“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Wednesday, December 4, 2013

Marah?Mari Kawal Bersama!

"Argh!!!Menyampah betul dengan dia!Ingat dia bagus sgt!!$%#@!!!"...Marah?Menyampah?Benci?Meluat?

Sifat marah itu sentiasa ada dalam makhluk Allah. Marah itu datangnya dari syaitan yang meniup api kemarahan kepada anak-anak Adam. Sifat marah itu juga terhasil daripada perasaan ego seseorang. Ego itu pula hadir apabila seseorang itu merasakan dirinya berdarjat lebih tinggi daripada orang-orang di sekelilingnya.

Tidak ada manusia biasa yang mampu lari daripada perasaan tersebut tetapi mereka yang mampu mengawalnya ialah mereka yang bijaksana. Mengapa? Persoalan ini mungkin akan timbul dengan sendirinya dari dalam kotak minda kita. Ya, kerana, perasaan marah itu lahir akibat rasa tidak puas hati dengan sesuatu perkara yang berlaku kepada diri seseorang itu. Perkara yang berlaku itu bukankah telah tertulis di Loh Mahfuz? Jadi, kita sebenarnya memarahi siapa jika tidak Pencipta kita. Astaghfirullah!!!

Bagaimana untuk mengawal kemarahan? Kita selusuri kisah Qais bin Asim bilamana seorang hambanya datang membawa besi pemanggang panas yang mempunyai daging panggang pada besi tersebut ketika dia sedang berehat di rumahnya. Namun, belum sempat daging panggang itu diletakkan di hadapan Qais, besi pemanggang tersebut terjatuh dan mengenai anaknya. Maka, menjerit kepanasan dan kesakitan anak Qais sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat kejadian itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang telah pucat menanti hukuman.

"Aku bukan sahaja tidak memarahimu tetapi mulai hari ini aku bebaskan dirimu" kata Qais kepada hambanya. MasyaAllah! begitu mulia dan redhanya hati Qais. Dia bukan tidak menyayangi anaknya tetapi dia melihat kejadian itu dari sudut yang lain. Anak itu merupakan pinjaman dari Allah untuknya. Sekiranya dia memarahi hambanya, maka secara tidak langsung dia turut memarahi Allah.

Sebuah kisah yang boleh dijadikan pengajaran ialah kisah tentang seorang suami dan isteri pada zaman Rasulullah s.a.w. Si suami telah membelikan sebiji tembikai untuk si isteri. Apabila pulang, si isteri telah memotong buah tersebut tetapi malangnya buah tembikai itu tawar dan busuk. Maka, melentinglah si isteri memarahi suaminya dan si penjual. Si suami tersenyum dan dengan tenang bertanyakan kepada si isteri, "Kamu memarahi diriku kerana membeli buah tembikai yang tawar dan busuk sedangkan aku telah mencari yang terbaik untuk dibeli. Kamu memarahi si penjual sedangkan si penjual telah berusaha mendapatkan buah yang terbaik untuk jualannya. Kamu memarahi si petani sedangkan si petani telah bersusah payah menanam dengan cara terbaik. Maka, sedarkah kamu bahawa kamu telah memarahi Allah?". Menangislah si isteri kerana terlalu biadap kerana mengeluarkan kata-kata tohmahan tersebut. Nah!analogi yang sangat mudah.

Maka, banyak cara yang boleh digunakan untuk mengawal kemarahan daripada terus membakar hati dan akal kita.

1. Berasa malu dengan Allah kerana Allah melihat tindak tanduk dan kebiadapan kita.

2. Apabila terasa ingin marah, ingatkan diri bahawa kita hanyalah manusia yang hina.

3. Ingatlah bahawa kesan daripada sifat marah itu akan mencetuskan api dendam dan persengketaan dengan orang yang kita marahi.

4. Bayangkan rupa kita yang sedang marah. Pasti buruk rupa kita yang tidak ubah seperti lembu jantan yang sedang marah.

5. Jika dalam kemarahan, bacalah ta'awuz (a'uzubillahi minasyaitonnirrajim) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

6. Apabila marah sedang memuncak, berwuduklah kerana air mampu memadamkan api.

7. Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan, sekiranya kamu dalam keadaan marah dan berdiri, maka duduklah, jika tidak hilang, berbaringlah, jika tidak mampu untuk kamu menghilangkannya, maka berwuduklah kerana wuduk itu mampu memadamkan api.

8. Tauhid kita perlu tepat. Setiap apa yang datang itu dari Allah dan pasti kembali semula kepada Allah. Mengapa perlu marah?

Kita pasti tidak suka dimarahi selepas melakukan kesalahn. Begitu juga dengan orang lain. Rasulullah s.a.w itu begitu tenang sifatnya. Cara paling berhemah untuk menegur kesalahan orang lain ialah dengan cara yang lembut iaitu berbincang dengan cara yang baik atau menegurnya dengan cara yang berhemah. Bukan menghamburkan kata-kata yang keji dan hina kepadanya sehingga menjatuhkan maruahnya dan maruah kita juga.

Ingatlah, saat anak Adam itu marah, Iblis dan Syaitan bersorak kegembiraan kerana misi mereka untuk menyentap nafsu amarah anak-anak Adam itu telah berjaya. Maka, kita sebagai hamba-Nya perlu mengawal kemarahan kita dan jadilah seseorang yang tenang dalam membuat keputusan.

p/s: Saya seorang yang pemarah dan akan menangis apabila memarahi orang. Mulai hari ini, cubalah untuk bersikap rasional dan tenang. Marah hanya merugikan diri. Merosakkan sistem badan, menyebabkan penyakit seperti jantung, darah tinggi dan penyakit rohani. Paling penting memutuskan ukhuwah yang terbina kerana Allah. Paling mudah, beristighfar memohon keampunan Allah sekiranya ada sesiapa yang membuat saya marah. Saya akan berubah kerana Allah. ^__^

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)