“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Friday, March 22, 2013

Dulu dan Kini

21 Mac 2013...tarikh penuh debaran bagi adik-adik saya yang menanti keputusan SPM yang telah pun diduduki tahun lepas. Dari pagi lagi saya mendengar rakan-rakan sekerja bercerita sesama sendiri tentang keputusan yang bakal diumumkan itu. Secara tiba-tiba ingatan saya terbang ke zaman saya berusia seperti mereka.

Sebagai seorang bekas pelajar berasrama di luar daerah penempatan saya, hidup tanpa keluarga di sisi semasa menduduki peperiksaan adalah satu kenangan yang agak sedih bagi saya. Mana tidaknya, peperiksaan awam sebelum ini saya bersama ibu dan ayah dan mereka berada di sisi saya menanti saya hingga saya tidur pada malam hari. Sanggup bercuti semata-mata untuk memastikan saya sempat makan tengah hari sebelum berangkat semula ke sekolah untuk menduduki peperiksaan pada sebelah petang. Tetapi perasaan itu tidak lagi saya rasai semasa menduduki peperiksaan awam SPM. Hati memang terasa sedih kerana berjauhan dengan keluarga apatah lagi saya hanya bertemankan sahabat-sahabat seperjuangan. Hanya mereka menjadi sahabat saya semasa bertempur di medan perjuangan yang menentukan hala tuju pendidikan saya yang seterusnya.

Perjuangan hampir sebulan akhirnya menemui titik noktahnya pada hari terakhir kertas soalan peperiksaan saya pada hari itu. Kali ini saya sekali lagi diuji dengan perpisahan iaitu perpisahan dengan sahabat handai saya. Entah bila saya dapat bertemu mereka lagi. Walaupun persahabatan yang terjalin hanya berusia 2 tahun, tetpai nilai kekeluargaan yang tersemat dalam hati saya menjadikan mereka tidak ubah seperti keluarga baru saya sepanjang bergelar "hostel student".

Hari berganti hari bulan berganti bulan dan tahun menginjakkan dirinya ke satu tahun yang baharu. Penantian kami selaku calon SPM pada tahun sebelum itu tiba di penghujungnya. Ya, di sini saya tunjukkan perbezaan saya dengan calon pada hari ini. (ini pengamatan saya terhadap anak-anak rakan sekerja saya sekarang). Saya mengambil keputusan peperiksaan tanpa ditemani ibu ayah ataupun keluarga. Hanya rakan-rakan sekampung yang pada ketika itu merupakan rakan sekolah saya di sana.  Bas ekspres menjadi saksi langkah saya dan sahabat sekampung ke sekolah kami untuk mengambil keputusan peperiksaan. Namun, anak-anak sekarang ditemani ibu bapa mereka dan ada ibu bapa yang sanggup bercuti untuk membawa anak-anak mereka mengambil keputusan peperiksaan. Dahsyat bukan?? Beruntungnya mereka.

Bukan ini sahaja bezanya. Anak-anak muda sekarang bukan sahaja ditemani keluarga bahkan jika tiada ibu bapa yang menemani sekali pun mereka ada keperluan lain yang menemani iaitu telefon bimbit. Seusai mendapatkan keputusan, telefon bimbit memainkan peranan utama untuk memberikan khabar istimewa sama ada sedih atau gembira kepada ibu bapa. Situasi ini sangat berbeza pada zaman saya. Ibu dan ayah terpaksa menanti kepulangan saya untuk mengetahui keputusan peperiksaan. Hati ibu ayah mana yang tidak berdebar-debar saat menanti keputusan peperiksaan walaupun bukan diri mereka yang menduduki peperiksaan tersebut.

Namun, walau apa pun kesusahan yang saya tempuhi dahulu, ia menjadi kenangan penuh bermakna kepada saya kini. Kesusahan dahulu memberikan pengajaran dan menjadikan siapa saya pada hari ini. Bukan saya menafikan anak-anak muda sekarang tetapi jika bersusah dahulu, pasti kita akan merasai betapa manisnya apa yang kita miliki pada masa hadapan. Dan itu juga yang sedang saya rasai. Ibarat kata pepatah Melayu "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

p/s: Dahulu dan kini ada bezanya. Ada pro dan kontranya. Dahulu dan kini bukan satu ukuran. Apa yang penting usaha seseorang. ^________^V..kisah ini tiada kena mengena antara hidup atau mati..jadi jangan buat spekulasi ya..=)

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)