“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Friday, November 8, 2013

Saya dan rama-rama...

"Rama-rama terbang merata,
Sungguh cantik aneka warna,
Hisap madu di pohon bunga,
Tapi sayang hidup tak lama"...

Saya suka lagu ni sejak pertama kali mendengar anak saudara sulung saya menyanyikan lagu ini. Tapi saya suka rama-rama sejak kecil lagi. Mengapa? sering kali diasak pertanyaan "mengapa" apabila saya menyatakan kesukaan saya kepada spesies makhluk Allah yang satu ini. Rama-rama sangat cantik. Lihat sahaja warna pada kepaknya. Beraneka warna. Cantik pada pandangan sesiapa sahaja. Tetapi yang menjadikan saya sukakan rama-rama bukanlah kerana kecantikannya, tetapi kebebasannya di alam ini. Rama-rama jadi penyeri pada taman. Jika tiada rama-rama, maka tiada seri sesebuah taman itu. Terbang bebas ke mana-mana sahaja ia mahukan.

Andai mampu memilih untuk bertukar menjadi apa, saya akan pilih untuk menjadi rama-rama. Biarlah hidup saya tak lama seperti dalam lagu di atas, tetapi sekurang-kurangnya saya tak menyusahkan sesiapa, sebaliknya membawa kegembiraan kepada sesiapa sahaja yang melihat saya.

Saya terlalu ingin untuk membahagiakan insan-insan yang berada di sisi saya sebagaimana sang rama-rama lakukan untuk membahagiakan pengunjung taman. Tetapi saya tak mampu membawa kebahagiaan itu, malah sering kali memberikan kesusahan kepada orang lain. Namun, syukur saya panjatkan kepada Yang Khaliq kerana memberikan peluang untuk saya lahir sebagai Islam yang masih punya iman yang kuat. Saya tahu Dia memberikan dugaan kepada saya bukanlah kerana Dia membenci saya sebagai hamba-Nya tetapi Dia mahu saya menjadi kuat dan iman saya semakin menebal terhadap-Nya. Setiap ujian yang mendatangi saya, saya padukan menjadi sumber kekuatan saya untuk terus bernafas di bumi Allah ini.

Saat jari-jemari menari menulis entri ini, saya sebenarnya masih belum kuat untuk menghadapi ujian yang baru sahaja menerjah saya. Tetapi tiada tempat untuk saya meluahkan rasa melainkan dalam diari saya ini. Diari? Ya, inilah diari harian, mingguan dan bulanan saya. setiap coretan di dalamnya lahir dari hati saya. Apa-apa pun yang terjadi selepas ini, saya perlu kuatkan hati saya demi hidup dan masa depan saya yang masih panjang.

Walaupun rama-rama hidup tak lama, saya tetap suka rama-rama. Mungkin satu masa nanti saya juga akan menjadi seperti sang rama-rama. Menjadi penyeri untuk insan-insan sekeliling saya walaupun saat itu hidup saya mungkin tidak akan lama. ^__^

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)