Bukan sukar untuk menuturkan kata maaf itu. Ungkapkan sahaja dan kata-kata itu mampu meleburkan api kemarahan seseorang. Namun, bukan itu yang menjadi titik perbincangan saya pada kali ini. Pandangan saya lebih bertumpu kepada si penerima maaf. Individu yang memohon kemaafan memang lebih mulia kerana dia memohon kemaafan dan merendahkan keegoannya untuk meleraikan kekusutan yang berlaku. Si penerima maaf juga mulia kerana sanggup memaafkan kesalahan si pesalah. Kedua-duanya mulia pada pandangan saya.

Saya bukanlah seorang yang baik untuk mengatakan sesiapa yang tidak menerima kemaafan itu kejam. Ada sesetengah perkara itu sukar untuk kita memberikan kemaafan. Tetapi, bagi saya pula, seteruk mana pun seseorang itu, saya tetap akan memaafkannya, cuma lewat atau segera sahaja pintu hati saya memaafkannya. Saya pernah menjadi seorang pendendam tetapi seseorang telah menyedarkan saya bahawa dendam itu hanya akan membunuh diri saya sendiri. Lama-kelamaan saya belajar untuk memadam api kemarahan dengan perkataan maaf. Saya lebih suka memohon maaf walaupun kesalahan itu bukan datangnya dari saya. Pelik? Bagi saya, itu lebih membahagiakan saya kerana saya tidak mahu hidup dalam keadaan tidak tenang dan asyik memikirkan persengkataan yang berlaku. Biarlah orang lain mengatakan saya ini tiada ego yang tinggi kerana mudah menuturkan maaf kepada si pesalah, tetapi bagi saya, itu tiada benarnya. Rasulullah s.a.w lebih suka memohon maaf dan memaafkan orang yang menyakiti baginda kerana perasaan marah itu hanya akan mendatangkan mudharat dalam diri.

Saya akan tetap memohon maaf dan memaafkan mereka yang pernah meyakiti saya. Saya sudah melepaskan diri saya dari rasa bersalah atau tidak tenang, selebihnya biarlah mereka berurusan dengan Allah s.w.t. Mengapa kita lebih suka meninggikan ego hanya kerana tidak mahu nampak lebih rendah di mata orang sedangkan sedarkah kita bahawa kita jauh lebih rendah pada pandangan Tuhan kerana tidak mahu memohon maaf dan memberikan kemaafan. Nauzubillah!..berubahlah mulai saat ini. InsyaALLAH kita tidak akan rugi bahkan lebih bahagia berbanding sesiapa pun.
p/s: awak, terima kasih kerana mengajar saya erti memaafkan. Membantu saya membuang perasaan dendam. Ya ALLAH, peliharalah kami semua daripada perasaan marah, hasad dengki dan khianat. Maafkan saya ye semua...^___^