“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Monday, October 7, 2013

Kurindu kasihmu...

Hari ini genap usia ayah 64 tahun. Alhamdulillah, Allah masih memberikan nikmat kesihatan dan kesejahteraan kepada ayah. Pagi-pagi tadi tak sabar tangan mendail telefon bimbit ayah. Sejak tinggal di perantauan, hanya telefon sahaja yang menjadi tempat saya mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran kepada ayah kerana tarikh keramat itu jatuh tatkala saya berada jauh darinya. Suara ayah pagi tadi menggetarkan jiwa. Rindu sangat dengan ayah dan emak. Salah saya sebenarnya kerana jarang pulang ke kampung kebelakangan ini. Ayah berpuasa hari ini sebagai tanda syukur Allah masih meminjamkan dirinya kepada kami sekeluarga. Ceria suara ayah kerana saya anaknya yang pertama mengucapkan selamat hari lahir.

Sebenarnya saya tidak serapat dulu dengan ayah sejak ayah mengalami kemalangan pada tahun 2000. Saya pun tidak tahu mengapa. Apa yang saya tahu, masa itu saya berumur 12 tahun dan ketika ayah terlibat dalam kemalangan, saya berada di sekolah dan sedang menduduki peperiksaan percubaan UPSR. Perkhabaran malang itu membuatkan saya tidak boleh menerima apa yang telah tertulis untuk ayah ketika itu, lebih-lebih lagi melihatkan badan ayah penuh dengan wayar-wayar dan kepala ayah dibotakkan untuk memasukkan tiub sepanjang 6 cm. Selepas peristiwa itu, saya menjadi kurang rapat dengan ayah. Ada sahaja perkara yang akan saya pertikaikan dengannya. Namun, ayah jarang memarahi saya. Malah ayah sering menunaikan apa yang saya perlukan. Teringat saya semasa pertama kali mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke UKM. Ayah melakukan sujud syukur dan pertama kali saya melihat air mata ayah mengalir ketika kereta abang saya meluncur perlahan-lahan meninggalkan saya di kolej. Kegembiraan ayah berterusan ketika saya menjejakkan kaki ke pentas konvokesyen UKM pada tahun 2011.

Ayah sangat berbeza dengan emak. Ayah bukan seorang pemarah. Ayah juga seorang pemendam. Ayah seorang yang sangat penyayang. Sebab itulah kami lebih takutkan emak berbanding ayah. Ayah di rumah seperti sahabat kami. Bertepuk tampar dengan ayah seperti seorang kawan. Tetapi ketegasan ayah terpancar sekiranya kami tidak menunaikan solat dan tidak membaca al-Quran setiap hari. Ketegasan itu jugalah yang menjadikan al-Quran sebagai amalan saya setiap hari selepas solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Hari ini, saya terlalu merinduinya. Andai ada ayah di sisi saya,pasti akan saya rangkul tubuhnya dan memeluknya sekuat dan selama saya mampu. Andai ayah tahu apa yang saya alami di sini, hari ini dan apa yang tersimpan dalam hati saya sehingga kini, tidak perlu lagi saya berselindung di balik senyuman dan kata-kata penyedap hati di hadapan orang lain setiap hari.

Syukur Ya Allah kerana masih memberikan umur yang panjang buat ayah. Walaupun sang putera bakal memiliki saya, tetapi ayah tetap raja di hati saya sampai bila-bila!!

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)