“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Monday, March 4, 2013

Seorang Gadis dan Sebuah Beg

Prolog...
Lewat petang yang berangin sepoi-sepoi bahasa itu, gadis kecil itu berlari-lari anak menuju ke arah kedai beg itu. Impiannya hanya satu. Memiliki impian yang sudah lama disimpannya. Bukan sehari dua dia memasang impian itu, tetapi sudah setahun yang lalu.

Wang dalam sakunya dipegang sekuat mungkin. Risau seandainya jatuh tercicir. Itulah hasil daripada kerajinan gadis kecil itu. Melihatkan daripada fizikalnya, mana mungkin dia mampu menyimpan wang sebanyak itu. Tetapi itulah hakikat. Hakikat kehidupan gadis kecil itu. Apabila impian sudah diletakkan di hadapan, usaha akan mendorongnya. Ini kisah permulaan impian gadis genit itu.

Dia hanya seorang gadis kecil yang hidupnya tidak seperti gadis seusianya. Apa sahaja kemahuannya tidak dapat dipenuhi oleh ibu dan ayahnya kerana kekangan kehidupan mereka sekeluarga. Apa yang dia mahukan atau perlukan, dia perlu berusaha untuk memperolehnya tetapi tidak pernah pula ibu dan ayahnya mengajar si gadis kecil ini untuk mencuri semata-mata untuk memenuhi keperluannya. Pada usianya yang masih muda, si gadis kecil itu belajar erti jimat dan simpan. Jika rakan-rakannya riang gembira dengan aiskrim di tangan, gula-gula di mulut tetapi bukan pada si gadis kecil ini. Dia tidak memikirkan semua itu sebagai keperluannya tetapi hanya satu yang menjadi impian gadis ini. Dia sangat teringin memiliki sebuah beg. Dia ke sekolah hanya berbekalkan beg yang sudah koyak sedikit dan zip yang sudah rosak.

Untuk impiannya itu, maka setiap hari si gadis kecil ini pasti membawa bekal nasi dan ikan kering sebagai bekalan makanan di sekolah. Biarlah rakan-rakan mengutuk dan menghamburkan kejian buat dirinya. Dia tidak pernah ambil peduli. Dalam hatinya hanya satu. Melunaskan impiannya yang sudah lama dipendam. Setiap hari dia menyimpan wang sakunya dan hanya akan digunakan apabila dia terpaksa membeli barang keperluan sekolah.

Dan hari itu genap setahun penantiannya. Wang yang dikumpulnya sudah cukup untuk dia memiliki impiannya. Hari ini si gadis kecil ke sekolah dengan hati yang riang. Petang nanti dia akan ke kedai itu. Tidak sabar rasanya seakan-akan mahu sahaja gadis itu terbang ke sana.

Epilog...
Khayalannya tiba-tiba terhenti apabila penjual itu menyapa dirinya.Tidak menyedari lamunan itu membawanya kembali ke zaman kepayahannya dahulu. Empat belas tahun yang lalu. Sapaan itu membawanya ke alam nyata. Beg tangan berjenama itu dipegang erat. Dia nekad. Jika dahulu dia sudah berusaha dan berjaya untuk memiliki impiannya, hari ini dia sudah mampu untuk memiliki apa sahaja impiannya. Dan itulah gadis kecil itu. Kini dia membesar sebagai seorang yang berjaya.

"Kejayaan itu bermula dengan satu langkah..."..Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha untuk mengubahnya"...

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)