Mungkin agak payah menyelami dan mentafsirkan kata-kata yang tersirat di atas. Pendekatan yang mudah iaitu, manusia sebagai pelukisnya, ujian itu ialah warnanya dan hidup ini sebagai kanvas putih itu. Ujian itu datang dengan berbagai-bagai warna. Hitam, merah, kuning, hijau dan biru. Kita sebagai pelukisnya mestilah inginkan warna yang ceria menghiasi lukisan kita. Maka, berus di tangan kita itulah sebagai penyelesaiannya. Minda yang positif dan optimis dalam menyelesaikan setiap masalah dan ujian yang datang itulah yang diperlukan. Namun, kadang kala emosi mendahului segalanya. Ketika itulah minda negatif mempengaruhi tindakan kita. Maka, terhasillah corak yang hitam dan lesu kerana penyelesaian berdasarkan emosi telah digunakan.
Ironinya, kehidupan kita tidak akan surut dengan masalah dan ujian. Masalah di tempat kerja, masalah peribadi dan rumah tangga. Manusia tidak akan pernah hilang daripada masalah. Berlarilah sehingga hujung dunia sekalipun, masalah tetap akan mengejar kerana selagi kita tidak menghadapi ujian itu, selagi itulah ia masih berada sebagai bayang-bayang. Cara paling mudah ialah hadapi setiap masalah tersebut dan carilah penyelesaiannya. Penyelesaian yang dimulai dengan pemikiran yang optimis mencetuskan hasil yang positif dan begitu juga sebaliknya. Analogi mudahnya, mahukah kita mencorakkan kanvas putih dengan warna yang kelam atau warna yang ceria? Tepuk dada tanya iman...
p/s: Siapa pun kita dan apa pun masalah serta ujian yang mendatangi kita, paling molek kembalilah kepada-Nya. Bermohonlah dengan-Nya. Allah menyukai hamba-Nya yang sentiasa bermohon pertolongan-Nya setelah berusaha. Dia maha pengasih dan maha penyayang. Selagi kita sebagai hamba-Nya tidak menyekutukan-Nya, maka selagi itulah kasih sayang-Nya mencurah-curah kepada kita. SubhanaAllah!!!
~Ingatan buat diriku yang terlupa~