Allah itu maha Pemurah sifatnya. Redha dengan ketentuan menjadikan kita sebagai hamba-Nya kuat dalam menghadapi pelbagai musibah. Mungkin kita tidak mampu untuk redha dan pasrah sebagaimana mulianya sifat Khaulah al-Azwar menerima berita keempat-empat puteranya syahid di jalan Allah. Begitu juga Ruqaiyyah puteri Rasulullah apabila terpaksa berpisah dengan suami tercinta kerana wahyu Allah. Kita hanya menerima secebis daripada dugaan dan ujian yang diturunkan-Nya untuk melihat sejauh mana iman hamba-Nya utuh dan kukuh. Keredhaan itulah pengukur utama iman dalam hati kita. Allah menguji bukan tanda Dia membenci hamba-Nya, tetapi untuk melihat adakah kita sebagai hamba-Nya memahami konsep redha itu sendiri dan bagaimana penerimaan kita terhadap sesuatu musibah yang melanda sama ada dengan hati terbuka atau tidak.
Redha dalam menghadapi ketentuan memberikan kemanisan dalam kehidupan. Kepahitan itu pasti akan terasa pada permulaanya tetapi kemanisan menerima ketentuan dengan hati terbuka dan redha lebih dirasai pada penghujungnya. Itulah lumrah dalam kehidupan. Allah itu maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan
sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi
kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin
. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti
kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar
bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )
( Riwayat Muslim )
Kesimpulannya amat mudah, redha dengan ketentuan menguatkan hati sekaligus menjadikan kita punyai benteng keimanan yang kuat. Belajar menerima qada' dan qadar Ilahi kerana Dia lebih mengerti segalanya.
p/s: Saya juga sedang belajar menerima dan redha dengan apa yang berlaku dalam hidup saya. Sekali kita melangkah ke hadapan, jangan berpaling ke belakang.