Pertanyaan pertama yang diajukan oleh seorang sahabat saya pada petang tahun baru beberapa hari yang lalu ialah mengenai azam saya untuk tahun ini. Azam? Itulah pertanyaan yang saya lontarkan kembali kepadanya. Azam saya pada tahun ini cuma berkurang sedikit berbanding tahun sebelum ini. Saya bertanya kembali kepada sahabat saya itu, apakah azam beliau pada tahun ini. Lantas dia menyatakan bahawa dia ingin cepat menamatkan zaman bujangnya. Hati saya mengiyakan. Memang itulah azam hampir kesemua sahabat yang saya kenali. Alhamdulillah jika itu yang dihajatkan oleh mereka pada tahun ini. Doa dan harapan yang saya iringkan untuk mereka.

Laksanakanlah tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, mak ayah dahulu dengan sempurna, baru memikirkan soal pasangan hidup. Melaksanakan tanggungjawab dengan baik terhadap mak ayah, secara tidak langsung akan melatih diri kita untuk lebih bertanggungjawab dengan keluarga yang bakal dibina kelak. Mudah bukan?
Namun, saya tahu setiap individu berbeza-beza akan persepsi dan pendapatnya. Ini pendapat saya kerana saya tidak lagi meletakkan harapan kepada soal perkahwinan. Hal ini kerana saya telah pun meletakkan keluarga saya pada tingkat yang pertama dalam azam saya pada tahun ini. Harapan saya supaya apabila keluarga di hadapan, urusan lain bakal dipermudahkan.
Tahun 2013 diharapkan akan memberikan satu rentetan kehidupan tidak kira pahit atau manis dalam hidup saya. Jika tahun 2012, diari kehidupan saya diwarnai dengan episod suka dan duka dalam persahabatan, perhubungan, kekeluargaan. Begitu juga harapan saya untuk tahun ini, cuma saya berharap agar episod suka lebih mengisi ruang rentetan berbanding yang duka. InshaALLAH.
Dalam hati saya ada harapan yang hanya ALLAH yang lebih mengetahuinya. Moga tahun 2013 melangkah dengan baik dan mengajar saya untuk menjadi lebih matang dan dewasa. Ahlan wa sahlan wa Marhabban ya 2013.