“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Tuesday, April 29, 2014

Mengapa Aku?


“Dalam derita ada bahagia, dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu tak siapa pinta ujian bertamu. Bibir mudah mengucap sabar, tapi hatilah yang remuk menderita. Insan memandang mempunyai pelbagai tafsiran.”

Seringkali kita menuturkan kata-kata “mengapa aku?” apabila musibah datang melanda diri kita. Dan seringkali juga kita menyalahkan apa yang berlaku ke atas kita. Itu lumrah dalam kehidupan manusia. Persoalan yang kerap kali meniti di bibir kita ialah persoalan “MENGAPA”. Sedangkan pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa musibah yang datang itu ialah qada’ dan qadar daripada Allah untuk hamba-Nya? Kita sebagai hamba perlu menyedari hakikat bahawa penciptaan kita di muka bumi ini adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah s.w.t. Malangnya, kita pula bersikap prejudis terhadap-Nya.
Seharusnya kita menyedari bahawa bukan semua ketetapan buruk yang diturunkan kepada kita ialah musibah dan bukan semua ketentuan yang baik itu ialah rahmat. Kita sering terlupa di sebalik ujian itu terselit 1001 kenikmatan dan sebalik rahmat itu sebenarnya terselit ujian buat diri kita. Hakikatnya, apa jua ketetapan yang Allah sediakan untuk kita sebagai hamba-Nya merupakan sebahagian daripada lakaran kehidupan. Maka, persoalan “Mengapa aku” tidak seharusnya terlintas.
Beringatlah bahawa, Allah mendatangkan ujian bukanlah untuk tujuan menyakiti hamba-Nya, sebaliknya Dia merindui rintihan setiap hamba-Nya melalui ujian yang diturunkan. Allah menguji untuk meningkatkan keimanan kita sebagai hamba-Nya. Adakah kita layak dikatakan sebagai orang yang beriman sedangkan diri tidak diuji oleh Allah.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Andai diri tak mampu bertahan
Sebagai manusia yang lemah, kekusutan dan kesedihan tidak akan meninggalkan hati. Semakin kita ingin bertahan, semakin kita merasakan ujian itu terlalu berat untuk dihadapi. Tenanglah. Allah tidak akan pernah meletakkan ujian itu melebihi kesanggupan hamba-Nya. Janganlah meletakkan kesedihan di hadapan kerana kesedihan hanya akan melemahkan jasad dan rohani.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
-Surah Ali-Imran ayat 139 .

".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
-Surah Yusuf ayat 12

 
Rahmat Ujian
Ujian yang datang melengkapkan lakaran kehidupan manusia. Ibarat satu lukisan yang terlukis. Umpama kitaran lengkap bumi mengelilingi matahari. Begitulah juga ujian dalam kehidupan. Maka, lenyapkanlah persoalan “Mengapa aku” dari kotak minda kita. Ingatlah, tidak semua nikmat itu kekal sebagai nikmat dan ujian itu terlalu buruk pada pandangan kita. Boleh jadi nikmat itu adalah ujian dan ujian itu adalah rahmat.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
-Surah Al-Baqarah ayat 216
“Segala takdir, terimalah dengan hati terbuka. Walau terseksa ada hikmahnya. Harus ada rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma. Itu jelas membuktikan Allah mengasihimu setiap masa. Diuji tahap keimanan sedangkan rahmat terbiar dilalaikan. Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmat-Nya.”


 

Friday, April 25, 2014

Ainul Mardhiyah..bidadari Syurga buat Syuhada'

‘Ainul Mardhiyah’ merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Suatu pagi (dalam bulan Ramadhan) ketika Rasulullah SAW memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan para Sahabat untuk berjihad pada agama Allah) Baginda berkata:              "Sesiapa yang keluar di jalan Allah, kemudian tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari Syurga."

Mendengar berita itu salah seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin  untuk mengetahui bagaimana cantiknya bidadari tersebut, tetapi beliau malu hendak bertanya kepada Nabi oleh sebab adanya kehadiran para sahabat-sahabat yang lain. Namun beliau tetap menyerahkan namanya sebagai salah seorang yang akan keluar berjihad. Sebelum Zuhur, Sunnah Nabi akan tidur sebentar (disebut juga sebagail Qailullah), maka sahabat yang muda tadi juga turut tidur bersama jemaah tadi.

Dalam tidur tersebut sahabat yang muda tadi bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu dia bertanya, “Di manakah saya berada sekarang?” Lalu lelaki itu menjawab, ” inilah Syurga.”

Pemuda tadi menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan ‘Ainul Mardhiyah, lalu dia ditunjukkan untuk menuju ke suatu arah. Beliau pun berjalan hingga bertemu dengan suatu pohon dan beliau mendapati kehadiran seorang wanita yang amat cantik, belum pernah dia melihat kecantikan sebegitu di dunia ini.

Dia memberi ucapan salam kepada wanita tadi dan bertanya,” Adakah saudari Ainul Mardhiyah?

Wanita itu menjawab, ” ehh tidak, saya adalah khadamnya, Ainul Mardhiyah sedang berada di dalam singgahsana sana”.

Lalu dia berjalan lagi dan memasuki satu mahligai yang cukup indah, di sana dia mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai.

Pemuda itu memberi salam, kemudian bertanya, “Adakah saudari ini Ainul Mardhiyah?”

Wanita itu menjawab, ” Maaf, saya bukan Ainul Mardhiyah, saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardhiyah ada di atas mahligai sana.”

Pemuda itu terus menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikannya amat mengagumkan. Akhirnya dia sampai ke satu mahligai dan dia bertemu seorang wanita yang amat cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua, kecantikan yang tak pernah dilihatnya di dunia ini. Wanita itu berkata, ” Sayalah Ainul Mardhiyah, saya diciptakan untuk saudara dan saudara diciptakan untuk saya. Bila pemuda itu mendekatinya wanita itu menjawab, ” Eh, tunggu dulu, saudara belum syahid lagi!”.

Pemuda itu tersentak dan terus terjaga dari tidurnya. Kemudian dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar tidak menceritakan mimpinya ini kepada Nabi SAW. Andainya dia syahid barulah boleh diceritakan kepada Nabi SAW.

Petang itu pemuda itu ikut serta keluar berperang bersama Rasulullah SAW dan pasukan tentera Islam, ditakdirkan pemuda itu syahid. Setelah hampir waktu berbuka puasa semua jemaah pulang ke masjid, mereka bersama-sama menunggu makanan untuk berbuka. Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat Nabi yang syahid tadi. Rasulullah SAW mengucapkan benar…benar…benar… dalam sepanjang cerita tersebut.

Akhirnya Rasululah SAW berkata,  "Memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di Syurga.."

Monday, April 21, 2014

Jom Belajar!!!

Alhamdulillah masih diberikan peluang untuk menitipkan kata dan idea di blog kesayangan setelah beberapa hari capaian ke blog ini disekat. (Mungkin akan mengalami hal yang sama selepas ini semula). Hari ini, rasa terpanggil untuk berkongsi ilmu tentang bahasa Melayu. Mungkin sesetengah daripada masyarakat luar dan pengguna bahasa Melayu merasakan bahawa bahasa Melayu itu mudah dan tidak perlu dipelajari lagi setelah hampir 10-12 tahun mempelajarinya di sekolah. Namun, bagi saya, bahasa Melayu ialah bahasa yang agak rumit dan memerlukan pemerhatian yang teliti. Hari ini, saya ingin berkongsi tentang penggunaan kata majmuk dalam bahasa Melayu.

Kata majmuk bermaksud dua rangkai kata yang membawa satu makna baharu setelah digabungkan (ini telah saya mudahkan konsepnya bagi memudahkan kita mengingati definisi kata majmuk). Umumnya, dalam bahasa Melayu terdapat 15 perkataan majmuk yang telah mantap iaitu perkataan tersebut digabungkan menjadi satu perkataan. Nak tahu? jom...

Saya mudahkan anda untuk mengingatinya...

Semalam Amir bawa opah jalan-jalan ke kampung tanjung setia sebab pakcik Wan mahu beli tanah

                                                  semalam      - sukarela
                                                  amir            - antarabangsa
                                                  bawa            - bumiputera
                                                  opah             - olahraga
                                                  jalan-jalan    - jawatankuasa
                                                  ke                 - kerjasama
                                                  kampung      - kakitangan
                                                  tanjung         - tanggungjawab
                                                  setia             - setiausaha
                                                  sebab           - suruhanjaya
                                                  pakcik         - pesuruhjaya
                                                  wan             - warganegara
                                                  mahu          - matahari
                                                  beli             - beritahu
                                                  tanah          - tandatangan
 
moga bermanfaat..^_____^

Friday, April 11, 2014

Jom Teladani Sau'dah...

Tadi mendengar ceramah di rancangan Al-Hidayah..
Saudah binti Zam'ah..antara isteri Rasulullah s.a.w. Tersentuh hati apabila mendengar kisah hidup beliau. Beliau merupakan seorang yang berperwatakan periang dan ceria. Diceritakan pada satu ketika, Rasulullah s.a.w sujud terlalu lama ketika mengimamkan solat bersama-sama Saudah. Oleh sebab sujud baginda terlalu lama, Saudah telah berkata kepada baginda, "Ya Rasulullah, andai aku tidak menutup hidungku ini, nescaya akan mengalir dengan banyaknya darah di hidungku"..Rasulullah s.a.w secara tiba-tiba tertawa sehingga terlihat keseluruhan gigi baginda. Rasulullah s.a.w amat senang hati apabila bersama-sama dengan isteri baginda Saudah binti Zam'ah.

Pengajaran: Isteri yang cerdik dan solehah adalah penyejuk mata si suami, penawar hati dan penajam fikiran. Biarlah kita menjadi isteri yang menyenangkan hati suami dan pengubat derita serta tekanannya.

p/s: saya masih sendiri..belum berdua..

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)