“Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, maka akan habislah air di lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (QS. Al Kahfi: 109)



Monday, October 7, 2013

Kurindu kasihmu...

Hari ini genap usia ayah 64 tahun. Alhamdulillah, Allah masih memberikan nikmat kesihatan dan kesejahteraan kepada ayah. Pagi-pagi tadi tak sabar tangan mendail telefon bimbit ayah. Sejak tinggal di perantauan, hanya telefon sahaja yang menjadi tempat saya mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran kepada ayah kerana tarikh keramat itu jatuh tatkala saya berada jauh darinya. Suara ayah pagi tadi menggetarkan jiwa. Rindu sangat dengan ayah dan emak. Salah saya sebenarnya kerana jarang pulang ke kampung kebelakangan ini. Ayah berpuasa hari ini sebagai tanda syukur Allah masih meminjamkan dirinya kepada kami sekeluarga. Ceria suara ayah kerana saya anaknya yang pertama mengucapkan selamat hari lahir.

Sebenarnya saya tidak serapat dulu dengan ayah sejak ayah mengalami kemalangan pada tahun 2000. Saya pun tidak tahu mengapa. Apa yang saya tahu, masa itu saya berumur 12 tahun dan ketika ayah terlibat dalam kemalangan, saya berada di sekolah dan sedang menduduki peperiksaan percubaan UPSR. Perkhabaran malang itu membuatkan saya tidak boleh menerima apa yang telah tertulis untuk ayah ketika itu, lebih-lebih lagi melihatkan badan ayah penuh dengan wayar-wayar dan kepala ayah dibotakkan untuk memasukkan tiub sepanjang 6 cm. Selepas peristiwa itu, saya menjadi kurang rapat dengan ayah. Ada sahaja perkara yang akan saya pertikaikan dengannya. Namun, ayah jarang memarahi saya. Malah ayah sering menunaikan apa yang saya perlukan. Teringat saya semasa pertama kali mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke UKM. Ayah melakukan sujud syukur dan pertama kali saya melihat air mata ayah mengalir ketika kereta abang saya meluncur perlahan-lahan meninggalkan saya di kolej. Kegembiraan ayah berterusan ketika saya menjejakkan kaki ke pentas konvokesyen UKM pada tahun 2011.

Ayah sangat berbeza dengan emak. Ayah bukan seorang pemarah. Ayah juga seorang pemendam. Ayah seorang yang sangat penyayang. Sebab itulah kami lebih takutkan emak berbanding ayah. Ayah di rumah seperti sahabat kami. Bertepuk tampar dengan ayah seperti seorang kawan. Tetapi ketegasan ayah terpancar sekiranya kami tidak menunaikan solat dan tidak membaca al-Quran setiap hari. Ketegasan itu jugalah yang menjadikan al-Quran sebagai amalan saya setiap hari selepas solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Hari ini, saya terlalu merinduinya. Andai ada ayah di sisi saya,pasti akan saya rangkul tubuhnya dan memeluknya sekuat dan selama saya mampu. Andai ayah tahu apa yang saya alami di sini, hari ini dan apa yang tersimpan dalam hati saya sehingga kini, tidak perlu lagi saya berselindung di balik senyuman dan kata-kata penyedap hati di hadapan orang lain setiap hari.

Syukur Ya Allah kerana masih memberikan umur yang panjang buat ayah. Walaupun sang putera bakal memiliki saya, tetapi ayah tetap raja di hati saya sampai bila-bila!!

Thursday, October 3, 2013

Semua itu ketentuan Allah...

Kalau kita masih belum bekerja,
Itu semua rezeki dari Allah..
Mungkin Allah minta kita berusaha lebih banyak lagi..

Kalau kita masih belum diseru jodoh,
Itu semua rencana Allah,
Mungkin Allah minta kita menjaga ibu ayah selagi mereka bernyawa...

Kalau kita masih belum dikurniakan anak,
Itu semua takdir yang ditetapkan Allah,
Mungkin Allah minta kita mentaati suami dan menjaga sebaik-baiknya...

Kalau kita masih belum mempunyai harta simpanan,
Semua itu suratan yang tertulis untuk kita,
Mungkin Allah mahu kita menyimpan untuk menunaikan haji ke Mekah..

Setiap apa yang berlaku semuanya telah ditakdirkan untuk kita. Jangan bersangka buruk dengan Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya. Dia menciptakan kita, Dia juga membina rencana untuk hidup kita dan Dia jugalah yang berhak memanggil kita semula menemui-Nya.

Apa yang baik untuk kita belum tentu baik pada pandangan Allah. Kita mengejar mardhatillah, bukan mengejar pandangan manusia terhadap kita.

***Ingatan buat diriku yang sering terlupa***

Wednesday, October 2, 2013

Mengapa???

Engkau yang membenarkan perpisahan,
tapi tangannya tidak pula engkau lepaskan...

Engkau membenihkan kebencian,
tapi wajahnya masih dalam jelingan...

Engkau berazam membuka lembaran baru kehidupan,
tapi kenangan bersamanya masih dalam ingatan...

Engkau mahu melupakan semua yang kelam,
tapi kebaikannya masih dalam sebutan...

Andai engkau masih tidak mampu melupakan,
Mengapa menidakkan segala yang tertulis dalam suratan?

***esok genap setahun. Harap semuanya tidak lagi menghantui hati dan perasaan. Sakit untuk melupakan. Payah untuk menidakkan. Hanya doa dan pengharapan aku pohonkan agar hati tiada lagi dibalut kenangan.

Tuesday, September 3, 2013

Ukhuwah Fillah Abadan Abada!!!

27 Syawal 1434H...

Hari ini saya kembali semula. Selepas hampir sebulan (mengikut bulan Islam ye) saya tak menulis apa-apa entri dalam blog kesayangan saya ni. Hanya menjenguk sahaja. Bukan apa, kekangan masa menyekat saya.(Alasan yang sama kan, tapi itulah hakikat..huhuhuhu)

Saya rasa seronok sebenarnya tahun ni sebab inilah tahun pertama saya dapat berpuasa sunat enam penuh selama enam hari..huhuhu..teruk betul kan saya ni. ^___^...Saya rasa gembira sebab saya dapat apa yang saya dah niatkan tahun ni iaitu selain berpuasa sunat, saya dapat ganti puasa Ramadhan saya dengan cepat. Maknanya lepas ni saya nak teruskan puasa sunat saya. Berkenaan raya tahun ni,.raya baru-baru ni saya dan teman-teman rapat berhari raya bersama-sama pada hari raya keempat di kampung. Agak meriah sebenarnya sebab dah lama tak bertemu. Bermacam-macam cerita yang mereka kongsikan bersama-sama saya, cuma saya je yang agak keberatan untuk menceritakan perihal hidup saya kini. Bukan tak mahu berkongsi tetapi biarlah saya sendiri yang merasainya semua dalam hati saya je. Walaupun mereka teman rapat saya, susah untuk menceritakan soal hati dan perasaan kecuali yang benar-benar mengenali saya.

Perjalanan pada pagi raya keempat tu kami mulakan dengan plan yang dah hancur. Yela, punya la plan yang baik, tiba-tiba boleh tergendala di tengah jalan. Nasib baik sahabat karib saya ni bijak mengantur plan B dia. Berjalan-jalan la kami bersama-sama ke rumah Suzie. Kawan rapat kami yang seorang ni amatlah payah untuk bertemu dengannya sejak dia berpindah dari kampung halaman kami di Parit. Dengar-dengar cerita dah nak walimah dah dia. Akhirnya kami bakal kehilangan teman rapat yang berstatus bujang@anak dara. Nampaknya berkurang la seorang ahli kelab anak dara kami lepas ni. hehehe..tahun ni memang jadi tahun terakhir la kami beraya di rumah dia sebagai anak dara. Tak mengapalah, jodoh dia diseru awal dari kami berempat.

Perjalanan demi perjalanan akhirnya kami pun berpecah pulang ke rumah masing-masing. Pengalaman tahun ni memang banyak mengajar kami erti persahabatan. Ikatan yang terjalin antara kami sejak usia 6 tahun sehingga kini masih utuh terikat walaupun ada pertelingkahan yang berlaku antara kami dahulu. Sekarang, masing-masing sudah meningkat dewasa, perbualan pun semuanya menunjukkan kematangan, tapi apabila dah bertemu kisah lama zaman persekolahan pasti terkeluar juga dan masa tu saya akan jadi bahan ketawa mereka kerana saya paling banyak kenangan lucu dengan mereka.

Bila dah jauh di perantauan sekarang ni, rindu nak bertemu semula dengan sahabat-sahabat lama. Tak kira la dari zaman persekolahan mahupun ketika zaman pengajian tinggi. Kekangan masa bekerja dan ingin berehat pada hujung minggu menyukarkan saya untuk bertemu dengan mereka.

Moga Allah pelihara hubungan kami semua agar tetap kukuh tanpa ada sengketa yang menjadi penghalangnya. InsyaAllah. Ukhuwwah fillah abadan abada..^__^
Shafa, Suzie, Azimah, Nurul, Jazmeen...
muka kami semua x berubah sejak kecil..hehehe..
1,2,3 snap!!!





Tinta Sang Pujangga

"Jadilah matahari yang menyinari bumi untuk memberikan
kehangatan, hujan yang memberikan kesejukan, pelangi yang mencurahkan keceriaan...."


Daripada Abdullah bin 'Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda, "sampaikanlah walau sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil sesuatu daripada bani Israel (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas namaku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka. (Riwayat Al-Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Hibban)