“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Wednesday, December 24, 2014

Peringatan daripada Allah...

Musim banjir kembali semula seperti biasa, tetapi kali ini memang luar biasa kerana bukan setakat negeri pantai timur sahaja yang merasai gelombang banjir akhir tahun, malahan negeri di pantai barat semenanjung juga turut menerima tempiasnya. Mudah cerita, mana-mana negeri yang bersempadan dengan Kelantan, Terengganu atau Pahang sedang merasai keperitan tersebut.

Ingatkah kita semua tentang peristiwa pertengahan tahun ini iaitu Malaysia dilanda musim kemarau yang berpanjangan dan menyebabkan air di empangan menjadi hampir kering?..Ketika itu, kita semua merungut menyatakan kemarau telah meragut kegembiraan kita semua. Kali ini pula, air di empangan berlebih-lebihan sehingga terpaksa dilepaskan ke sungai-sungai. Sekali lagi kita semua merungut dan meratap tangis mengatakan air tidak surut-surut sehingga banjir berlarutan.

Lihat!!..manusia tidak pernah merasai cukup. Mungkin Allah lebih tahu hikmah di sebalik semua ini berlaku. Jika kita teliti semula, berbagai-bagai perkara duka berlaku dalam tahun ini, bermula dengan kehilangan MH370 yang menjadi misteri yang tak terungkai sehingga kini, puting beliung yang tidak pernah ada pun di kawasan Malaysia tiba-tiba datang ke utara tanah air, kedukaan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine yang sehingga kini seolah-olah tiada keadilan buat mangsa-mangsa, musim kemarau berpanjangan sehingga ada negeri diisytiharkan darurat, dan akhirnya banjir besar yang melanda negeri-negeri dalam Malaysia. Satu-persatu perkara duka berlaku kepada kita semua, tetapi pernahkah kita semua (boleh juga dibaca mereka semua) mengambil iktibar atau pengajaran?..

Saya tidak melihat keinsafan dalam diri mereka yang berkenaan atau sesiapa sahaja berikutan setiap perkhabaran duka yang berlaku dalam tahun ini, malah mereka berkelakuan seperti setiap perkara duka itu tidak pernah berlaku. Konsert dan hiburan masih dibenarkan, tarian yang merosakkan dan program yang melalaikan menghiasi kalendar negara. Pernahkah terfikir atau terlintas sekelumit dalam hati masing-masing bahawa setiap yang berlaku ini adalah natijah daripada kemungkaran yang kita lakukan dan peringatan daripada Allah?

Sebagai makhluk di bumi Allah ini, kita beringatlah bahawa kita hanya meminjam alam ini daripada-Nya. Berbuat baiklah (beramal soleh dan melakukan kebaikan) selagi Allah memberikan nafas untuk terus menghirup udaranya di muka bumi milik-Nya ini.

Moga perkhabaran duka yang berlarutan sehingga kini ini akan memberikan perkhabaran ceria. Doa dan harapan saya untuk saudara-mara di negeri-negeri yang mengalami musibah tetap saya lantunkan selagi termampu, insha-Allah.

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)