“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Friday, October 25, 2013

Maaf..saya hanya seorang manusia...

"Mengapa masih melakukannya kalau sudah berjanji untuk berubah?"..selalu saya dengar pertanyaan ini. Maaf, saya hanya seorang manusia. Miliki sifat pelupa dalam sesetengah situasi.

Manusia atau insan berasal dari perkataan "nasia" iaitu lupa. Dimasdharkan (masdhar dalam Bahasa Arab bermaksud kata nama terbitan) menjadi "insan". Mengapa Allah menjadikan manusia itu dengan sifat lupa? mari muhasabah sejenak..Sekiranya manusia dijadikan tanpa sifat lupa, maka tiada neraka, syurga, dosa dan pahala..Keliru? Mari kupas satu-persatu. Allah menjanjikan syurga buat hamba-Nya yang sering mengingati-Nya, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Neraka pula Allah ciptakan untuk hamba-Nya yang menyekutukan-Nya, melakukan perkara yang dilarang dan lupa akan kewujudan-Nya. Pahala adalah ganjaran manakala dosa adalah balasan.

Tanpa sifat lupa yang Allah berikan kepada manusia, tidak akan ada dugaan dan ujian untuk meraih syurga-Nya. Saya mengupas satu-persatu perkara ini kerana ada segelintir manusia di luar sana yang tidak memahami atau pura-pura tidak memahami konsep tersebut. Dan natijahnya, dilemparkan pelbagai tuduhan, dan perli kepada seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan yang sekecil-kecil zarah hanya kerana seseorang itu telah berhasrat untuk berubah tetapi dalam suatu situasi seseorang itu terlupa akan hasratnya kerana tindakan refleksi semula jadi. Seterusnya mengaitkan semua itu dengan perkara negatif yang pernah dilalui oleh individu itu sebelum ini. Mudah menuturkan semua itu kepada si pesalah, tetapi pernahkah kita bermuhasabah dengan diri kita sendiri? Inilah kelemahan manusia. Tiada yang sempurna melainkan Allah semata-mata. Kerana itulah diberikan sifat itu kepada hamba-Nya.

Saya hanya manusia yang ada sifat kelupaannya. Sesiapa sahaja ada sifat lupa. Nasihat saya, jangan mudah menjatuhkan seteruk-teruk kata kepada si pelupa kerana kita sendiri belum tentu sempurna di mata-Nya.

 Peringatan buat diriku yang sering terlupa.


Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)