Namun begitu, kesedihan bukanlah sesuatu yang perlu dikekalkan dalam sejarah hidup kita. Kesedihan kadang kala boleh menyebabkan kita dekat dengan-Nya dan kesedihan juga mampu membuatkan kita semakin jauh dari-Nya. Semua itu adalah dari izin-Nya. Cuma bagaimana kita menghalang kesedihan itu daripada terus membelenggu diri kita setiap masa.
Acap kali manusia bersedih kerana perkara yang remeh. Bersedih kerana gagal dalam peperiksaan. Bersedih kerana putus cinta dan bersedih kerana tidak memiliki apa yang dihajati. Perkara-perkara seperti ini bukanlah satu perkara yang perlu ditangisi atau diratapi. Bersedih kerana urusan seperti ini hanya akan menyebabkan jiwa kita lemah. Kita selusuri kesedihan yang dialami oleh saudara-mara kita di Dunia Arab yang saban hari menanggung kesedihan akibat kehilangan apa yang mereka miliki selama ini. Namun, mereka tidak pula meratapi kehilangan tersebut bahkan mereka bangkit daripada kesedihan itu dan berjuang atas nama agama yang dipegang teguh. Jika dibandingkan antara kita dan mereka, perlukah kita terus-menerus bersedih dengan apa yang terjadi kepada kita? Jawapannya terletak pada diri masing-masing. Setiap manusia itu telahpun diberikan akal fikiran yang sempurna untuk berfikir. Mengapa terus-terusan meletakkan diri dalam kesedihan sedangkan kita mampu meninggalkannya jauh di belakang?
Oleh itu, tinggalkan semua kesedihan yang membelenggu diri. Bangun dan jadilah seorang yang tabah dalam mengharungi dugaan hidup. Tiada salah untuk kita bersedih kerana kita bukanlah robot yang langsung tiada perasaan. Allah itu maha sempurna kerana menciptakan hamba-Nya yang bernama manusia dengan berbagai-bagai perasaan. Namun, itu bukanlah alasan kukuh untuk meletakkan perasaan sedih itu di tempat teratas sehingga kita tidak mahu lagi memandang perkara yang boleh menyentuh perasaan gembira kita.
Janganlah bersedih. Ayuh bangkit dan maju ke hadapan dengan niat dan azam yang baru.