Bukan semua peluang yang datang itu adalah nikmat yang dikurniakan. Berkemungkinan peluang itu membuatkan kita terpaksa memilih satu jalan antara dua jalan yang terbentang luas di hadapan kita. Berbicara tentang peluang yang hadir, lihatlah ia daripada pelbagai sudut dan pandangan orang lain. Mungkin pada kita, apa yang hampir tergenggam dalam tangan adalah yang pilihan yang terbaik untuk kita, tetapi fikirkanlah semula, apa yang hampir dengan kita itu mungkin bukan milik mutlak kita.
Peluang yang hadir dalam hidup baru-baru ini saya lepaskan dengan hati yang tenang. Biarlah orang lain mengatakan saya membuat kesilapan yang terbesar pernah saya lakukan dalam membuat pemilihan, tetapi saya rela mengenepikannya demi keredhaan yang saya nantikan. Bagi saya, peluang itu adalah ujian buat diri dan memerlukan saya membuat keputusan yang jitu, namun keputusan muktamad daripada insan yang terlalu rapat dengan saya lebih saya utamakan.
Insha-Allah, melepaskan peluang itu pergi bukanlah bermakna hidup dan kejayaan saya berakhir di sini tetapi ia adalah sebagai permulaan hidup saya untuk menanti cabaran baru yang lebih mencabar di hadapan.
Allah lebih tahu apa yang saya perlukan melebihi apa yang saya inginkan. Insha-Allah.. berakhirnya satu peluang mungkin akan terus membuka peluang yang baru..ibarat kata pujangga Inggeris, "When one door closes, another opens; but we often look so long and so regretfully upon the closed door that we do not see the one which has opened for us."
Maka, berbahagialah kerana Allah lebih mengetahui hikmahnya di sebalik setiap kejadian itu. Wallahua'lam..