“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Friday, November 8, 2013

7 Sunnah Hebat Rasulullah s.a.w..mari amalkan..

Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah SWT. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan..dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat. Hendaknya kita sekurang-kurangnya selalu menjaga Tujuh Sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.

Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.

Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.

Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
 
~Prof. Dr. Muhaya via Ustaz Don Daniyal Don Biyajid..~

Terima kasih Dr. atas perkongsian ilmu ini..^__^

Tuesday, October 29, 2013

Redha dengan Ketentuan

"Saya pasrah dengan semua ketentuan". Benarkah kita mampu redha dengan apa yang berlaku? Redha bermaksud menerima dengan senang apa yang diberikan oleh Allah baik berupa kebaikan mahupun ketentuan (qada') dari Allah atas sesuatu. Namun, bukan semua yang mampu menerima sesuatu perkara yang terjadi itu dengan hati yang redha. Mengajar hati menerima sesuatu yang bukan dalam kerelaan mungkin sukar untuk dilakukan tetapi Allah telah menjanjikan ganjaran kepada hamba-Nya yang sabar dalam menerima ketentuan yang telah diberikan-Nya.

Allah itu maha Pemurah sifatnya. Redha dengan ketentuan menjadikan kita sebagai hamba-Nya kuat dalam menghadapi pelbagai musibah. Mungkin kita tidak mampu untuk redha dan pasrah sebagaimana mulianya sifat Khaulah al-Azwar menerima berita keempat-empat puteranya syahid di jalan Allah. Begitu juga Ruqaiyyah puteri Rasulullah apabila terpaksa berpisah dengan suami tercinta kerana wahyu Allah. Kita hanya menerima secebis daripada dugaan dan ujian yang diturunkan-Nya untuk melihat sejauh mana iman hamba-Nya utuh dan kukuh. Keredhaan itulah pengukur utama iman dalam hati kita. Allah menguji bukan tanda Dia membenci hamba-Nya, tetapi untuk melihat adakah kita sebagai hamba-Nya memahami konsep redha itu sendiri dan bagaimana penerimaan kita terhadap sesuatu musibah yang melanda sama ada dengan hati terbuka atau tidak.

Redha dalam menghadapi ketentuan memberikan kemanisan dalam kehidupan. Kepahitan itu pasti akan terasa pada permulaanya tetapi kemanisan menerima ketentuan dengan hati terbuka dan redha lebih dirasai pada penghujungnya. Itulah lumrah dalam kehidupan. Allah itu maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w :

" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )
 
Kesimpulannya amat mudah, redha dengan ketentuan menguatkan hati sekaligus menjadikan kita punyai benteng keimanan yang kuat. Belajar menerima qada' dan qadar Ilahi kerana Dia lebih mengerti segalanya.
 
p/s: Saya juga sedang belajar menerima dan redha dengan apa yang berlaku dalam hidup saya. Sekali kita melangkah ke hadapan, jangan berpaling ke belakang.
 
 




Friday, October 25, 2013

Maaf..saya hanya seorang manusia...

"Mengapa masih melakukannya kalau sudah berjanji untuk berubah?"..selalu saya dengar pertanyaan ini. Maaf, saya hanya seorang manusia. Miliki sifat pelupa dalam sesetengah situasi.

Manusia atau insan berasal dari perkataan "nasia" iaitu lupa. Dimasdharkan (masdhar dalam Bahasa Arab bermaksud kata nama terbitan) menjadi "insan". Mengapa Allah menjadikan manusia itu dengan sifat lupa? mari muhasabah sejenak..Sekiranya manusia dijadikan tanpa sifat lupa, maka tiada neraka, syurga, dosa dan pahala..Keliru? Mari kupas satu-persatu. Allah menjanjikan syurga buat hamba-Nya yang sering mengingati-Nya, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Neraka pula Allah ciptakan untuk hamba-Nya yang menyekutukan-Nya, melakukan perkara yang dilarang dan lupa akan kewujudan-Nya. Pahala adalah ganjaran manakala dosa adalah balasan.

Tanpa sifat lupa yang Allah berikan kepada manusia, tidak akan ada dugaan dan ujian untuk meraih syurga-Nya. Saya mengupas satu-persatu perkara ini kerana ada segelintir manusia di luar sana yang tidak memahami atau pura-pura tidak memahami konsep tersebut. Dan natijahnya, dilemparkan pelbagai tuduhan, dan perli kepada seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan yang sekecil-kecil zarah hanya kerana seseorang itu telah berhasrat untuk berubah tetapi dalam suatu situasi seseorang itu terlupa akan hasratnya kerana tindakan refleksi semula jadi. Seterusnya mengaitkan semua itu dengan perkara negatif yang pernah dilalui oleh individu itu sebelum ini. Mudah menuturkan semua itu kepada si pesalah, tetapi pernahkah kita bermuhasabah dengan diri kita sendiri? Inilah kelemahan manusia. Tiada yang sempurna melainkan Allah semata-mata. Kerana itulah diberikan sifat itu kepada hamba-Nya.

Saya hanya manusia yang ada sifat kelupaannya. Sesiapa sahaja ada sifat lupa. Nasihat saya, jangan mudah menjatuhkan seteruk-teruk kata kepada si pelupa kerana kita sendiri belum tentu sempurna di mata-Nya.

 Peringatan buat diriku yang sering terlupa.


Thursday, October 10, 2013

~Hanya renungan~

"Mengenang masa lalu hanya membuatkan kita lemah dan tidak bersemangat. Bersedia untuk masa hadapan membuatkan kita lebih beringat. Menghadapi apa yang terjadi depan mata hari ini membuatkan kita yakin dengan kenyataan."
-Anonymous-


~kata-kata seseorang yang membuatkan saya memikirkan berkali-kali bait kata-katanya~

Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)