Kenangan suka dan duka bersama-sama para sahabat bermula pada 2 Mei 2012. Kami saling berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing. Walaupun kami berasal dari latar belakang yang berbeza antara satu sama lain, namun ilmu telah menyatukan kami. Itulah kami semua. Akan tetapi, jodoh aku dan mereka tidak berpanjangan di sana, kerana aku menerima tawaran di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Perancang Bahasa Gred S41. Kerjaya yang aku nantikan selama ini. Penantian yang amat menyeksakan selama hampir 6 bulan akhirnya tergengggam di tanganku. Namun begitu, rupa-rupanya bukan mudah untuk membuat keputusan yang memerlukan pengorbanan. Setelah meneliti dan menimbang hal yang sepatutnya, akhirnya aku membuat keputusan untuk menerima tawaran di DBP.
29 Jun 2012-detik pertemuan terakhirku di KUIS sebelum berangkat ke tempat baru. Meninggalkan para sahabat yang telah menjadi ahli keluargaku. Sedih dan pilu meratapi hati namun perlu juga aku gagahi. Akhirnya aku ke DBP.
2 Julai 2012- pertemuan pertama kami di DBP. Seramai 44 orang pegawai baru mendaftar pada hari tersebut. Berbagai-bagai pengalaman kami kongsi bersama-sama. Kami berkongsi rasa suka, duka, geram, sedih, pilu, malu bersama-sama. Namun, kenangan di KUIS masih kekal di dalam ingatan ini. Tiada siapa dapat mengubahnya. Setelah bertemu selama 3 minggu, akhirnya perpisahan menjelmakan diri. Sekali lagi, aku terpaksa menghadapi saat pilu ini.
Benarlah kata-kata pujangga, setiap pertemuan pasti diselangi dengan perpisahan pada hujung cerita kita. Aku gembira mengenali mereka walaupun hanya seketika.
Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan,
intai kami antara nampak,
esok jangan rindu-rinduan.