musyrikin Jahiliyyah tatkala Kekasih Allah menyebarkan dakwah baginda. Kewafatan beliau ditangisi nabi sehingga digelar Tahun Kedukaan. Kecintaan Nabi pada dirinya mencetuskan kecemburuan dalam hati si Humairaa'. Kejayaan Kekasih Allah adalah sokongan padu beliau dalam membantu Rasulullah s.a.w. mengharungi kedegilan musyrikin Quraisy. Lihatlah, ada wanita di sebalik Kekasih Allah.

Begitu juga dengan Ummu Sulaim. Beliau dikatakan wanita penerima mahar paling mahal di muka bumi ini. Bukan berharga ribuan dinar tetapi maharnya adalah keislaman si jejaka yang menambat hatinya. Bertambahnya seorang lagi pencinta Islam adalah kerana tawaduknya Ummu Sulaim sehingga menggetarkan hati Abu Talhah. Di sebalik itu, sifat terpuji Ummu Sulaim dikagumi si suami. Ketenangan dalam mengharungi saat kehilangan zuriat tercinta namun disampaikan dengan penuh sabar kepada si suami. Berjayanya Anas bin Malik sebagai perawi hadis Nabi kerana ibunya, Ummu Sulaim. Nah! lihatlah pembuktian di sebalik kata-kata hikmah itu. Ada wanita  di sebalik kejayaan seorang insan bernama lelaki.

Seorang wanita bergelar ibu dan isteri bukanlah sesiapa pada pandangan mata manusia, tetapi pengorbanan, bakti dan jasa mereka tidak mungkin dapat dibayar dan dibalas dengan cara yang terunggul sekali pun. Ingatlah, tiada kita tanpa ibu. Tiada kejayaan tanpa doanya. Tiada kehidupan tanpa jasanya.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)