“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, April 9, 2013

Blog vs Facebook

Sudah hampir sebulan saya merasai hidup tanpa jaringan sosial paling popular masa kini, facebook. Belajar meneruskan hari-hari saya tanpanya. Sudah hampir lima tahun saya bersama-samanya. Semua suka duka saya titipkan di atas status jaringan itu. Namun, pada satu masa itu, saya nekad untuk menutup akaun jaringan sosial itu setelah satu-persatu perkara di luar jangkaan pemikiran saya berlaku. Sudah lama saya bersangka baik dengan jaringan ini tetapi jika sudah namanya jaringan untuk bersosial, pasti akan ada privasi yang kita jaga terbuka juga walaupun sedikit.

Penutupan akaun facebook memberikan saya ruang untuk meneruskan jaringan saya dengan blog. Ya, nampak agak kolot dan lama tetapi saya lebih menyukai blog setelah hampir sebulan juga menggunakannya. Walaupun blog saya tidak popular seperti blogger yang ada di Malaysia ini, tetapi ia sudah cukup memuaskan hati saya. Setiap satu luahan rasa, ilmu dan pengetahuan saya kongsikan di sini. Memang tiada siapa yang membacanya tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi gedung ilmu saya dan mengingatkan saya tentang apa yang pernah terlintas dalam kotak pemikiran saya.

Saya tidak mengatakan memiliki akaun facebook itu salah, kerana saya telah menemui sahabat-sahabat lama saya melaluinya. Berkongsi ilmu juga melaluinya. Tetapi apabila penggunaannya telah disalahertikan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, jaringan sosial itu sudah tidak sesuai digunakan lagi pada saya. Maka, cara paling mudah untuk saya terus berkarya (hanya karya untuk menghiburkan diri) adalah dengan membuka blog. Tidak dinafikan bahawa blog juga ada pro dan kontranya tetapi pada hemat saya, blog lebih mudah diurus, semua luahan hati saya dapat ditulis tanpa tatapan yang luas khalayaknya.

Tanpa facebook saya dikutuk hebat oleh sahabat handai kerana tidak pandai bersosial di alam maya. Biarlah apa pun yang mereka ingin bicarakan, tetapi saya lebih selesa dan bahagia tanpanya. Seseorang pernah memberitahu saya bahawa sahabat tidak hanya boleh didapati di facebook semata-mata, sahabat itu ada di mana-mana. Tanpa facebook saya masih ada kawan. Alhamdulillah, kata-katanya itu ada benarnya. Saya tidak perlu lagi melihat status atau perkara yang menyakitkan hati saya. Kini, blog menjadi teman setia saya. Saya tidak mengharapkan pengunjung blog yang ramai, cukuplah saya menulis untuk menjadi tatapan dan ingatan kepada diri saya sendiri. Itu sudah cukup membahagiakan. Cuma jika ada pengunjung yang sudi membacanya saya tetap mengalu-alukan mereka. Saya berkongsi ilmu dan buah fikiran saya. Seperti firman Allah dalam surah Al-Kahfi:

"Katakanlah, jika sekiranya lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula" (Al-Kahfi:109)

Apa pun yang berlaku dalam facebook tidak lagi saya ketahui melainkan disampaikan oleh sahabat-sahabat saya. Ini hanya pandangan saya. Setiap manusia berbeza persepsinya. Ibarat kata pepatah Melayu lama, "lain padang lain belalangnya, lain manusia lain ragamnya". Apa yang penting saya tidak menggangu ketenteraman hidup sesiapa.

p/s: terima kasih awak kerana memberikan nasihat dan pandangan selama ini. Ya Allah, terima kasih kerana meminjamkan dia kepada saya. Memberikan saya ilham untuk membezakan yang haq dan yang bathil. ^_____^

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)