“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, April 2, 2013

Senyumlah..Kerana Senyumanmu Begitu Berharga

Pernahkah kita mendengar orang kata senyuman yang diberikan akan mencairkan kemarahan? Pernah atau tidak anda mencuba? Ya atau tidak ungkapan ini itu tidak penting. Apa yang penting ialah hikmah di sebaliknya. Mengapa dikatakan senyuman itu satu penawar? Nah, di sini akan dijelaskan.

Sejak kecil kita semua pasti pernah menimbulkan kemarahan ibu dan ayah jika tingkahlaku kita tidak disenangi mereka. Tetapi, kemarahan itu akan hilang saat kita tersenyum kepada ibu dan ayah. Ini hanya satu contoh yang agak mudah untuk ditunjukkan. Pasti semua pernah melalui saat ini juga. Inilah penawar paling mudah.

"Senyuman itu satu sedekah". Ungkapan ini tidak mungkin dapat disangkal oleh sesiapa pun. Rasulullah SAW merupakan manusia yang tidak pernah lekang dengan senyuman baginda.
Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:
"Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?"

Sebagai manusia, Allah telah menjadikan hamba-Nya sebagai sebaik-baik ciptaan. Diberikan-Nya akal untuk berfikir dan rupa yang cantik untuk dipandang dan dihayati. Lirikan senyuman yang tidak perlu dibayar itu menambahkan kecantikan yang dianugerahkan oleh-Nya. Senyuman tidak memerlukan modal yang terlalu tinggi. Jika senyuman itu perlu dibayar, nescaya tidak akan ada satu pun manusia di muka bumi ini yang akan tersenyum atau membalas senyuman. Bukan sahaja senyuman itu percuma bahkan menjadi penawar dan ubat yang tidak perlu dibayar atau bertemu dengan pakar perubatan. Senyuman itu merupakan terapi jiwa. Buktinya ialah apabila kita dalam keadaan tertekan, ingatlah perkara yang menggembirakan, pasti secara serta-merta kita akan tersenyum. Nah!terapi jiwa paling murah. Tidak perlu berjumpa pakar psikologi.

Oleh sebab itulah, Rasulullah menyarankan umatnya memberikan senyuman. Setiap yang disarankan oleh baginda ada hikmahnya. Dan ini jugalah keputusan daripada hasil kajian saintis bukan Islam yang mengkaji tentang kebaikan senyuman kepada diri manusia iaitu senyuman akan membuatkan diri seseorang itu bertenaga dan senang hati. Mereka baru sahaja mendapat keputusannya, tetapi umat Islam yang mengamalkan sunnah Rasulullah terlebih dahulu mengetahui kebaikannya. Allah itu maha Mengetahui.

Oleh itu, senyumlah walaupun kita sentiasa sibuk dengan urusan seharian. Senyumlah walaupun diri sentiasa dihambat dengan kemarahan dan kesedihan. Senyumlah walaupun tatkala diri terasa dipinggirkan kerana Allah lebih mengetahui setiap satu yang tidak mungkin hamba-Nya mengetahuinya. Senyumlah kerana senyumanmu begitu berharga dan memberikan 1001 kemanisan dalam kehidupan.

p/s: tips paling mudah nak cantik. Senyum la selalu. Tapi jangan sampai asyik tersenyum je. Nanti tak pasal-pasal dapat jolokan minah senyum atau mat senyum.hehehehe..^_____^V


Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)